Salam Volunteers,

Saya mengambil keputusan untuk menukar kaedah berkempen untuk menang PRU14 ini setelah menyedari bahawa cara yang digunakan pembangkang sebelum ini kurang tepat (pada hemat saya).

Semua kempen sebelum ini sehinggalah PRU13 bergantung kepada ceramah besar oleh tokoh besar. Lagi ramai yang hadir ceramah besar itu lagi bagus.

Malah, kadang-kadang saya rasa lucu bila kekuatan parti dan jentera diukur dengan berapa banyak bendera di pasang. Bila ada perang bendera sampai lalu jambatan tidak nampak air sungai dibawah kiri kanan sebab ditutup bendera (ha3), maka kuatlah parti itu.

Masalahnya yang mengundi bukan bendera. Malah memasang bendera yang keterlaluan sebenarnya membazir sehingga menelan ratusan ribu ringgit untuk bendera sahaja. Sebab itu sebelum bertanding, lazimnya perlu poket besar dan dalam, bila dah menang poket yang besar dan dalam itu ada tangan lain yang menyeluknya.

Saya berpendapat untuk menang PH kena tumpu kepada pengundi. Ada 2 jenis utama pengundi: yang memang penyokong parti atau yang atas pagar. Mungkin lebih tepat digambarkan yang berani hadir ke majlis ceramah atau yang tidak keluar rumah/tidak menyertai majlis ceramah atau acara politik.

Ceramah-ceramah besar, ceramah trak seperti yang kami usahakan – adalah untuk pengundi yang keluar dari rumah untuk mencari maklumat. Ada yang memang penyokong PH, ada yang mahu mendapat semua maklumat secara seimbang.

Tetapi sebahagian besar pengundi tidak keluar rumah untuk mendapat maklumat. Mereka ini terpisah terus dari PH jika kaedah berkempen tidak berubah.

Sebab itu, melalui INVOKE Malaysia, kami membina kepakaran dan jentera untuk fokus kepada kumpulan pengundi jenis kedua yang paling mencabar ini.

Melalui siaran digital di media sosial dan Youtube, mereka mendapat maklumat melalui pelbagai program yang disajikan (bukan sahaja ceramah).

Alhamdulillah minggu lalu, secara senyap-senyap kempen-kempen kepada pengundi jenis kedua ini dijalankan di pejabat lapangan INVOKE di seluruh negara.

Sukarelawan INVOKE menelefon pengundi atas pagar yang telah dikenal pasti oleh sistem kajiselidik berkomputer melalui aktiviti phone bank, latihan-latihan PACA yang melibatkan sukarelawan INVOKE berterusan setiap minggu dan ada sukarelawan INVOKE yang turun mengedarkan risalah mengenai GST dan lain-lain.

Kemenangan PH bukan ditentukan oleh ceramah besar.

Ia bergantung kepada berkesannya kempen yang tidak nampak yang fokus kepada pengundi jenis tidak keluar rumah.

Saya harap mereka yang mengikuti usaha kami turut serta dengan menjadi sukarelawan INVOKE. Daftar sekarang di bit.ly/JomJoinINVOKE

Jika anda telah mendaftar tetapi belum menyertai kempen mingguan yang tidak nampak yang berjalan di 17 pejabat lapangan INVOKE di seluruh negara, sila log masuk ke Sistem Pengurusan Sukarelawan INVOKE di volunteer.invokemalaysia.org

Sertai kami, jom #BinaSemulaNegara

Rafizi Ramli
Sukarelawan INVOKE #00001

 

 

Share This
%d bloggers like this: