BUKU HARAPAN

MEMBINA NEGARA MEMENUHI HARAPAN

Sejak hari keramat 31 Ogos 1957, tatkala Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj melaungkan “Merdeka!” negara kita telah terbina sebagai sebuah negara yang bertuah kerana memiliki rakyat yang majmuk iaitu pelbagai kaum dan pelbagai agama.

Atas kesedaran itulah, maka Almarhum Tunku mengisytiharkan dalam Pemasyhuran Kemerdekaan bahawa negara kita ini “akan kekal menjadi sebuah negara yang merdeka dan berdaulat serta berdasarkan kebebasan dan keadilan dan sentiasa menjaga dan mengutamakan kesejahteraan dan kesentosaan rakyatnya dan mengekalkan keamanan antara segala bangsa.”

Dengan berteraskan semangat ingin menjamin kebebasan, keadilan, kesejahteraan, kesentosaan dan keamanan itulah, negara kita telah ditadbir oleh para pemimpin terdahulu yang sentiasa meletakkan- kepentingan negara di hadapan.

Sejak era perjuangan kemerdekaan oleh para ulama, golongan nasionalis dan seterusnya diteruskan oleh pentadbiran Almarhum Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn dan sehinggalah era Tun Dr Mahathir Mohamad, wawasan negara ini adalah untuk menjadi sebuah negara maju, merdeka dan dihormati di persada dunia.

Kini, tatkala negara sedang dilanda krisis rasuah dan kleptokrasi yang hebat, sehingga kita terkenal di seluruh dunia sebagai sebuah negara yang penuh dengan skandal, Pakatan Harapan tampil menawarkan diri untuk menyelamatkan negara dan mengembalikan Malaysia ke landasan yang seharusnya.

Pakatan Harapan bertekad untuk mengembalikan kegemilangan tanah air kita, iaitu seperti yang diimpikan oleh rakyat seluruhnya.

Pakatan Harapan bertekad untuk menebus semula maruah rakyat Malaysia yang telah digadai oleh UMNO dan Barisan Nasional.

Pakatan Harapan akan membawa Malaysia ke wawasan baru dan seterusnya memacu Malaysia untuk kembali dikagumi dunia.

Pakatan Harapan akan menghentikan kegagalan pemimpin UMNO dan Barisan Nasional membela nasib rakyat yang terpinggir, terutama nasib warga desa, masyarakat India dan Orang Asal, dan juga mereka dari golongan pertengahan. Perjuangan kami adalah perjuangan holistik untuk 99 peratus rakyat Malaysia, bukan seperti UMNO dan Barisan Nasional yang hanya mementingkan 1 peratus kroni mereka sahaja.

Perjuangan Pakatan Harapan adalah untuk menjamin kesejahteraan hidup seluruh rakyat, tanpa mengira kaum, bangsa dan agama.

Kami akan menghentikan kerosakan institusi-institusi penting negara, dan akan mengembalikan kedaulatan undang-undang, lantas menjamin kebebasan agensiagensi penting dalam kerajaan.

Kami akan melaksanakan strategi serampang dua mata, iaitu membersihkan Malaysia daripada rasuah dan kleptokrasi serta memacu pertumbuhan ekonomi mapan yang manfaatnya dikongsi oleh semua dan bukan dibolot oleh mereka yang berkuasa sahaja.

Kami menjanjikan pemimpin yang bersih iaitu pemimpin yang komited dalam membersihkan negara ini dan yang bertekad untuk membantu golongan yang memerlukan.

Visi kami ialah sebuah negara yang bersatu padu dalam membela nasib Pribumi dan rakyat Malaysia pelbagai bangsa, agar pembangunan dan kesejahteraan ekonomi dapat dikongsi bersama secara adil dan saksama, tanpa dibolot oleh tangan-tangan rakus yang mengaut kekayaan untuk diri sendiri.

Sudah tiba masanya Pakatan Harapan bersama rakyat untuk menebus maruah bangsa, membina negara dan memenuhi harapan.

SITUASI NEGARA DI BAWAH UMNO DAN BARISAN NASIONAL SEKARANG

          Negara kita hari ini telah tersasar jauh dari wawasan awal negara seperti yang dilafazkan oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman dalam Pemasyhuran

Kemerdekaan 1957 dan diikuti dengan penubuhan Malaysia 1963, iaitu untuk menjadi sebuah negara berdaulat yang berteraskan prinsip kebebasan dan keadilan.

Hari ini, kedaulatan negara digadai oleh para pemimpin korup yang mementingkan kekayaan sendiri. Mereka melakukan apa sahaja untuk kekal dalam jawatan, kerana mereka takut akan dibawa ke muka pengadilan sekiranya mereka hilang kuasa. Mereka tidak peduli apabila pihak berkuasa pelbagai negara menyiasat salah laku mereka dan ahli keluarga mereka. Mereka memandang remeh apabila Malaysia menjadi bahan lawak jenaka oleh media dan penganalisis antarabangsa. Dunia pernah mengagumi Malaysia semasa era para pemimpin terdahulu. Tetapi kekaguman itu telah ranap akibat sikap para pemimpin sekarang. Kini, nama Malaysia sering timbul hanya apabila media dunia melaporkan tentang salahguna kuasa dan kleptokrasi, terutamanya dalam kes global seperti 1MDB.

Rakyat kini dibelenggu oleh kenaikan kos sara hidup sedangkan pemimpin politik, isteri dan anak-pinak mereka hidup senang lenang, bercuti mewah di luar negara.

Rakyat dipaksa membayar cukai yang regresif seperti GST, hanya untuk wang tersebut digunakan untuk membiayai kemewahan para pemimpin yang terbang dalam jet mewah ke serata dunia.

Rakyat ditakut-takutkan dengan retorik perkauman sempit sehingga wujud kesangsian antara sesama kita, hanya untuk memastikan pemimpin politik perkauman sempit membolot kuasa setelah mereka memecahbelahkan kita. Institusi-institusi penting negara tidak lagi bebas untuk menjalankan tanggungjawab semak imbangnya.

Lantikan ke jawatan-jawatan tinggi kerajaan dilakukan dengan cara yang menimbulkan pelbagai persoalan. Dari media hingga ke  institusi kehakiman dan perundangan, sehinggalah ke institusi-institusi pengajian tinggi, semuanya tidak lagi mempunyai kebebasan atau autonomi untuk berfungsi dengan efektif.

Pandangan Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu juga ada yang tidak diendahkan, malahan ada yang mula dipermainkan Akibatnya, Perdana Menteri bermaharajalela tanpa had dan berlaku pemusatan kuasa berterusan yang tiada penghujungnya.

Hari ini, rakyat tidak lagi menikmati keadilan sosial mahupun keadilan ekonomi. Kebebasan rakyat untuk bersuara dibataskan oleh pelbagai sekatan. Kebolehan rakyat untuk membangunkan ekonomi negara diperlahankan oleh birokrasi, monopoli dan kronisme yang melampau.

Malahan ada rakyat yang tidak mampu untuk mendapatkan perkhidmatan asas seperti pendidikan berkualiti dan perkhidmatan kesihatan yang baik.

Negara pula dibelenggu hutang yang amat tinggi akibat salah tadbir ekonomi dan kerakusan pemimpin UMNO dan Barisan Nasional. Lebih malang lagi, rakyat biasa terpaksa menanggung pembayaran hutang ini melalui cukai yang pelbagai dan pemotongan peruntukan kerajaan.

Nikmat pembangunan negara dibolot oleh mereka yang berkuasa, manakala rakyat terpaksa membanting tulang sehingga ada yang terpaksa melakukan dua pekerjaan semata-mata untuk hidup.

UMNO dan Barisan Nasional di bawah cengkaman pemimpin sekarang telah membawa negara ini terlalu jauh menyeleweng daripada wawasan pemimpin terdahulu dan para pejuang kemerdekaan.

Maruah Malaysia sebagai sebuah negara membangun perlu dikembalikan. Pakatan Harapan akan mengembalikan kegemilangan negara ini agar kita boleh berdiri semula dengan megah sebagai sebuah negara yang dikagumi dunia. Lebih penting lagi, kami akan memastikan semua rakyat pelbagai bangsa dan agama dapat berkongsi hasil kemakmuran dan kemajuan negara secara adil dan saksama.

FALSAFAH DAN MATLAMAT PENTADBIRAN PAKATAN HARAPAN

          Falsafah pentadbiran Pakatan Harapan adalah berdasarkan falsafah dan lunas-lunas Perlembagaan Persekutuan, Rukunegara, visi yang telah dibawa oleh para pejuang negara, agenda reformasi berterusan, dan idea-idea pembangunan yang progresif dan demokratik, sesuai dengan realiti zaman moden dan mendepani cabaran-cabaran akan datang.

Matlamat ini terangkum dalam Maqasid Syari’ah (matlamat Syari’ah yang lebih tinggi) buat memandu program pembangunan negara yang akhirnya memberi Rahmat dan Keadilan untuk seluruh rakyat Malaysia. Dalam bingkai pembangunan yang berteraskan prinsipprinsip sejagat yang dihayati dan dibangunkan oleh kepimpinan negara pertama-tamanya, dengan tadbirurus yang baik, inklusif dan progresif, maka harapan dan cita-cita untuk menyaksikan sebuah Malaysia Baru mampu dijayakan.

Lebih khusus lagi, matlamat Pakatan Harapan ialah untuk berganding bahu dalam memacu agenda reformasi berterusan untuk membentuk masa depan Malaysia yang lebih baik untuk semua – maju, makmur dan bahagia – yang dicapai menerusi teras-teras fundamental seperti nilai-nilai yang dikongsi bersama, budaya ilmu, kebebasan, kebenaran, keadilan sosial dan ekonomi, maruah, ketamadunan, keamanan, perpaduan, kemakmuran, demokrasi, dan meritokrasi.

Pakatan Harapan bertekad untuk membina satu Bangsa Malaysia yang berasaskan semangat, amanah dan solidariti yang berteraskan Wawasan 2020.

Pakatan Harapan mengulangi ikrar yang telah termaktub dalam Perjanjian Pakatan Harapan (9 Januari 2016) iaitu akan:

  • Mempertahankan Perlembagaan Persekutuan; Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan harmonis di negara ini sejajar dengan Perkara 3; serta melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain yang sejajar dengan Perkara 153.
  • Mempertahankan peranan dan tanggungjawab institusi Raja Berperlembagaan.
  • Memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu sejajar dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan memperluaskan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan lingua franca serantau; melindungi dan memperkukuhkan penggunaan bahasa ibunda semua kaum; serta meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris demi memperbaiki daya saing Malaysia di peringkat antarabangsa.

Memperakui dan mengiktiraf kedudukan Sabah dan Sarawak di dalam Persekutuan Malaysia selaras dengan peruntukan dan semangat Perjanjian Malaysia 1963.

TERAS UTAMA PAKATAN HARAPAN

          Janji kami kepada rakyat Malaysia ialah untuk MEMBINA NEGARA DAN MEMENUHI HARAPAN agar kita sekali lagi menjadi sebuah negara yang dikagumi oleh kawan dan lawan.

Buku ini mendokumenkan rancangan-rancangan kami untuk mencapai matlamat tersebut.

Janji kami adalah berdasarkan lima teras utama, yang mana setiap satunya mempunyai langkah-langkah spesifik yang tersendiri, yang boleh diringkaskan seperti berikut:

Teras 1: Meringankan bebanan kehidupan rakyat

Teras 2: Mereformasi institusi pentadbiran dan politik

Teras 3: Merancakkan pertumbuhan ekonomi yang adil dan  saksama

Teras 4: Mengembalikan status Sabah dan Sarawak berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963

Teras 5:  Membina Malaysia yang inklusif, moderat dan gemilang di persada dunia

Kami juga mempunyai lima Iltizam Khas untuk warga FELDA, masyarakat kaum India, golongan wanita, anakanak muda dan warga emas.

Sebagai langkah segera untuk melaksanakan janji-janji kami, Kerajaan Pakatan Harapan juga menggariskan 10 janji yang akan dilaksanakan dalam masa 100 hari pertama kami membentuk kerajaan Persekutuan.

SEPULUH JANJI SERATUS HARI

Dalam 100 hari pertama pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan, kami akan melaksanakan 10 perkara yang berikut:

  1. Menghapuskan GST dan mengurangkan kos sara hidup dengan pelbagai inisiatif peduli rakyat.
  2. Menstabilkan harga minyak dan memperkenalkan semula subsidi petrol secara bersasar
  3. Menghapuskan hutang-hutang tidak wajar yang dipaksa ke atas peneroka FELDA
  4. Memperkenalkan skim caruman KWSP untuk suri rumah
  5. Menyamaratakan gaji minimum seluruh negara dan seterusnya memulakan proses meningkatkan gaji minimum.
  6. Menangguhkan pembayaran balik pinjaman PTPTN kepada semua peminjam yang mendapat gaji kurang dari RM4000 sebulan dan memansuhkan dasar senarai hitam ke atas peminjam.
  7. Menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja 1MDB, FELDA, MARA dan Tabung Haji, dan merombak semula struktur kepimpinan mereka
  8. Menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet untuk segera menyemak dan melaksanakan PerjanjiaN Malaysia 1963
  9. Memperkenalkan Skim Peduli Sihat dengan memberi RM500 pembiayaan untuk rawatan asas di klinik swasta berdaftar untuk golongan B40.
  10. Melancarkan kajian terperinci mengenai projekprojek mega yang dianugerahkan kepada negara asing.

TERAS 1: MERINGANKAN BEBANAN KEHIDUPAN RAKYAT

Kini rakyat terbelenggu dengan kos sara hidup yang tinggi. Bebanan ini memaksa sesetengah rakyat untuk melakukan dua pekerjaan, sehingga tiada lagi masa untuk bersama keluarga dan jiran-jiran. Hutang isi rumah pula meningkat begitu tinggi sehingga lebih 20,000 orang muda berumur di bawah 35 tahun telah diisytiharkan muflis.

Para pelajar di pusat-pusat pengajian tinggi pula terpaksa menanggung hutang sebaik sahaja mereka tamat belajar. Lebih buruk lagi, rakyat biasa di kampung-kampung dan di kawasan-kawasan FELDA juga menanggung sengsara dalam mengharungi kesempitan hidup.

Semua ini mencalarkan kehormatan kita sebagai rakyat Malaysia yang bermaruah kerana kita tidak lagi mampu hidup bahagia di negara sendiri, sedangkan pemimpin politik yang korup hidup senang lenang.

Pakatan Harapan beriltizam untuk meringankan bebanan kehidupan rakyat dengan melaksanakan janji-janji yang terkandung di dalam buku ini dengan penuh tanggungjawab.

Janji 1: Menghapuskan GST

          Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) adalah satu bentuk cukai yang menekan rakyat berpendapatan rendah dan sederhana. Ia merupakan cukai regresif yang terpaksa dibayar walaupun oleh rakyat termiskin, setelah UMNO dan Barisan Nasional gagal menguruskan ekonomi negara dengan baik. Ketirisan dan rasuah yang dilakukan oleh pemimpin UMNO dan Barisan Nasional kini terpaksa dibayar oleh rakyat melalui GST.

Pakatan Harapan akan menghapuskan GST dalam tempoh 100 hari selepas membentuk kerajaan Persekutuan. Langkah ini akan serta merta mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh rakyat.

Pakatan Harapan percaya bahawa rakyat berpendapatan rendah perlu dibantu, bukannya ditekan. Penghapusan GST akan mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat dan membolehkan rakyat berbelanja untuk hal-hal lain demi menampung kehidupan mereka.

Dalam jangka masa pendek, Kerajaan Pakatan Harapan akan menghapuskan GST yang zalim ini dan menggantikannya dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan yang lebih adil dan tidak menyusahkan rakyat dan peniaga.

Janji 2: Menurunkan tekanan kenaikan harga yang membebani rakyat

            Kenaikan harga barang kini semakin berleluasa sehingga kehidupan rakyat biasa menjadi semakin sukar. Kadar inflasi pula naik hampir 4 peratus pada tahun 2017 berbanding dengan 1 peratus sahaja pada tahun 2015, iaitu sebelum GST diperkenalkan. Pemimpin UMNO dan Barisan Nasional terlalu sibuk mengumpul kekayaan peribadi sehingga mereka terpisah daripada realiti kesusahan hidup rakyat sekarang. Mereka bermegah dengan jet peribadi dan kereta mewah, tetapi rakyat dibebankan dengan kenaikan harga barangan keperluan dan petrol.

Pakatan Harapan merasai denyut nadi rakyat yang semakin dibelenggu oleh kesukaran hidup. Kami akan mengambil tindakan segera untuk menstabilkan harga barangan keperluan asas dan mengawal faktor-faktor yang menyumbang kepada kenaikan harga. Kerajaan Pakatan Harapan akan memastikan syarikatsyarikat besar tidak boleh menzalimi rakyat melalui kuasa monopoli mereka. Monopoli yang dimiliki oleh syarikat-syarikat seperti BERNAS dalam pengeluaran beras, ASTRO dalam sektor penyiaran, dan lain-lain lagi, akan dikaji semula. Harga ubat-ubatan juga akan dipastikan berpatutan dengan cara memastikan wujud persaingan sihat di kalangan pembekal.

Kerajaan Pakatan Harapan akan bekerjasama secara proaktif dengan pihak pembekal untuk memastikan bekalan barang-barang sentiasa mencukupi, terutama di musim perayaan. Bekalan barangan yang cukup untuk memenuhi permintaan akan menjamin tiada peningkatan harga yang mendadak. Insentif yang secukupnya juga akan diberikan untuk meningkatkan bekalan keperluan asas supaya tekanan kenaikan harga boleh dikurangkan dalam masa jangka panjang.

Kerajaan Pakatan Harapan akan mengurangkan kadar duti eksais kereta import yang berperingkat bagi kereta pertama dengan enjin bersaiz di bawah 1600 cc. Ini untuk membolehkan pembelian kereta pertama dilakukan dengan harga lebih rendah. Untuk mengelakkan salah guna, hanya satu kereta yang layak bagi satu isi rumah yang berpendapatan di bawah RM8,000 sebulan. Kerajaan Pakatan Harapan akan mengambil langkah segera untuk menghapuskan kutipan tol di lebuh raya secara berperingkat.

Salah satu faktor yang menyumbang kepada peningkatan kos barangan keperluan harian ialah kejatuhan nilai matawang Ringgit di pasaran antarabangsa. Nilai Ringgit telah jatuh berbanding hampir semua matawang dunia. Malahan juga jika dibandingkan dengan Baht Thailand dan Taka Bangladesh! Malaysia mengimport lebih daripada 90 peratus bekalan susu, 70 peratus bekalan daging dan 50 peratus bekalan sayur. Apabila nilai Ringgit merudum maka, harga barangan ini telah meningkat naik di Malaysia. Kerajaan Pakatan Harapan akan memberikan tanggungjawab kepada Bank Negara Malaysia untuk merangka strategi terbaik untuk mengembalikan nilai Ringgit kembali ke potensi sebenarnya dalam masa 3 tahun.

Janji 3: Berkongsi kekayaan negara secara bersasar

          Perkembangan ekonomi Malaysia juga jelas tidak membawa faedah yang sama rata kepada rakyat. Golongan kaya bertambah kaya tetapi golongan pertengahan dan bawahan terus tertekan. Umum sedia maklum bahawa peningkatan gaji median di Malaysia adalah terlalu rendah, dan bilangan pekerja di Malaysia yang mendapat gaji kurang daripada RM2000 sebulan adalah terlalu ramai. Ini perlu diperbetulkan dengan segera.

Kekayaan negara kini dibolot dengan rakus oleh beberapa kerat pemimpin politik, isteri, dan anak-anak mereka. Mereka hidup mewah dan boros, tatkala rakyat sengsara menanggung kos sara hidup seharian. Kerajaan Pakatan Harapan akan memastikan kekayaan negara boleh dikongsi bersama oleh warga Bumiputera dan semua rakyat Malaysia yang pelbagai kaum dan agama, termasuklah golongan yang memerlukan di kalangan kaum India dan Orang Asal.

Golongan B40 sedang menghadapi kesukaran hidup yang ketara. Golongan M40 juga berhadapan dengan cabaran yang tidak kurang hebatnya. Kedua-dua kumpulan ini memerlukan bantuan kerajaan dengan cara dan kadar yang bersasar. Bantuan bersasar juga akan memastikan bahawa hanya mereka yang layak sahaja mendapat bantuan kerajaan, manakala golongan yang kaya tidak boleh mengeksploitasi kedudukan mereka untuk kepentingan sendiri.

Pakatan Harapan berpegang dengan pandangan bahawa pemberian bantuan kerajaan perlu dilakukan agar tidak ada rakyat yang ketinggalan. Ini menuntut kepada satu mekanisme yang lebih tersusun yang boleh diwujudkan setelah kita meneliti sistem jaminan sosial yang wujud di negara-negara lebih maju. Mereka yang layak menerima BR1M akan terus menerima bantuan dan proses pembayaran akan dipastikan bebas daripada diskriminasi atau pengaruh politik kepartian. Kerajaan Pakatan Harapan akan memperbaiki sistem ini agar pengurusan dan pemberiannya lebih setara.

Kerajaan Pakatan Harapan akan memastikan pengaruh politik dihapuskan daripada proses pemberian bantuan agar semua rakyat tanpa mengira latar belakang politik akan terus mendapat bantuan dan ia ini tidak disalah guna. Penyaluran bantuan kerajaan melalui parti-parti politik atau mereka yang berkepentingan politik akan dihentikan kerana ini adalah amalan yang tidak beretika. Sebaliknya, pengagihan akan dibuat melalui jentera kerajaan dan badan-badan kebajikan yang tulin.

Sistem bantuan kewangan bersasar tersebut akan berfungsi sebagai jaringan keselamatan sosial yang universal (universal social safety net) bagi semua rakyat yang layak, sepertimana yang kini wujud di negara-negara maju. Pada peringkat awal, skim bantuan ini akan memberi keutamaan kepada rakyat berpendapatan paling rendah di kawasan luar bandar, terutamanya di negeri-negeri seperti Kedah, Kelantan dan Sabah, serta kawasan-kawasan FELDA dan FELCRA. Skim ini akan diperluas ke seluruh negara secara berperingkat.

Pelaksanaan skim ini akan memerlukan penambahbaikan yang signifikan terhadap pangkalan data dan maklumat yang disimpan oleh kerajaan. Maklumat yang kini disimpan oleh Jabatan Pendaftaran Negara, program eKasih, Lembaga Hasil Dalam Negeri, dan agensi-agensi lain, termasuklah di negeri-negeri, akan diselaraskan agar data yang dimiliki sentiasa terkini dan tepat.

Negeri-negeri pengeluar minyak dan gas akan diberi royalti atau nilai bersamaan yang sewajarnya. Kezaliman UMNO dan Barisan Nasional yang memberi dana berdasarkan perkiraan politik akan dihentikan. Kerajaan Pakatan Harapan akan menambah jumlah
royalti petroleum kepada Sabah dan Sarawak, serta negeri-negeri pengeluar petroleum yang lain, kepada 20 peratus atau nilai yang bersamaan, sebagai salah satu langkah pembahagian hasil petroleum yang lebih adil. Ini akan membolehkan negeri-negeri berkenaan mengambil alih lebih banyak tanggungjawab perbelanjaan pembangunan di peringkat negeri.

Janji 4: Menambah program perumahan mampu milik dan mampu sewa

             UMNO dan Barisan Nasional telah gagal dalam usaha menambah bilangan rumah mampu milik. Janji untuk membina 1 juta rumah mampu milik sebelum tahun 2020 telah dilupakan dan tidak sampai separuh bilangan tersebut dapat dibina. Hari ini, betapa ramai rakyat Malaysia, terutama golongan muda, yang tidak mampu memiliki rumah sendiri. Hasil daripada kegagalan UMNO dan Barisan Nasional menguruskan perancangan perumahan negara, kini terdapat lebihan bekalan rumah mahal berharga lebih daripada RM500,000, manakala rumah yang di bawah RM250,000 pula tidak mencukupi.

Kami akan memperbetulkan kelemahan ini dengan segera dan memberi keutamaan kepada projek-projek membina rumah mampu milik. Kerajaan Pakatan Harapan akan memperluaskan skim sewa milik (rent-to-own) di seluruh negara. Kami akan mencari kata sepakat dengan bank-bank komersial agar boleh diwujudkan skim sewa milik dengan pemaju swasta dan juga di pasaran sekunder (secondary market). Di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan, mereka yang sekarang sedang menyewa akan diberi peluang untuk berhijrah ke skim sewa milik sekiranya mereka layak.

Salah satu penyumbang utama kepada kenaikan harga rumah yang terlalu tinggi ialah kesukaran untuk mendapatkan tanah kerana ada beberapa pemaju gergasi, termasuklah syarikat-syarikat GLC, yang memonopoli tanah untuk membina “landbank”, dan seterusnya menunggu harga naik tinggi sebelum mula membina. Akibatnya, harga tanah naik dengan mendadak dan seterusnya meningkatkan harga rumah.

Para pemaju kecil juga tidak dapat memasuki pasaran yang dimonopoli oleh syarikat-syarikat besar ini. Kerajaan Pakatan Harapan akan menetapkan satu had masa untuk projek perumahan disiapkan agar tiada syarikat yang menyimpan tanah perumahan tanpa
diusahakan. Insentif juga akan diberikan kepada pemaju kecil dan sederhana Bumiputera dan bukan Bumiputera agar mereka boleh bersaing dengan lebih sihat dengan syarikat pemaju gergasi.

Kerajaan PH juga akan merombak rancangan PR1MA agar tidak wujud lagi eksploitasi oleh syarikat-syarikat pemaju kroni yang mendapatkan tanah kerajaan dengan harga murah, tetapi meraih keuntungan tinggi dengan membina hanya sedikit rumah mampu milik. Untuk mempertingkat pemilikan rumah di kalangan Bumiputera, Kerajaan Pakatan Harapan akan menggalakkan dan mempermudahkan proses pembinaan rumah mampu milik di atas tanah-tanah waqaf, dengan cara memberi insentif kepada Majlis-
Majlis Agama Islam Negeri-negeri bekerjasama dengan pemaju swasta. Ini akan menambah bilangan rumah mampu milik yang menyasarkan masyarakat Muslim.

Kerajaan Pakatan Harapan juga akan bekerjasama dengan kerajaan-kerajaan negeri untuk mempermudah proses penukaran status tanah sekiranya pemaju mencadangkan pembinaan rumah mampu milik. Kuota rumah mampu milik akan dinaikkan supaya lebih banyak unit yang termasuk dalam kategori ini. Insentif cukai akan diberikan kepada syarikat perumahan yang memfokus kepada perumahan mampu milik, terutamanya dengan menggalakkan penggunaan teknologi terkini seperti Industrialised Building System (IBS) agar kos dapat dikurangkan.

Bagi memastikan tumpuan yang lebih tinggi boleh diberikan, satu Majlis Perumahan Mampu Milik Kebangsaan akan diwujudkan untuk menyatukan gerak kerja semua agensi yang berkaitan di bawah satu bumbung, dan dipengerusikan oleh Perdana Menteri.
Majlis ini, antara lain, akan mengambil langkah-langkah berikut:

  • membina satu juta rumah mampu milik dalam masa dua penggal pentadbiran kami. menyelenggara satu pengkalan data terbuka rumah mampu milik yang belum terjual, untuk mengelak penyembunyian maklumat oleh pemaju yang tidak bertanggungjawab.
  • menyelenggara program sewabeli rumah mampu milik untuk golongan M40 dan B40, serta program khas “rumah mampu sewa” untuk mereka yang layak, terutamanya daripada golongan anak muda.
  • menyelaras perancangan dengan institusi perbankan agar akses kepada pinjaman perumahan untuk pembelian rumah pertama boleh diperluaskan.
  • mengambil alih penyelenggaraan perumahan kos rendah demi mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh penduduk.
Janji 5: Meringankan beban hidup yang ditanggung oleh anak muda

           Anak muda perlu dibantu untuk memulakan kehidupan berdikari agar mereka boleh menjadi penyumbang kepada kemajuan negara pada masa hadapan. Namun pada hari ini, anak muda semakin tertekan dengan peningkatan kos sara hidup, terutama jika mereka baru sahaja memulakan kerjaya. Kerajaan Pakatan Harapan akan memberi keutamaan kepada anak muda yang layak untuk membeli atau menyewabeli rumah mampu milik di seluruh Malaysia.

Untuk membolehkan anak muda memiliki kenderaan yang sesuai, Kerajaan Pakatan Harapan akan mengurangkan kadar duti eksais kereta import yang berperingkat bagi kereta pertama dengan enjin bersaiz di bawah 1600 cc agar pembeliannya dapat dilakukan dengan harga lebih rendah.

Bebanan hutang PTPTN yang ditanggung oleh graduan akan dikurangkan dengan cara melanjutkan tempoh mula bayar agar mereka mula membayar hanya pabila pendapatan bulanan kasar mencapai RM4,000 sebulan. Pelajar yang cemerlang dan juga pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah akan diberikan diskaun bayaran yang setimpal ataupun hutang PTPTN akan dilupuskan seluruhnya.

Kerajaan Pakatan Harapan akan memperkenalkan insentif perkahwinan seperti yang diamalkan di oleh pentadbiran kami di Selangor. Ini akan membantu pasangan muda berumur di bawah 35 tahun dalam perkahwinan pertama mereka.

Kerajaan Pakatan Harapan yakin bahawa majikan yang baik akan turut sama membantu menyelesaikan bebanan hutang PTPTN pekerja mereka. Oleh itu, insentif cukai akan dberi kepada majikan yang membantu membuat bayaran balik tanpa memotong gaji pekerja terbabit. Untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti tinggi yang bersesuaian dengan kelayakan anak muda, Kerajaan Pakatan Harapan akan merancakkan pertumbuhan ekonomi dan pelaburan negara dengan cara mempercepat integrasi ekonomi Malaysia ke dalam sistem ekonomi global dan serantau.

Selanjutnya, Kerajaan Pakatan Harapan akan mengusahakan agar mobiliti graduan dimasukkan sebagai salah satu daripada agenda Komuniti Ekonomi ASEAN. Ini akan untuk membolehkan graduan Malaysia meneroka peluang pekerjaan di negara-negara ASEAN yang lain.

Pertumbuhan ekonomi digital dan ekonomi kreatif yang kini semakin popular di kalangan anak muda juga akan didokong oleh Kerajaan Pakatan Harapan. Dalam rangka mencapai matlamat ini, kami akan mengambil langkah-langkah perlu untuk mengurangkan harga internet jalur lebar sehingga separuh daripada kadar sekarang, tetapi meningkatkan kelajuannya sebanyak dua kali ganda.

Janji 6: Menghapuskan kutipan tol

          Syarikat-syarikat yang diberikan konsesi tol oleh kerajaan menikmati keuntungan yang sangat tinggi. Buktinya ialah sebuah syarikat, iaitu MAJU Holdings, boleh menawarkan untuk mengambil alih Lebuhraya PLUS dengan janji untuk tidak menaikkan bayaran tol selama 20 tahun. Jika konsesi itu tidak untung, bagaimana mungkin MAJU Holdings menawarkan untuk mengambil alih tanpa menaikkan bayaran sebegitu lama?

Tetapi UMNO dan Barisan Nasional terus membiarkan syarikat penerima konsesi, seperti PLUS, terus menerus menekan rakyat demi keuntungan, walaupun ia adalah syarikat milik kerajaan. Jelas sekali, UMNO dan Barisan Nasional tiada keinginan untuk menghentikan kenaikan harga tol. Malahan, perjanjian yang mereka tandatangani memaksa wang rakyat digunakan untuk
memberi pampasan berbilion ringgit kepada syarikat-syarikat terpilih. Walaupun tol mungkin tidak dinaikkan atau dihapuskan, syarikat-syarikat terpilih itu terus mengaut keuntungan akibat perjanjian berat sebelah.

Pakatan Harapan berpegang dengan prinsip bahawa monopoli konsesi yang dimiliki oleh syarikat-syarikat tertentu yang rapat dengan kerajaan perlu dihentikan. Kerajaan Pakatan Harapan akan mengkaji semula semua perjanjian konsesi lebuhraya. Kami akan berunding untuk mendapatkan harga yang terbaik untuk mengambil alih setiap konsesi tol dengan matlamat akhir untuk menghapuskan kutipan tol secara berperingkat.

Kami percaya bahawa penyediaan infrastruktur asas seperti jalanraya dan lebuhraya adalah tanggungjawab kerajaan untuk rakyat.
Kerajaan Pakatan Harapan akan mengambil alih konsesi dengan pampasan yang adil kepada syarikat berkaitan.

 

 

Janji 7: Menyediakan subsidi minyak bersasar

            Tindakan UMNO dan Barisan Nasional menghapuskan subsidi minyak pada akhir tahun 2014 telah menyumbang kepada lonjakan kenaikan harga barangan yang membebankan rakyat. Akibatnya, rakyat terbelenggu dengan peningkatan kos sara hidup yang mendadak. Peningkatan harga minyak mempunyai kesan yang signifikan ke atas kos sara hidup, iaitu, contohnya, melalui kos ulang alik ke tempat kerja untuk mencari rezeki yang halal. Kesan terburuk dihadapi oleh golongan B40 dan sebahagian mereka yang berada di peringkat bawah kelompok M40.

Penghapusan subsidi minyak secara mendadak oleh UMNO dan Barisan Nasional dengan tidak menyediakan langkah untuk membantu mereka yang terjejas teruk, adalah satu kezaliman. Kerajaan Pakatan Harapan akan memberikan subsidi minyak pada kadar yang sesuai setiap bulan kepada golongan yang layak untuk kegunaan motorsikal 125 cc ke bawah dan kereta 1300 cc ke bawah. Satu kuota yang sesuai akan ditetapkan.

Pada hari ini, sudah wujud teknologi yang membolehkan kad pengenalan digunakan di kios pam minyak. Kami akan merangka satu mekanisme pemberian subsidi dengan menggunakan maklumat dalam rekod kad pengenalan. Dengan cara ini, subsidi hanya akan disasarkan kepada golongan yang memerlukan sahaja.

Bagaimanapun, dalam proses pemberian subsidi ini, Kerajaan Pakatan Harapan akan sentiasa mengambil kira keperluan untuk memastikan bilangan kenderaan persendirian di Malaysia tidak meningkat dengan mendadak sehingga mencemar alam sekitar. Kerajaan Pakatan Harapan akan terus komited untuk memperbanyak dan memperbaiki pengangkutan awam agar pemilikan kenderaan bukan lagi menjadi suatu keperluan yang membelenggu rakyat.

 

Janji 8: Memperbaiki kualiti dan liputan pengangkutan awam

            Sistem pengangkutan awam sekarang terlalu berpusat di Kuala Lumpur. Kawasan-kawasan lain di seluruh negara masih memerlukan peningkatan liputan pengangkutan awam, baik di bandar-bandar besar apatah lagi di luar bandar. Ini mewujudkan suasana yang ironis, di mana golongan berpendapatan rendah di kampung-kampung memerlukan kereta untuk pergi ke mana-mana, walaupun pendapatan mereka adalah
terhad.

Kerajaan Pakatan Harapan akan memperluas akses dan liputan perkhidmatan pengangkutan awam dengan cara mewujudkan insentif bagi syarikat bas untuk berkhidmat di kawasan sekitar bandar dan luar bandar. Syarikat-syarikat bas yang mahu mendapat konsesi bagi laluan yang membawa keuntungan akan diwajibkan menyediakan perkhidmatan di laluan yang kurang padat. Tindakan tegas akan diambil sekiranya syarikat-syarikat ini gagal mematuhi peraturan, agar kelemahan yang wujud selama ini dapat diperbaiki.

Kerajaan Pakatan Harapan memandang positif perkembangan teknologi baru dan pertumbuhan sektor ekonomi perkongsian seperti e-hailing yang semakin banyak digunakan. Ada juga negara yang kini sedang mencuba teknologi ini untuk perkhidmatan bas dan motorsikal.

Kami akan bekerjasama dengan syarikat-syarikat dan pemilik-pemilik bas dan bas sekolah sedia ada, dan akan menggalakkan usahawan tempatan yang memiliki kenderaan yang sesuai untuk menceburi dan bersaing dalam sektor ini, agar ia tumbuh dengan pesat di kawasan-kawasan yang memerlukan lebih banyak pengangkutan awam, termasuk kawasan luar bandar serta di Sabah dan Sarawak. Kami juga akan mengurangkan kos bayaran lesen bas sekolah.

Ini memerlukan sistem perundangan dan kawal selia yang mesra inovasi, agar lebih ramai individu boleh melibatkan diri dalam sektor e-hailing, lantas menyumbang ke arah peningkatan akses pengangkutan awam dan pada waktu yang sama mempelbagai peluang pekerjaan di luar bandar. Untuk itu, Kerajaan Pakatan Harapan akan memperkukuh hak para pemandu e-hailing, dan pada
waktu yang sama memastikan hak dan kebajikan para pemandu teksi juga turut terjaga.

Kami akan memastikan syarikat-syarikat pengangkutan bersaing secara sihat untuk mendapatkan konsesi, agar tidak wujud monopoli, lantas menyumbang kepada penurunan kos.

Di bandar-bandar besar seluruh negara, kami akan memperkenalkan secara berperingkat skim pas pengangkutan bulanan dengan kos RM100 sebulan sahaja yang akan membolehkan penggunaan pelbagai jenis pengangkutan awam dengan satu pas. Untuk memastikan kualiti perkhidmatan bas awam boleh diperbaiki, kami akan memastikan berlaku pertambahan 10,000 unit bas awam di seluruh negara dalam penggal pertama pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan.

Janji 9: Mempertingkat akses dan kualiti perkhidmatan kesihatan

            Akses yang sama rata kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti merupakan satu indikator penting sebuah masyarakat yang seimbang. Tetapi kini perkhidmatan kesihatan yang berkualiti lebih mudah diakses oleh golongan berpendapatan tinggi. Beberapa hospital awam secara umumnya mempunyai peralatan yang canggih dan doktor pakar yang amat komited dengan tanggungjawab mereka. Tetapi mereka dibebani dengan bilangan pesakit yang amat ramai dan di luar kapasiti yang dapat ditanggungnya. Antara faktor penyebabnya ialah kegagalan UMNO dan Barisan Nasional memberi peruntukan yang mencukupi untuk sektor kesihatan. Sehingga hari ini, kita masih jauh daripada kadar 7 peratus yang disarankan oleh badan antarabangsa.

Kerajaan Pakatan Harapan akan memastikan peruntukan kewangan bagi Kementerian Kesihatan dinaikkan kepada 4 peratus daripada KDNK dalam penggal pertama pentadbiran kami. Ini akan memastikan kegagalan UMNO dan Barisan Nasional yang hanya memperuntukan 2 peratus daripada KDNK sahaja akan diperbaiki segera.

Pakatan Harapan sedar bahawa rakyat semakin bimbang tentang kos kesihatan yang semakin meningkat. Masih ramai rakyat Malaysia yang tidak mampu membeli insuran kesihatan yang diperlukan.

Kerajaan Pakatan Harapan akan memperkenalkan Skim Peduli Sihat, iaitu seperti yang telah dilaksanakan di Selangor, ke seluruh negara. Skim ini memperuntukkan RM500 setahun untuk keluarga B40 untuk melawat klinik swasta bagi rawatan asas (primary care). Ini akan memastikan mereka tidak bergantung hanya kepada hospital-hospital atau pusat-pusat kesihatan awam yang mungkin jauh dari rumah. Ia juga mengurangkan bebanan tugas pegawai kesihatan awam.

Kerajaan Pakatan Harapan juga akan mengusahakan kerjasama lebih erat antara pusat-pusat kesihatan awam dengan klinik-klinik swasta supaya liputan perkhidmatan dipertingkatkan. Kerajaan Pakatan Harapan akan menambah peruntukan dan memberi insentif untuk penglibatan
syarikat swasta dan badan-badan kebajikan untuk merawat penyakit jarang berlaku (rare diseases), terutamanya di kalangan golongan kurang berada, dan untuk membantu keluarga yang mempunyai anak berkeperluan khas.

Kerajaan Pakatan Harapan akan memberi tumpuan kepada penyakit tidak berjangkit. Ini termasuk pencegahan, pengesanan awal penyait berkenaan, serta memberikan rawatan penyakit barah. Ini memerlukan strategi dan kerjasama pelbagai sektor dan lapisan masyarakat, termasuk perancangan bandar, pengangkutan awam, perundangan industri makanan dan sebagainya.

Lebih banyak sumber kerajaan akan disalurkan kepada penjagaan kesihatan mental melalui hospital-hospital awam, terutamanya dari segi sumber manusia dan juga melalui perlindungan insurans.

Kerajaan juga akan menyediakan vaksin pneumokokus (pneumococcal vaccination) secara wajib untuk semua kanak-kanak di bawah umur 2 tahun iaitu seperti yang dilakukan oleh banyak negara lain. Untuk menangani isu rawatan pesakit terminal, insentif akan disediakan untuk penubuhan pusat penjagaan paliatif (palliative care) di seluruh negara.

Kerajaan Pakatan Harapan akan mengarahkan Kementerian Kesihatan supaya menyediakan plan terperinci untuk menyelesaikan masalah doktor-doktor muda atau houseman yang terpaksa menunggu terlalu lama. Peluang pendidikan dalam bidang perubatan akan diteliti untuk memastikan bilangan pelajar perubatan dan juga bilangan biasiswa atau pinjaman yang diberikan adalah selaras dengan kapasiti dan keperluan doktor dalam negara. Penajaan untuk belajar di luar negara akan diberi hanya untuk universiti yang menepati piawaian yang sewajarnya.

Janji 10: Menjamin keperluan makanan asas rakyat dan menjaga kebajikan petani

            Bekalan makanan yang terjamin adalah penting untuk kelangsungan hidup rakyat. Stok makanan asas yang mencukupi, serta kebolehan untuk mengeluarkan produk makanan asas dalam negara, akan menjamin bahawa bekalan makanan kita tidak akan terancam. UMNO dan Barisan Nasional terlalu ghairah dalam menarik pelabur asing yang hanya meminati sektor pengilangan dan perkhidmatan, tetapi terlupa betapa pentingnya kita mempunyai sektor pertanian yang moden, maju, dan produktif. Ini mengancam
keselamatan bekalan makanan (food security) negara.

Kerajaan Pakatan Harapan akan menilai semula Dasar Keselamatan Makanan Negara dan mewujudkan satu dasar yang lebih baik dengan cara memanfaatkan teknologi pertanian moden yang terkini. Para petani akan dibantu untuk membolehkan mereka mengakses teknologi tinggi, terutamanya di sektor penanaman padi, sayuran, bahan mentah, ayam, daging dan
perikanan.

Matlamat kami ialah memastikan Malaysia menjadi sebuah negara yang boleh menjamin kelangsungan sendiri (self-sufficient) walaupun pada masa krisis. Strategi ini juga akan memastikan para petani dan peladang kita dapat mempertingkat pendapatan
isi rumah masing-masing, selain membantu dalam menstabilkan harga barangan keperluan asas kerana kita tidak lagi perlu mengimport terlalu banyak dari luar negara.

Dalam dua tahun pertama pentadbiran Pakatan Harapan, kami akan memberi penekanan terhadap makanan ruji utama negara iaitu beras. Pakatan Harapan mengambil maklum tuntutan Badan Bertindak Selamatkan Industri Padi Beras Negara dan berjanji akan membantu pesawah padi seluruh negara dengan matlamat untuk menjadikan industri padi lebih produktif dan memastikan kebajikan pesawah sentiasa terjaga.

Monopoli yang diberi oleh UMNO dan Barisan Nasional kepada BERNAS akan dihapuskan dan kerajaan akan memastikan penyeliaan dilakukan secara holistik di setiap peringkat rantaian pengeluaran beras. Matlamat kerajaan Pakatan Harapan ialah untuk
memastikan tahap bekalan padi negara mencapai kadar maksimum dan stok keperluan negara akan mengutamakan beras tempatan yang mempunyai kualiti yang sesuai.

Untuk membela nasib para pesawah, Kerajaan Pakatan Harapan akan mengawal kemasukan beras import dan mengambil tindakan tegas terhadap penyeludupan beras. Kawalan sempadan akan diperketatkan dan manamana anggota pengawal yang terlibat dengan kegiatan penyeludupan haram akan dikenakan tindakan disiplin yang serius.

UMNO dan Barisan Nasional memberikan kuasa monopoli yang tidak wajar kepada syarikat-syarikat tertentu. Kerajaan Pakatan Harapan akan menghapuskan kuasa monopoli ini. Kami akan mewujudkan mekanisme aduan di Kemeterian Pertanian untuk membolehkan petani yang merasakan dirinya dianiaya oleh mana-mana pihak boleh membuat bantahan secara terus.

Pemberian subsidi akan diuruskan oleh agensi kerajaan yang sesuai dan bukan lagi oleh syarikat berkepentingan seperti BERNAS. Mekanisme dan kadar subsidi harga padi akan disemak segera untuk memastikan adil kepada petani. Pemberian bantuan akan dibuat dalam bentuk tunai kepada mereka yang layak untuk membolehkan mereka memilih sendiri baja dan benih yang berkualiti
dan sesuai dengan keperluan sawah masing-masing.

Pakatan Harapan berpandangan bahawa para petani dan peladang adalah wira negara yang kurang pengiktirafan. Mereka mengusahakan tanah sehingga menghasilkan tanaman yang bermutu untuk dinikmati oleh rakyat, tetapi mereka tidak dibantu dengan
sewajarnya oleh UMNO dan Barisan Nasional selain daripada pemberian-pemberian kecil semasa musim pilihan raya sahaja.

Kerajaan Pakatan Harapan akan melindungi dan menjaga kebajikan para petani, penternak dan nelayan dengan memperkenalkan satu skim perlindungan Takaful demi menjamin masa depan mereka. Ada di kalangan para petani dan penternak yang ditimpa musibah apabila berlaku cuaca buruk atau serangan penyakit terhadap tanaman dan penternakan mereka. Kerajaan Pakatan Harapan akan menyediakan bantuan untuk menjamin pendapatan petani, penternak dan nelayan apabila musibah sebegini melanda.

Perhatian akan diberikan kepada para penoreh getah yang menghadapi penurunan harga mendadak atas sebab-sebab yang di luar kawalan mereka. Stok penimbal getah akan diwujudkan untuk memastikan kestabilan di pasaran. Kerajaan Pakatan Harapan akan membanteras manipulasi orang tengah ke atas petani, penternak dan nelayan.

TERAS 2: MEREFORMASI INSTITUSI PENTADBIRAN DAN POLITIK

Kerosakan yang dilakukan oleh para pemimpin UMNO dan Barisan Nasional sekarang menyebabkan tahap kepercayaan kepada institusi-institusi penting negara amat rendah. Semakin ramai yang mempersoal integriti institusi-insitusi penting negara, terutama selepas berlakunya pelantikan yang diragui ke jawatan-jawatan penting negara.

Amalan kronisme terus menjadi barah dalam negara sehingga Indek Kapitalisme Kroni yang diterbitkan oleh majalah antarabangsa The Economist meletakkan Malaysia sebagai negara kedua terburuk di dunia selepas Rusia pada tahun 2016. Ini menyebabkan kontrator Melayu dan Bumiputera menjadi semakin tertekan kerana kontrak dan perolehan kerajaan semakin sukar diperolehi oleh mereka.

Malaysia juga jatuh ke kedudukan 62 dalam Indeks Persepsi Rasuah (Corruption Perception Index) dunia pada 2017, iaitu jatuh tujuh mata berbanding 2016. Ini menandakan kedudukannya yang terendah sejak indeks Transparency International (TI) bermula pada
1995. Ini adalah tahun ketiga berturut-turut Malaysia mendapat kedudukan corot dalam kajiselidik badan pemantau anti rasuah TI berkenaan tanggapan rasuah dalam sektor awam.

Sistem semak imbang yang diwujudkan oleh para pejuang kemerdekaan terdahulu kini semakin sukar untuk berfungsi secara efektif sehingga ada kalanya Raja Raja Melayu terpaksa memberi teguran. Ini melambangkan betapa pemusatan kuasa ke tangan Perdana Menteri telah menjadi amat keterlaluan.

Pakatan Harapan akan mengembalikan kepercayaan terhadap institusi pentadbiran negara dan menebus maruah pentadbiran kita dengan melaksanakan janjijanji berikut.

Janji 11: Mengembalikan maruah orang Melayu dan institusi-institusinya

          UMNO dan Barisan Nasional tidak memperdulikan nasihat dan kebijaksanaan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu. Sebaliknya mereka hanya mengambil pandangan yang memberi faedah politik kepada mereka sahaja, dan mengenepikan pandanganpandangan yang tidak selesa pada mereka Majlis Raja-Raja Melayu pernah bertitah agar kes 1MDB diselesaikan segera. Tetapi UMNO dan Barisan Nasional sehingga hari ini tidak mengendahkan titah tersebut.

Majlis Raja-Raja Melayu pernah bertitah agar institusiinstitusi kawal selia negara dijaga. Tetapi UMNO dan Barisan Nasional terus memanipulasi pasukan Polis DiRaja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Bank Negara, Jabatan Peguam Negara dan Badan Kehakiman, untuk kepentingan politik mereka. Duli-Duli Tuanku berkali-kali mengingatkan agar keharmonian antara kaum dijaga. Tetapi UMNO dan Barisan Nasional terus membiarkan politik perkauman yang sempit dimainkan, termasuklah oleh pemimpin mereka.

Kerajaan Pakatan Harapan akan sentiasa meletakkan pandangan dan teguran Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu di tempat tertinggi, iaitu sesuai dengan kedudukan Raja Berperlembagaan dalam negara kita. Kuasa Raja-Raja Melayu dalam mentadbir agama dan adat istiadat Melayu akan dikembalikan ke negeri-negeri dan campur tangan kerajaan pusat akan dihentikan.

Untuk memastikan Malaysia kekal sebagai sebuah negara harmoni yang mengekalkan kedudukan istimewa bangsa Melayu, Kerajaan Pakatan Harapan akan menubuhkan semula, secara tetap, Majlis Perundingan Keharmonian Rakyat, iaitu seperti Majlis
yang seumpamanya yang pernah wujud pada zaman Almarhum Tun Abdul Razak.

Ini akan membolehkan usaha memupuk hubungan antara kaum dan agama yang harmoni boleh dibincang secara bersama dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan. Kerajaan Pakatan Harapan akan memberi galakan kepada universiti-universiti awam untuk memperbanyak kajian dan perkongsian nasional dan antarabangsa mengenai kesultanan Melayu agar sejarah ketamadunan Melayu dapat dikongsi di persada dunia.

Muzium Diraja di Istana Negara lama akan dinaik taraf menjadi Muzium Pendidikan Kebangsaan, dan kerjasama akan dijalin dengan universiti awam untuk mengaktifkan kegiatan kajian, penerbitan dan pendidikan, melalui seminar dan persidangan secara berkala, tentang institusi Raja-Raja Melayu. Kerjasama juga akan dijalin dengan muzium diraja negara-negara lain agar berlaku percambahan fikiran dan perkongsian ilmu tentang peranan penting institusi beraja dalam semak imbang negara demokrasi.

UMNO dan Barisan Nasional telah gagal menjaga tanahtanah rezab Melayu. Kerajaan Pakatan Harapan akan memastikan tanah-tanah rezab Melayu dilindungi dan semua tanah rezab Melayu yang telah ditukar status diganti semula dengan tanah yang nilainya sama atau lebih tinggi.

Syarikat-syarikat milik kerajaan yang terpilih akan dipersediakan untuk dibeli oleh pengurusan (management buy out) agar peratus pemilikan ekuiti Melayu dan Bumiputera meningkat.

Prestasi dan pencapaian agenda memartabatkan maruah bangsa Melayu dan Islam akan dibentangkan dan dibahaskan di Parlimen setiap tahun agar kerajaan sentiasa bertanggungjawab kepada rakyat keseluruhannya. Kedudukan ekonomi Melayu akan dibentangkan dalam ucapan belanjawan setiap tahun supaya kerajaan boleh dipertanggungjawabkan secara terbuka.

Janji 12: Menghadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri dan menstruktur semula Jabatan Perdana Menteri

            Di bawah pentadbiran UMNO dan Barisan Nasional, Dato’ Sri Najib Tun Razak telah membolot semua kuasa penting sehingga Menteri-Menteri kabinet menjadi seperti pak turut sahaja. Pakatan Harapan akan mereformasi peranan kabinet dan Jabatan
Perdana Menteri secara keseluruhannya supaya sistem pentadbiran kabinet kolektif akan kembali diamalkan di Malaysia.

Tempoh jawatan Perdana Menteri akan dihadkan kepada dua penggal sahaja. Amalan tadbir urus yang baik ini akan juga diterapkan untuk jawatan Menteri Besar dan Ketua Menteri. Perdana Menteri tidak akan memegang jawatan menteri lain, terutamanya jawatan Menteri Kewangan.

Bilangan Menteri dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri sekarang adalah terlalu besar. Terdapat 10 orang Menteri dan 3 orang Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Ini menimbulkan persoalan apakah peranan mereka sebenarnya.
Kerajaan Pakatan Harapan akan menurunkan bilangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri kepada 3 orang sahaja. Tanggungjawab lain akan diturunkan kepada kementerian-kementerian yang bersesuaian.

Peruntukan kewangan kepada Jabatan Perdana Menteri juga adalah terlalu besar, sehingga memungkinkan berlakunya pelbagai salah laku di peringkat tertinggi. Dalam tahun pertama pentadbiran Pakatan Harapan, kami akan menurunkan peruntukan Jabatan Perdana Menteri daripada lebih RM17 bilion sekarang kepada kurang daripada separuh, iaitu RM8 bilion sahaja.

Jabatan Perdana Menteri kini juga mempunyai terlalu banyak agensi, sehingga wujud pertindanan dengan agensi di bawah kementerian lain, dan menjadikan Perdana Menteri seolah olah seorang raja. Kerajaan Pakatan Harapan akan mengurangkan bilangan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri dengan cara memindahkan seberapa banyak agensi yang mungkin ke kementerian yang berkaitan.

Kuasa Perdana Menteri untuk memanipulasi institusi penting negara juga akan dihapuskan dengan mewujudkan lebih banyak proses semak imbang. Kuasakuasa yang berkaitan akan diserahkan kepada badanbadan yang lebih sesuai, termasuklah di peringkat Parlimen.

Janji 13: Menyelesaikan skandal 1MDB, FELDA, MARA dan Tabung Haji

          Terlalu banyak salah laku, rasuah dan ketirisan yang berlaku di bawah pentadbiran Dato’ Sri Najib Tun Razak sehingga kerajaan UMNO dan Barisan Nasional kini dikenali dunia sebagai kerajaan kleptokrat.

Pakatan Harapan akan memastikan semua mereka yang terlibat dalam rasuah dan salah laku dibawa ke muka pengadilan. Untuk itu, Kerajaan Pakatan Harapan akan menjalankan siasatan terperinci untuk mengenalpasti mereka yang wajib menerima hukuman yang setimpal.

Suruhanjaya siasatan akan ditubuhkan untuk menyiasat secara terperinci dan berasingan penyelewengan wang rakyat melalui 1MDB, FELDA, MARA dan Tabung Haji. Suruhanjaya ini juga akan ditugaskan untuk mencadangkan tindakan susulan yang sesuai, serta mekanisme terperinci untuk menyelesaikan skandal-skandal besar ini.

Struktur pentadbiran 1MDB, FELDA, MARA dan Tabung Haji juga akan dikaji semula untuk memastikan wujud semak imbang yang efektif. Para pemegang jawatan akan dipastikan terdiri daripada golongan professional dan bukan mereka yang mempunyai kepentingan politik. Pelaburan-pelaburan yang meragukan di luar negara yang telah dibuat oleh syarikat-syarikat ini akan dihentikan dan kekayaan negara akan dibawa kembali ke tanah air untuk memastikan ia tidak dicuri oleh ahli politik dan golongan kleptokrat yang tidak bertanggungjawab.

Janji 14: Mereformasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan memperkasa usaha membanteras rasuah

             SPRM merupakan badan terpenting dalam mencegah rasuah di Malaysia. Kepercayaan rakyat terhadap SPRM adalah amat penting untuk memastikan ia boleh menjalankan tanggungjawab dengan sepenuhnya. Pakatan Harapan akan memberikan sepenuh mandat dan kepercayaan kepada SPRM untuk melaksanakan peranan mereka.

Kerajaan Pakatan Harapan akan menaikkan taraf SPRM kepada sebuah suruhanjaya yang diiktiraf oleh Perlembagaan Persekutuan, iaitu sama seperti kedudukan Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia. Penaikan taraf ini akan membolehkan SPRM mempunyai autonomi
dan kuasa tersendiri, termasuk melantik para pegawai mereka sendiri, dan disediakan peruntukan yang khas, yang dilindungi oleh Perlembagaan. SPRM akan melapor terus kepada Parlimen, dan bukan lagi kepada Perdana Menteri.

Untuk memastikan semak imbang yang efektif, bilangan Pesuruhjaya SPRM akan ditambah dengan mewujudkan kuota untuk pertubuhan masyarakat sivil menjadi ahli SPRM. Salah seorang dari mereka akan menjadi Pengerusi SPRM, dan semua pesuruhjaya
akan mempuyai jaminan pelantikan tetap (security of tenure). Pelantikan Pesuruhjaya-Pesuruhjaya SPRM perlu disahkan secara demokratik oleh Parlimen.

Kerajaan Pakatan Harapan akan menyemak semula Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Akta Perlindungan Saksi 2009, untuk melakukan penambahbaikan yang perlu. Akta Kebebasan Maklumat akan digubal, dan peruntukan
kewangan akan diberikan untuk melaksanakan akta baru ini.

Semua Ahli Dewan Rakyat, Ahli Dewan Negara, dan pegawai kerajaan berpangkat JUSA C ke atas akan diwajibkan membuat pengisytiharan aset dan pendapatan.

Sebagai lambang komitmen Kerajaan Pakatan Harapan kepada prinsip ketelusan dan keterbukaan, kami akan mengambil langkah segera untuk mengambil bahagian aktif dalam gerakan antarabangsa, iaitu bermula dengan menjadi ahli Open Government Partnership yang kini dianggotai oleh 70 negara di seluruh dunia.

Janji 15: Memisahkan Pejabat Pendakwaraya Negara daripada Pejabat Peguam Negara

           Peguam Negara adalah penasihat undangundang utama kepada kerajaan dan peranan ini perlu dikekalkan. Tetapi wujud konflik kepentingan apabila Peguam Negara juga berfungsi sebagai Pendakwa Raya kerana kerajaan adalah seperti “anak guam”
kepada Peguam Negara. Adalah amat janggal apabila seorang peguam juga memegang kuasa mutlak untuk menentukan sama ada anak guamnya akan didakwa atau tidak.

Pakatan Harapan berpegang dengan pandangan bahawa adalah lebih baik sekiranya jawatan Peguam Negara dan Pendakwa Raya diasingkan agar konflik kepentingan boleh dihapuskan. Ini juga sesuai dengan amalan di negara-negara yang mengamalkan sistem
Westminster seperti Malaysia.

Kerajaan Pakatan Harapan akan mengambil langkah segera untuk memisahkan tanggungjawab Peguam Negara daripada Pendakwa Raya. Peguam Negara akan dilantik dari kalangan ahli parlimen yang berkelayakan, dan beliau akan menjadi seorang Menteri yang boleh meneruskan peranan sebagai penasihat undang-undang bagi kerajaan.Jawatan Pendakwa Raya pula akan dipegang oleh individu lain yang bebas dan bertindak tanpa mengira kepentingan politik kepartian.

Beliau akan mengetuai Pejabat Pendakwa Raya Negara yang mempunyai autonomi dalam melaksanakan kuasa-kuasa pendakwaan, iaitu sama seperti yang dilakukan oleh negara-negara lain yang demokrasinya lebih matang.

Janji 16: Mengembalikan wibawa institusi parlimen

          Parlimen merupakan institusi penting untuk menyemak imbang kuasa Eksekutif. Untuk itu, institusi parlimen mestilah mempunyai infrastruktur yang sewajarnya dan dibiayai oleh peruntukan yang terjamin. Kerajaan Pakatan Harapan akan memperkenalkan
semula Akta Perkhidmatan Parlimen 1963, dengan penambahbaikan dalam perkara-perkara tertentu agar akta tersebut sesuai dengan cabaran zaman moden.

Speaker Dewan Rakyat dan Presiden Dewan Negara akan dipastikan dilantik dari kalangan ahli-ahli Dewan yang mempunyai integriti dan kredibiliti. Speaker Dewan Rakyat dan Presiden Dewan Negara mestilah berhenti daripada politik kepartian sebaik sahaja menerima jawatan tersebut. Untuk memastikan Speaker Dewan Rakyat dan Presiden Dewan Negara menjalankan tugas dengan adil, sebuah jawatankuasa khas akan dibentuk untuk menerima dan meneliti aduan ahli-ahli dewan mengenai keputusan-keputusan yang dirasakan tidak adil.

Ketua Pembangkang akan diberikan status dan peruntukan yang sama dengan seorang Menteri Persekutuan. Pembiayaan berdasarkan formula yang telus akan diberikan kepada semua ahli Dewan Rakyat untuk membolehkan mereka menjalankan tugas dan mengurus pusat khidmat masing-masing.

Untuk membolehkan parlimen memainkan peranan yang sewajibnya, persidangan Dewan Rakyat akan dijalankan minimum 100 hari setiap tahun. Sistem Jawatankuasa Terpilih akan diinstitusikan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara, lengkap dengan peruntukan dan staf sokongan yang sewajarnya untuk membolehkan ia berfungsi dengan berkesan. Jawatankuasa Sementara juga boleh diwujudkan untuk perkara-perkara yang perlu.

Satu Jawatankuasa Terpilih Dewan Rakyat akan diwujudkan untuk memantau setiap Kementerian, dengan kuasa untuk memanggil Menteri dan pegawai kanan untuk memberi keterangan.

Jawatan-jawatan penting dalam negara seperti pelantikan ke Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, dan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman Malaysia, mestilah disahkan oleh
jawatankuasa yang bersesuaian di peringkat Parlimen,. Ini akan mengurangkan kebolehan Perdana Menteri untuk campur tangan dalam pelantikan-pelantikan penting tersebut

Badan-badan kawal selia utama negara seperti Jabatan Peguam Negara, SPRM, Bank Negara, Suruhanjaya Sekuriti, dan Jabatan Audit Negara berhak dipanggil oleh jawatankuasa parlimen yang berkenaan.

Penubuhan kumpulan-kumpulan tidak rasmi dalam Parlimen juga akan digalakkan untuk membolehkan ahli-ahli parlimen bertukar-tukar padangan antara satu sama lain. Ini termasuklah kumpulan seperti kaukus dan kumpulan rentas parti (all party parliamentary groups) yang juga boleh membabitkan wakil dari kalangan masyarakat sivil dan bukan ahli parlimen.

Jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara akan dikhaskan kepada Ahli Parlimen daripada parti pembangkang.
Untuk memastikan rakyat dan semua pemegang taruh boleh dilibatkan dalam proses membuat dasar, Kerajaan Pakatan Harapan akan menghidupkan budaya penerbitan Kertas Hijau untuk merancakkan perbincangan di kalangan rakyat, dan seterusnya
penerbitan Kertas Putih untuk mengumumkan dasardasar besar kerajaan dan salah satu proses yang besar, sebelum akta baru diperkenalkan di Parlimen.

Pada setiap minggu, tempoh 30 minit akan diperuntukkan untuk sesi khas Soalan Kepada Perdana Menteri di Dewan Rakyat. Dewan Negara akan diperkasa untuk memastikan ia memainkan peranan sebagai mekanisme semak dan imbang kepada Dewan Rakyat.

Bilangan Ahli-Ahli Dewan Negara yang dilantik oleh negeri-negeri akan dipastikan sentiasa lebih ramai berbanding mereka yang dilantik oleh Kerajaan Persekutuan supaya suara dan hak negeri sentiasa terjaga. Dalam kedua-dua Dewan, masa yang khusus akan
diperuntukkan untuk:

  • Slot agenda parti pembangkang
  • Soalan Kepada Menteri untuk setiap kementerian yang wajib dihadiri oleh menteri-menteri berkenaan atau timbalannya.
  • Perdebatan di peringkat jawatankuasa mengenai laporan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), Ketua Audit Negara, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), dan laporan tahunan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Petronas.

Untuk memastikan ketelusan dan mengelakkan salah guna kuasa, pada setiap tahun, Kerajaan Pakatan Harapan akan menerbitkan senarai penuh keahlian Ahli-Ahli Parlimen dalam lembaga pengarah syarikat milik kerajaan di peringkat persekutuan atau negeri, dan semua syarikat swasta, atau sebagai konsultan, beserta dengan jumlah elaun dan bayaran-bayaran lain yang diterimanya.

 

 

Janji 17: Menjamin ketelusan dan kemodenan sistem pilihan raya

            Sistem pilihan raya yang telus dan adil perlu wujud untuk memastikan rakyat mempunyai keyakinan terhadap sistem demokrasi di Malaysia. Pakatan Harapan sedia maklum akan pelbagai kebimbangan yang telah disuarakan tentang perjalanan pilihan raya di Malaysia selama ini. Kerajaan Pakatan Harapan akan mengambil tindakan tegas untuk mengembalikan kepercayaan rakyat kepada perjalanan pilihan raya negara kita.

Kerajaan Pakatan Harapan akan membebaskan sepenuhnya Suruhanjaya Pilihanraya daripada campurtangan Perdana Menteri dan ahli-ahli politik lain dengan meletakkan Suruhanjaya Pilihanraya sepenuhnya di bawah pemantauan Parlimen.

Satu kuota akan diwujudkan untuk memastikan masyarakat sivil mempunyai wakil sebagai Ahli Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia. Pelantikan Ahli-Ahli Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia mestilah melalui proses perakuan oleh Parlimen.

Suatu jawatankuasa khas akan dibentuk di bawah pemantauan Timbalan Perdana Menteri untuk bekerjasama dengan masyarakat sivil dalam
mewujudkan dan menerbitkan Garispanduan Kerajaan Sementara (Caretaker Government). Matlamat khusus inisiatif ini ialah untuk menghalang salahguna aset kerajaan untuk kempen kepartian bermula daripada PRU15 nanti.

Tuntutan yang pernah disuarakan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya, Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH), serta laporan pemantauan PRU13 yang diterbitkan oleh Institute for Democracy & Economic Affairs (IDEAS) akan dijadikan landasan dalam mereformasi sistem pilihan raya Malaysia.

Ini termasuklah tuntutan untuk membersihkan daftar pemilih, memperbaiki sistem pengundian pos, menetapkan minimum 21 hari untuk tempoh berkempen, memberikan akses yang adil kepada media untuk semua parti yang bertanding, dan memberi akreditasi dan latihan awal kepada pemerhati pilihan raya bebas.

Kerajaan Pakatan Harapan akan menurunkan had umur layak mengundi kepada 18 tahun, dan melaksanakan pendaftaran automatik berdasarkan daftar Jabatan Pendaftaran Negara.

Untuk mewujudkan persaingan yang sihat, Kerajaan Pakatan Harapan akan memberi ruang kepada semua parti berdaftar yang akan bertanding dalam pilihan raya umum untuk bersiaran dalam saluran TV dan radio kendalian RTM, serta memastikan liputan pilihan raya oleh RTM adalah adil dan saksama.

Kerajaan Pakatan Harapan akan memastikan nisbah yang adil dalam persempadanan semula kawasan pilihan raya, dan mengumumkan secara telus kepada khalayak umum, formula yang digunakan dalam menentukan bilangan pengundi dan saiz kawasan setiap kawasan pilihan raya.

 

Janji 18: Mewujudkan mekanisme pembiayaan politik yang berintegriti

            Dunia dikejutkan dengan pendedahan bahawa Presiden UMNO sekarang menerima wang sebanyak RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya sebelum PRU13 yang lalu. Sehingga kini, pelbagai persoalan masih belum terjawab sepenuhnya tentang sumber wang yang sebegitu banyak. Sejurus selepas skandal ini didedahkan, UMNO dan Barisan Nasional
berlakon seolah-olah mereka mahu memperbetulkan keadaan. Tetapi, sehingga hari ini, tiada langsung tindakan diambil untuk mengawalselia pendanaan politik agar rasuah tidak berulang.

Kerajaan Pakatan Harapan akan memastikan pendanaan politik di negara kita telus dan bebas dari sumber-sumber yang merupakan rasuah di peringkat tertinggi. Satu Akta Kawalan Pembiayaan Politik akan diperkenalkan untuk tujuan ini.

Pakatan Harapan mengiktiraf bahawa pelbagai pihak telah memberi pandangan mengenai mekanisme yang perlu untuk memastikan undang-undang berkaitan pembiayaan politik adalah tegas dan berintegriti. Dalam tahun pertama pentadbiran Pakatan Harapan, satu
jawatankuasa khas akan ditubuhkan untuk menyemak semua cadangan tersebut. Jawatankuasa ini akan bertanggungjawab menyediakan draf Akta tersebut.

Prinsip-prinsip utama Akta tersebut tersebut ialah:

  • Parti-parti politik yang layak akan menerima
    pembiayaan tahunan daripada kerajaan
    mengikut formula yang telus dan konsisten
  • Semua sumbangan politik mestilah
    daripada sumberyang boleh dikenalpasti
  • Parti-parti politik mesti menghantar laporan
    kewangan yang telah diaudit pada setiap
    tahun
  • Parti-parti politik tidak boleh memiliki aset
    yang melebihi RM1 billion
  • Syarikat-syarikat milik kerajaan tidak
    dibenarkan membuat sumbangan politik
Janji 19: Mengembalikan kepercayaan terhadap institusi kehakiman dan perundangan

            Institusi kehakiman dan perundangan adalah unsur penting dalam sistem semak imbang negara. Institusi ini mestilah bebas dan berintegriti, demi memastikan ia diyakini oleh rakyat. Tetapi UMNO dan Barisan Nasional semakin lama semakin tidak segan silu
merobek kepercayaan rakyat terhadap institusi ini.

Kerajaan Pakatan Harapan akan memastikan pelantikan hakim-hakim dilakukan dengan berpaksikan kelayakan dan pengalamannya, tanpa dipengaruhi kepentingan politik. Kuasa Perdana Menteri mempengaruhi pelantikan hakim-hakim akan dielakkan agar tidak berlaku salah guna kuasa untuk menyelamatkan diri sendiri.

Keanggotaan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman akab diputuskan oleh Jawatankuasa Terpilih Parlimen. Keputusan pelantikan yang dibuat oleh Suruhanjaya ini akan dilaksanakan setelah merujuk kepada kebijaksanaan dan budi bicara DYMM Yang DiPertuan
Agong dan Majlis Raja-Raja.

Gaji, elaun dan imbuhan yang diberikan kepada hakim-hakim, termasuklah hakim Mahkamah Syariah, akan dipastikan sesuai dengan tahap professionalisme mereka.

Pelantikan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan melalui jalan belakang seperti yang diamalkan oleh UMNO dan Barisan Nasional, akan dihentikan serta-merta.

Untuk memastikan rakyat meyakini sepenuhnya integriti keputusan-keputusan yang diputuskan oleh mahkamah, satu peraturan akan diperkenalkan agar para hakim memberi penghakiman bertulis setiap kali keputusan kes diumumkan. Sekiranya perlu, maka penghakiman bertulis ringkas boleh dikeluarkan dahulu sebelum penghakiman bertulis yang penuh dihasilkan.

Janji 20: Menjadikan Angkatan Tentera Malaysia dan pasukan Polis DiRaja Malaysia sebagai sebuah pasukan yang dihormati dan disegani

            Sebuah angkatan tentera dan pasukan polis yang moden dan berkebolehan adalah amat penting untuk memastikan negara boleh menjaga keamanan dan memerangi jenayah dengan berkesan. Pakatan Harapan akan memberikan sokongan kewangan
dan prasarana yang selayaknya kepada kedua-dua komponen penting keselamatan negara ini.

Peruntukan kepada PDRM akan dipertingkat, sesuai dengan keperluan mereka menaik taraf kemudahan kepada anggota polis terutamanya bagi anggota berpangkat rendah, dan keperluan kepada lebih ramai anggota. Peruntukan untuk latihan juga akan dinaikkan.

Kerajaan Pakatan Harapan akan menjalankan perbincangan dan kajian terperinci dengan kedua-dua pasukan untuk mengenalpasti keperluan peralatan, persenjataan dan latihan termoden yang diperlukan.

Kerajaan Pakatan Harapan akan mewujudkan mekanisme untuk memperkukuh hubungan dan akauntabiliti antara pasukan polis peringkat negeri dan daerah dengan masyarakat setempat. Desentralisasi berperingkat akan dijalankan untuk mempertingkat
keberkesanan perkhidmatan polis di peringkat setempat.

Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis atau Independent Police Complaints and Misconduct Commission (IPCMC) akan ditubuhkan dalam penggal pertama pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan. Semua bentuk tuduhan salah laku akan disiasat secara
adil dan menyeluruh, termasuklah tuduhan kematian dalam tahanan.

Peranan dan fungsi Cawangan Khas Polis (Special Branch) akan diperhalusi dan dipermodenkan, agar mereka memberi tumpuan kepada keselamatan dalam negeri, anti-terorisme dan jenayah terancang. Pemantauan yang bermotif politik kepartian akan dihentikan. Cawangan Khas juga akan diberi tanggungjawab untuk merangka dengan segera strategi holistik untuk mengawal dan memerangi terorisme dan ekstremisme agama.

Untuk menjaga kebajikan pesara tentera dan polis, kadar pencen yang sedia ada akan dikaji semula dan diselaraskan dengan kos sara hidup semasa. Bagi pesara polis, kadar pencen sebelum tahun 1970 dan selepas tahun 1970 akan diselaraskan.

Kerajaan Pakatan Harapan juga akan membiayai persatuan bekas pegawai polis dan persatuan bekas tentera. Peruntukan awal akan diberikan sekurangkurangnya sebanyak RM500,000 setahun untuk setiap persatuan.

Janji 21: Memperkasa perkhidmatan awam

            Sektor perkhidmatan awam adalah tulang belakang pelaksanaan dasar-dasar negara. Semua negara maju di dunia mempunyai sektor perkhidmatan awam yang dihormati, yang berfungsi secara professional untuk kebaikan rakyat. Justeru, sektor perkhidmatan awam mestilah diberi penghormatan yang sewajarnya agar mereka boleh menjalankan tanggungjawab dengan professional, tanpa tekanan atau ancaman.

Pakatan Harapan mengiktiraf bahawa sektor perkhidmatan awam negara pernah di anggap sebagai sektor perkhidmatan awam yang terbaik di kalangan negara membangun dan di rantau ini. Kerajaan Pakatan Harapan akan meletakkan sektor perkhidmatan awam kembali ke tempat yang sewajarnya dengan memastikan para pegawai kerajaan tidak terlibat atau terpengaruh dengan sentimen politik kepartian dalam melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat.

Campur tangan mereka yang bukan ahli perkhidmatan kerajaan, seperti konsultan tempatan dan antarabangsa, dalam penggubalan dasar negara akan dihadkan. Kepercayaan dan penghormatan yang lebih tinggi akan diberikan kepada para pegawai kerajaan yang pastinya lebih arif mengenai selok belok urus tadbir kerajaan berbanding konsultan luar.

Suruhanjaya Pekhidmatan Awam akan diarahkan untuk mengenalpasti para pegawai kerajaan yang berbakat dan berpotensi untuk memainkan peranan lebih besar dalam pentadbiran negara dan negeri. Mereka ini akan diberi sokongan dan latihan yang diperlukan untuk membolehkan bakat mereka terus berkembang, dan kenaikan pangkat mereka dapat disegerakan.

Kenaikan pangkat akan dilakukan berdasarkan prestasi perkhidmatan dan pengalaman. Semua proses ini akan dijadikan lebih telus agar warga perkhidmatan awam mempunyai peluang yang saksama untuk mendapatkan kenaikan pangkat dan gaji. Budaya kreatif dan kebolehan berfikir di luar kotak akan digalakkan, agar warga perkhidmatan awam boleh mempertajam kebolehan mereka dalam bidang masing-masing.

Janji 22: Menjadikan pentadbiran semua syarikat milik kerajaan (GLC) setaraf dengan piawaian antarabangsa

            Syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) memainkan peranan yang amat besar dalam memperkembang ekonomi negara kita, baik di peringkat pusat, mahupun negeri. Ada GLC yang berfungsi dengan baik, terutamanya syarikat-syarikat yang termasuk dalam kumpulan “G20”, iaitu kumpulan 20 GLC yang berprestasi tinggi. Tetapi, masih terlalu banyak ketempangan yang wujud. Skandal 1MDB dan FELDA sahaja berpotensi memusnahkan banyak rekod positif syarikat-syarikat G20. Lebih memalukan ialah, bilangan sebenar GLC nasional dan GLC negeri tidak diketahui dengan tepat oleh pemimpin UMNO dan Barisan Nasional. Tetapi, ramai kroni mereka yang terus meraih elaun hasil lantikan ke dalam GLC-GLC itu.

Kerajaan Pakatan Harapan akan meneruskan pengamalan ekonomi campuran, dengan mengambil prinsip-prinsip sistem ekonomi pasaran sosial sebagai teras utama. Syarikat-syarikat GLC akan beroperasi dalam sektor yang mengalami kegagalan pasaran (market failure), dan bukan untuk bersaing secara tidak sihat dengan syarikat swasta.

GLC akan diarahkan mendepani usaha mempertingkat pemilikan Bumiputera dalam ekonomi negara. Kerajaan Pakatan Harapan mahu menyaksikan lebih banyak pemimpin korporat Bumiputera yang mampu meneruskan perjuangan syarikat GLC dengan cara pembelian ekuiti oleh pihak pengurusan (management buy out).

Ini akan menyumbang secara langsung ke arah peningkatan pemilikan Bumiputera. Tadbir urus syarikat-syarikat GLC baik di peringkat pusat
mahupun negeri akan diperbaiki agar sumbangannya dipertingkatkan.

Kerajaan Pakatan Harapan akan memastikan pelantikan ahli lembaga pengarah ke dalam GLC nasional dan negeri adalah dari kalangan golongan professional, dan bukan berdasarkan kaitan politik mereka. Untuk menghapuskan konflik kepentingan, bayaran elaun kepada semua ahli lembaga pengarah syarikat GLC nasional dan negeri akan diterbitkan setiap tahun dalam format yang mudah disemak oleh rakyat.

Semua syarikat GLC akan mewujudkan program khas pembangunan vendor Bumiputera. Kerajaan Pakatan Harapan akan menerima pakai
piawaian antarabangsa, seperti Garispanduan OECD Mengenai Tadbir Urus Syarikat Milik Kerajaan, dalam rangka memperbaiki keseluruhan tadbir urus GLC. Sebuah Jawatankuasa Khas Parlimen akan ditubuhkan untuk menerima laporan secara berkala daripada Bahagian Pelaburan Kerajaan Kementerian Kewangan mengenai prestasi GLC-GLC dalam negara.

Janji 23: Memastikan sistem perolehan kerajaan menjana faedah maksimum untuk wang rakyat

            Jumlah yang dibelanjakan oleh Kerajaan Malaysia untuk perolehan adalah amat besar, iaitu dianggarkan melebihi RM100 bilion setahun melalui pelbagai projek dan kontrak. Dengan jumlah yang sebegitu besar, adalah amat penting untuk dipastikan supaya tidak berlaku pembaziran. Kerajaan hanya memegang amanah wang rakyat, dan menjadi kewajipan kerajaan untuk sentiasa memastikan wang ini dibelanjakan dengan berhemah.

Untuk memastikan setiap sen wang rakyat dibelanjakan dengan baik, Kerajaan Pakatan Harapan akan mereformasi sistem perolehan dan pemberian kontrak kerajaan, demi memastikan ia lebih berdaya saing dan menjana nilai yang terbaik untuk wang rakyat. Kami akan memastikan sistem tender terbuka digunakan dengan meluas dan telus, terutamanya untuk projekprojek besar.

Di bawah Kerajaan Pakatan Harapan, Kementerian Kewangan akan diarahkan untuk menyemak semula semua projek infrastruktur gergasi dengan negara asing agar faedahnya dapat dikongsi oleh kaum Pribumi dan rakyat Malaysia secara saksama.

Kerajaan Pakatan Harapan akan menyemak semula amalan sistem perolehan dan tender kerajaan, serta proses perkongsian awam-swasta yang ditadbir oleh Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS). Matlamatnya ialah memastikan kriteria bidaan adalah telus dan konsisten.

UKAS yang kini beroperasi secara tidak telus di bawah Jabatan Perdana Menteri akan dipindahkan ke Kementerian Kewangan dan semua prosedur pemberian kontrak akan dirombak untuk mengimbangkan kuasa Menteri dan menghapuskan rasuah.

Penggunaan teknologi maklumat dan sistem atas talian akan diperkembangkan agar pengaruh individu dan politik dalam membuat keputusan dapat dihapuskan.

Maklumat tentang kontrak yang telah dipersetujui akan dipaparkan dalam laman sesawang agar ia boleh disemak oleh rakyat dan masyarakat sivil. Amalan terbaik yang diwarwarkan oleh rangkaian antarabangsa seperti garispanduan OECD dan Open Contracting Partnership akan dijadikan rujukan utama dalam langkah ini.

Industri Kecil dan Sederhana, termasuk IKS Bumiputera, akan diberi bantuan untuk mengakses maklumat mengenai tender-tender kerajaan, agar mereka mempunyai peluang yang saksama untuk membida kontrak yang sesuai dengannya.

Janji 24: Menghidupkan semangat sebenar konsep federalisme

            Malaysia adalah negara persekutuan yang mengamalkan konsep federalisme. Tetapi, konsep ini terlalu banyak dirobek oleh pentadbiran UMNO dan Barisan Nasional yang rakus merampas kuasa negerinegeri ke peringkat pusat.

Pakatan Harapan akan menghidupkan semula konsep federalisme yang sebenar. Kami mempunyai janji-janji khas untuk Sabah dan Sarawak, iaitu seperti yang digariskan pada bab selepas ini. Pada waktu yang sama, kami juga akan menghidupkan semangat federalisme tulin di semua negeri.

Pembahagian hak dan tanggungjawab seperti yang tersenarai dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan akan dihormati, dan perubahan Jadual Kesembilan untuk menambah kuasa kerajaan pusat akan diminimumkan.

Kuasa negeri-negeri akan diperkukuhkan dengan menurunkan beberapa kuasa yang sesuai kepada negeri, seperti kuasa untuk pentadbiran pengangkutan, kebajikan, perkhidmatan sosial, pertanian dan perlindungan alam sekitar.

Untuk membiayai kuasa negeri yang dipulangkan ini, sekurang-kurangnya 10 peratus daripada hasil cukai pendapatan akan dipulangkan kepada negeri-negeri tempat pembayar cukai bermastautin.

Pada tiga tahun pertama pentadbiran kami, 50 peratus daripada peruntukan belanja pembangunan akan dikhaskan kepada lima negeri termiskin, iaitu Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu dan Perlis.

Janji 25: Memperkukuh peranan dan kuasa pihak berkuasa tempatan

            Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) termasuk MajlisMajlis Perbandaran, adalah pihak berkuasa yang paling dekat dengan rakyat. Peranan PBT berpotensi dikembangkan agar rakyat mendapat perkhidmatan terbaik dengan lebih pantas.

Kerajaan Pakatan Harapan akan memastikan PBT seluruh negara boleh mencapai piawaian perkhidmatan antarabangsa dalam menjalankan tanggungjawab mereka. Agenda global seperti Sustainable Development Goals 2030 akan dijadikan teras dalam penambahbaikan PBT seluruh negara.

Pakatan Harapan komited untuk memperkukuhkan demokrasi setempat. Akauntabiliti PBT kepada masyarakat setempat akan dipertingkatkan agar mereka menjadi lebih bertanggungjawab kepada penduduk setempat dan Akta Kerajaan Tempatan 1976 akan dipinda untuk memastikan hasrat ini tercapai. Pertubuhan-pertubuhan masyarakat sivil setempat akan diberi tempat untuk menyuarakan pandangan mereka secara terus dalam PBT.

Janji 26: Menjadikan Malaysia sebuah negara yang mempunyai rekod hak asasi yang dihormati dunia

            Kerajaan Pakatan Harapan akan menjadikan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) sebagai sebuah badan yang berwibawa dan dihormati. Laporan SUHAKAM akan dijadikan agenda perbahasan di Parlimen agar cadangan-cadangannya ditimbang dengan sewajarnya.

Pesuruhjaya-Pesuruhjaya SUHAKAM akan dilantik melalui proses Jawatankuasa di Parlimen.

Pelan Hak Asasi Manusia Kebangsaan akan dperbaiki dan dilaksanakan sepenuhnya. Matlamat kita ialah agar kedudukan Malaysia dalam Universal Periodic Review menjadi lebih baik dan peningkatan prestasi kita selaras dengan perkembangan dunia.

Peruntukan untuk aktiviti-aktiviti hak asasi manusia oleh SUHAKAM dan badan-badan lain yang berkaitan akan dipertingkatkan. Kapasiti pejabat Wakil Malaysia ke Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) juga akan dipertingkat agar kita boleh memainkan peranan utama di peringkat serantau.

Konvensyen-konvensyen antarabangsa yang sesuai tetapi belum diratifikasi akan diratifikasikan seberapa segera, termasuklah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Hak Politik dan Sivil.

Janji 27: Menghapuskan undang-undang yang zalim

            Sistem perundangan negara kita telah kerap kali disalah guna oleh pemimpin UMNO dan Barisan Nasional untuk menjaga kepentingan politik mereka. Ada di antara undang-undang ini yang diwarisi sejak zaman penjajah British lagi, tanpa dipinda untuk menjadikannya lebih adil untuk rakyat sebuah negara merdeka. Ada juga undang-undang zalim yang diperkenalkan oleh UMNO dan Barisan Nasional sendiri.

Kerajaan Pakatan Harapan akan memansuhkan undang-undang berikut:

  • Akta Hasutan 1948
  • Akta Pencegahan Jenayah 1959
  • Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971
  • Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984
  • Akta Majlis Keselamatan Negara 2016
  • Hukuman gantung mandatori dalam semua akta

Kerajaan Pakatan Harapan juga akan memansuhkan peruntukan-peruntukan yang zalim dalam akta-akta berikut:

  • Kanun Keseksaan 1997 terutama dalam isu perhimpunan aman dan kegiatanmemudaratkan demokrasi
  • Akta Komunikasi dan Multimedia 1998
  • Akta Kesalahan Keselamatan (LangkahLangkah Khas) 2012 (SOSMA)
  • Akta Perhimpunan Aman 2012
  • Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA)

Untuk memastikan semak imbang yang efektif boleh berlaku, Kerajaan Pakatan Harapan juga akan menghapuskan semua peruntukan dalam semua undang-undang yang menghalang pihak mahkamah menyemak keputusan-keputusan kerajaan atau undang-undang yang diperkenalkan oleh kerajaan.

Kerajaan Pakatan Harapan akan memastikan media mempunyai kebebasan untuk menjalankan proses semak imbang terhadap pentadbiran kami. Kami akan menyemak semua undang-undang dan peraturan yang berkaitan dengan media agar kebebasan media akan dijamin, serta mengambil langkah segera untuk meningkatkan kebebasan dan profesionalisme entitientiti seperti Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan BERNAMA.

Kerajaan Pakatan Harapan juga akan menubuhkan sebuah Majlis Media (Media Council) yang dianggotai oleh tokoh-tokoh media sendiri, yang akan dipertanggungjawabkan menyelaras garispanduan etika pelaporan dan bertindak sebagai badan hisbah dalam menangani aduan orang ramai tentang media.

Janji 28: Membina generasi muda yang kreatif dan bebas daripada cengkaman kezaliman

            Paranoia yang dialami oleh UMNO dan Barisan Nasional menyebabkan mereka tanpa segan silu menyalahgunakan pelbagai program semata-mata untuk mempengaruhi anak muda dengan propaganda politik sempit.

Kerajaan Pakatan Harapan akan membubarkan Biro Tata Negara (BTN) yang selama ini giat menjadi agen politik murahan UMNO.

Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) akan dibatalkan kerana ia tidak berjaya mencapai objektif yang digariskan dan penuh dengan pembaziran.

Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 akan dimansuhkan kerana ia acap kali disalahguna untuk menyekat kebebasan mahasiswa.

Janji 29: Meningkatkan ketelusan dan integriti belanjawan dan proses belanjawan

            Belanjawan Tahunan negara adalah mekanisme untuk memastikan kerajaan mempunyai perancangan yang mapan dalam mentadbir negara. Tetapi UMNO dan Barisan Nasional di bawah Dato’ Sri Najib Tun Razak telah menurunkan martabat Ucapan Belanjawan kepada satu pengumuman populis yang menyembunyikan pelbagai perkara.

Malahan, mereka menubuhkan pelbagai syarikat khas (Special Purpose Vehicles, SPV) untuk menyembunyikan perbelanjaan tertentu agar rakyat tidak tahu situasi kewangan sebenar negara. Misalnya, projek-projek mega seperti MRT, LRT Extension, LRT Line 3, Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL), Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR) dan Lebuhraya Pan Borneo, adalah beberapa contoh perbelanjaan tersembunyi menggunakan nama SPV. Apabila syarikat-syarikat ini membuat pinjaman, hutang mereka ditanggung oleh kerajaan melalui jaminan. Akibatnya jaminan kerajaan atapun tanggungan luar jangka (contingent liability) telah naik memuncak hampir tiga kali ganda, iaitu daripada RM 84 bilion pada tahun 2009 kepada lebih daripada RM200 bilion pada permulaan tahun 2018.

Di samping itu, UMNO dan Barisan Nasional telah memindahkan perbelanjaan seperti pembinaan bangunan sekolah dan kuarters polis kepada syarikat milik kerajaan seperti Pembinaan BLT dan Pembinaan PFI.

Hutang besar syarikat-syarikat ini disembunyikan daripada pengetahuan rakyat kerana ia tidak disebut secara telus dalam ucapan belanjawan.

Semua ini telah mencipta bom jangka yang boleh membangkrapkan negara jika tidak diperbaiki segera. Kerajaan Pakatan Harapan akan memperbaiki ketelusan pentadbiran kewangan negara dan melaksanakan belanjawan yang lebih bertanggungjawab. Kami akan mengambil kira syor daripada badan antarabangsa, seperti International Budget Partnership untuk menambah baik proses penyediaan Belanjawan Negara.

Kementerian Kewangan akan diarahkan menyediakan laporan pertengahan penggal untuk membolehkan ahli-ahli parimen menilai prestasi pengurusan kewangan negara secara telus.

Kami akan melaksanakan sistem perakaunan akrual (accrual accounting) supaya perbelanjaan kerajaan diatur dengan baik.

Oleh kerana terlalu banyak maklumat disembunyikan oleh UMNO dan Barisan Nasional, maka kerajaan Pakatan Harapan akan menjalankan siasatan forensik yang menyeluruh dalam tahun pertama pentadbiran kami untuk mengenal pasti kedudukan sebenar kewangan negara. Maklumat ini akan dikongsi dengan rakyat dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan.

Untuk memastikan pelbagai pihak, terutamanya badan-badan bukan kerajaan, mampu memainkan peranan untuk menyemak imbang kerajaan Pakatan Harapan, maka Jabatan Statistik Negara akan diarah untuk menerbitkan data-data penting tentang ekonomi dan sosial secara berkala, dalam format yang mudah dianalisa dan mudah diakses. Untuk memastikan rakyat meyakini integriti dan kesahihan data yang diterbitkan, maka satu panel pakar yang dianggotai oleh individuindividu yang dihormati akan dibentuk untuk menasihati Jabatan Statistik Negara. Semua ini akan memastikan bahawa rakyat secara keseluruhannya boleh memastikan kami sentiasa telus dan bertanggungjawab.

TERAS 3: MERANCAK PERTUMBUHAN EKONOMI YANG ADIL DAN SAKSAMA

Malaysia pernah menikmati pertumbuhan ekonomi sehingga 8-9 peratus setahun tetapi kini kadar pertumbuhan itu telah turun. Lebih buruk lagi, jurang ketidaksamarataan juga semakin buruk, dengan golongan kaya bertambah kaya tetapi rakyat biasa menghadapi kesukaran. Golongan 20 peratus teratas boleh hidup dengan selesa, tetapi, golongan pekerja, rakyat marhaen dan mereka yang berada dalam kelompok B40 tidak mengecapi nikmat yang sama.

Walaupun negara semakin membangun, tetapi hanya golongan tertentu sahaja yang merasai faedahnya. Malahan ada pemimpin tertinggi negara yang memiliki kemewahan di luar jangkaan dan jauh berbeza daripada realiti yang dihadapi oleh rakyat biasa.

Situasi ini perlu diperbetulkan. Ketidaksamarataan yang keterlaluan boleh membawa kepada kepincangan hubungan antara sesama rakyat dan menjejaskan keharmonian. Pada waktu yang sama, pembangunan negara juga mestilah berjalan secara mapan demi memastikan kita boleh mewariskan alam sekitar yang terjaga kepada generasi akan datang.

Pakatan Harapan akan mereformasi struktur ekonomi negara agar keyakinan dan kredibiliti akan dapat dikembalikan, serta seluruh rakyat beroleh faedah daripada pembangunan.

Cara terbaik untuk merangsang ekonomi ialah dengan mengembalikan wang rakyat ke dalam poket rakyat sendiri, bukan ke dalam poket golongan kroni atau

golongan terkaya sahaja. Rakyat yang mempunyai wang sendiri akan berbelanja untuk menampung dan memperbaiki kehidupan masing-masing, lantas menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan ekonomi domestik, mencipta peluang pekerjaan baru dan menarik lebih banyak pelaburan. Inilah bentuk pertumbuhan ekonomi yang akan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat terbanyak.

Pakatan Harapan berpegang pada prinsip bahawa taraf kehidupan rakyat perlu dipertingkatkan dan kekayaan negara mestilah dikongsi secara adil dan saksama demi menurunkan kadar ketidaksamarataan dalam negara. Ini akan memastikan rakyat seluruhnya boleh menikmati pendidikan yang berkualiti, latihan yang baik, pekerjaan yang dibanggakan, dan perumahan serta khidmat kesihatan yang setimpal.

Untuk itu, Kerajaan Pakatan Harapan akan memastikan ekonomi negara dipacu oleh inovasi terkini oleh rakyat kita, dan kami akan memperkenalkan dasar dan pentadbiran yang menggalakkan usahawan untuk berjaya, terutamanya usahawan-usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) yang merupakan tulang belakang ekonomi negara. Dasar-dasar yang menjurus ke arah ekonomi berdaya saing yang terbuka, menggalakkan pelaburan dan berproduktiviti tinggi akan menjadi teras pentadbiran kami supaya pihak pembekal dan pengeluar perlu bersaing dalam memastikan harga barangan lebih rendah tetapi kualiti terus meningkat.

Janji 30: Memajukan ekonomi Bumiputera dan semua rakyat berbilang bangsa

          Pakatan Harapan akan memastikan pertumbuhan ekonomi negara berjalan lebih rancak agar warga Bumiputera dan semua rakyat Malaysia mendapat faedah yang saksama. Kami akan mengekalkan Malaysia sebagai sebuah negara yang ekonominya terbuka, menarik minat pelabur asing serta syarikat gergasi dunia untuk melabur, dan menggalakkan syarikat tempatan melabur ke luar negara.

Di peringkat dalam negeri, fokus utama kami ialah untuk memajukan industri kecil dan sederhana (IKS) kerana sektor ini memberi pekerjaan kepada lebih daripada 65 peratus rakyat Malaysia. Visi kami ialah sektor IKS yang boleh bersaing di peringkat ASEAN dan juga memainkan peranan aktif dalam rangkaian nilai global (global value chain), serta menyumbang dalam Revolusi Industri 4.0.

Kerajaan Pakatan Harapan akan memberi sokongan berterusan dalam semua aspek kepada pengusaha IKS Bumiputera dan juga pengusaha IKS lain yang layak. Mereka yang berkebolehan untuk berkembang ke luar negara akan diberi bantuan modal dan teknologi yang sewajarnya. Kepentingan IKS akan sentiasa dijamin dalam semua perjanjian perdagangan antarabangsa, bukan menjaga kantung syarikat besar dan kroni sahaja.

Kerajaan Pakatan Harapan akan memberi lebih banyak penumpuan kepada pembangunan ekonomi orang Melayu dan Bumiputera agar akan wujud sebuah bangsa yang boleh berdikari dan bersaing secara sihat di serata dunia.

Untuk memastikan iltizam kerajaan yang berterusan dalam membantu warga Bumiputera, Kerajaan Pakatan Harapan akan mengira secara tuntas dan menerbitkan kepada umum jumlah pegangan ekuiti Melayu dan  Bumiputera terkini agar ia menjadi penanda aras yang tepat dalam usaha mencapai matlamat peningkatan ekuiti Melayu dalam pasaran.

Laporan ini akan dibentangkan di Parlimen dalam setiap Ucapan Belanjawan Menteri Kewangan.

Kerajaan Pakatan Harapan juga akan mengangkat kedudukan badan-badan bukan kerajaan yang memperjuangkan status ekonomi Melayu dan Bumiputera, seperti Majlis Perundingan Melayu atau badan-badan lain, sebagai rakan dialog rasmi kerajaan.

Melalui reformasi ekonomi yang holistik ini, Kerajaan Pakatan Harapan akan memastikan kita mencapai matlamat Wawasan 2020 untuk menjadikan Malaysia sebagai menjadi negara bersatu, dengan masyarakat Malaysia yang yakin, diterapkan oleh nilai moral dan etika yang kuat, hidup dalam masyarakat yang demokratik, liberal dan toleran, penyayang, ekonomi yang adil dan saksama, progresif dan makmur, dan memiliki sepenuhnya ekonomi yang kompetitif, dinamik, teguh dan berdaya tahan.

Janji 31: Merangsang pelaburan serta mempermudah proses perniagaan dan perdagangan

           Penyertaan strategik negara dalam rantaian nilai dan produk serantau seperti ASEAN, dan global, seperti Regional Comprehensive Economic Partnership (RCEP), dan perjanjian-perjanjian perdagangan bilateral dan multilateral yang lain akan dilaksanakan dengan tersusun, agar lebih ramai pengusaha Bumiputera dan para peniaga Malaysia berpeluang menceburi pasaran antarabangsa.

Rundingan bilateral dengan Kesatuan Eropah dan negara-negara lain akan dijayakan supaya barangan dan usahawan kita boleh memasuki pasaran baru, di samping menarik pelaburan asing yang berkualiti.

Kerajaan Pakatan Harapan akan menggalakkan pelaburan berterusan dari negara China dan negaranagara Asia yang lain, setelah semua perjanjian projek mega yang diumumkan sebelum ini diteliti semula untuk memastikan tiada salah laku dan rasuah. Matlamat kami ialah untuk memastikan dana dari negara China adalah pelaburan bermutu tinggi yang faedahnya dapat dikongsi bersama oleh semua rakyat, terutamanya kaum Bumiputera dan para peniaga IKS semua bangsa, bukan dibolot oleh mereka yang berkepentingan sahaja atau meningkatkan hutang negara ke tahap yang tidak bertanggungjawab.

Dewan-dewan perniagaan dan persatuan serta rangkaian perniagaan akan diberi akses terus ke Kementerian-Kementerian dan agensi-agensi berkaitan agar mereka boleh mempertemukan ahli-ahli mereka dengan pemodal, pelabur dan pemberi pinjaman dalam semua sektor.

Malaysia Productivity Corporation (MPC) akan diberi dana dan bidang kuasa yang lebih luas untuk membolehkan mereka memperluas Amalan Kawal Selia Baik (Good Regulatory Practice) dan mengurangkan bebanan regulasi yang tidak diperlukan (reducing unnecessary regulatory burden) dalam semua aspek yang berkaitan, agar ekonomi kita menjadi lebih kompetitif dan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan. Kapasiti mereka sebagai secretariat PEMUDAH akan diperkukuh agar keberkesanannya boleh dipertingkatkan. Peruntukan juga akan diberikan agar mereka boleh menjalankan kajian segera untuk mengenalpasti peraturan-peraturan yang diperkenalkan oleh UMNO dan Barisan Nasional yang membelenggu produktiviti dengan tujuan agar peraturan berkenaan dimansuhkan.

Kerajaan Pakatan Harapan akan merangsang pertumbuhan sektor ekonomi baru (new economy), ekonomi perkongsian (sharing economy), sektor penyelidikan dan pembangunan (research and development), serta memperkukuh perlindungan harta intelek agar syarikat-syarikat boleh melabur dalam aktiviti inovasi dengan lebih rancak.

Pakatan Harapan berkeyakinan bahawa negara kita telah tiba ke tahap yang mana pembangunan seterusnya hanya boleh dicapai jika kita meningkatkan produktiviti dan bukan dengan hanya menarik pelaburan semata-mata. Hakikatnya, produktiviti Malaysia telah menjadi lebih rendah akibat kelemahan

Najib, yang mana Produktiviti Faktor Keseluruhan (Total Productivity Factor) secara purata hanyalah 1.8 peratus sahaja, berbanding sekitar 2.2 peratus di Hong Kong, Korea Selatan dan Singapura.

Maka Kerajaan Pakatan Harapan akan memastikan tumpuan kami ialah untuk mengkoordinasi reformasi struktur ekonomi untuk memastikan produktiviti kita menjadi lebih baik daripada apa yang dicapai oleh UMNO dan Barisan Nasional kini. Penambahbaikan sistem pendidikan dan latihan kemahiran, menggalakkan inovasi dan pengkomersialan harta intelek, membantu syarikat-syarikat menggunapakai teknologi, automasi dan sistem IT terkini akan dilakukan secara tersusun.

Selain itu, Kerajaan Pakatan Harapan juga akan memastikan kerangka dasar persaingan negara adalah yang terbaik, beserta dasar tenaga buruh yang memastikan keuntungan dikongsi secara adil. Kerangka peraturan untuk IKS dan syarikat-syarikat lain juga akan dipermudahkan supaya kos menjalankan perniagaan dapat diturunkan.

Kerajaan Pakatan Harapan juga akan memastikan penyelarasan antara dasar hubungan antarabangsa negara dengan dasar pembangunan industri, agar Malaysia boleh menggunakan diplomasi ekonomi dalam membantu para usahawan kita berjaya di peringkat serantau dan antarabangsa.

Perniagaan yang memerlukan bantuan untuk memperbaiki teknologi dan inovasinya akan disokong, termasuklah dengan cara memastikan polisi pelaburan kita akan menggalakkan kemasukan teknologi terkini ke dalam negara.

Pakatan Harapan meyakini bahawa golongan wanita boleh memberi sumbangan penting dalam pertumbuhan ekonomi negara. Maka, Kerajaan Pakatan Harapan akan memastikan bahawa wanita boleh mencapai kemuncak kerjayanya tanpa halangan, termasuklah dengan cara menggalakkan pengamalan waktu kerja fleksibel untuk ibu-ibu yang perlu menjaga anak mereka dan juga memberi insentif kepada syarikat-syarikat yang menjaga kebajikan pekerja wanita mereka.

Pakatan Harapan sedar bahawa salah satu kelemahan tenaga kerja kita ialah kegagalan menguasai Bahasa Inggeris. Hasil kelemahan UMNO dan Barisan Nasional, prestasi para pelajar kita dalam ujian PISA (Programme for International Student Assesment) tidak memberangsangkan berbanding negara-negara seperti Vietnam sekalipun. Kerajaan Pakatan Harapan akan memperbetulkan kegagalan ini dengan segera. Kami akan mengurangkan bebanan tugas pentadbiran guru-guru supaya mereka mempunyai lebih banyak masa untuk mengajar murid-murid secara terus. Hasil daripada penambahbaikan sistem pendidikan, kami yakin para pelabur akan lebih yakin untuk membuat pelaburan berkualiti lebih tinggi dalam negara kita.

Janji 32: Memperkenalkan sistem percukaian mesra rakyat dan mesra usahawan

           Percukaian adalah salah satu mekanisme untuk membolehkan kerajaan melaksanakan program pembangunan dan kebajikan untuk rakyat. Adalah penting agar dasar percukaian negara boleh menyumbang ke arah pembangunan ekonomi yang lebih mapan, menggalakkan pelaburan, serta pada waktu yang sama tidak membebankan golongan berpendapatan rendah.

Pakatan Harapan akan menamatkan tindakan UMNO dan Barisan Nasional yang memperguna cukai untuk memeras rakyat, semata-mata kerana mereka boros, berhutang dengan banyak dan gagal mentadbir kewangan negara dengan amanah.

Pakatan Harapan akan mengkaji semula sistem percukaian negara secara holistik, dengan matlamat menjadikan kadar cukai pendapatan, cukai korporat dan cukai-cukai lain, kompetitif berbanding negara-negara ASEAN yang lain. Matlamat kami ialah agar kekayaan negara dikongsi secara adil, bukannya dibolot oleh orang tertentu dengan isteri dan anak anak mereka sahaja.

Kadar cukai syarikat dan cukai pendapatan untuk peniaga kecil-kecilan dan pekerja sambilan akan dikaji semula dengan matlamat mengurangkan bebanan mereka.

Kami akan memberi tumpuan kepada para peniaga kecil dan sederhana, kerana sektor IKS menyumbang kepada hampir 40 peratus daripada KDNK, dan 97 peratus daripada syarikat Malaysia adalah daripada kategori ini. Kerajaan Pakatan Harapan akan membantu majoriti rakyat Malaysia menambah pendapatan dan memperluas perniagaannya dengan mewujudkan sistem cukai korporat yang mesra IKS, mesra peniaga atas talian (online business) dan mesra pekerja sambilan dan mereka yang bekerja dalam sektor ekonomi perkongsian (sharing economy).

Kadar cukai pendapatan peribadi juga akan dikaji semula supaya bebanan terhadap golongan 40 peratus pertengahan (M40) dapat dikurangkan. Manakala golongan 40 peratus terbawah (B40) memang secara umumnya tidak membayar cukai pendapatan.

Janji 33: Menubuhkan Suruhanjaya Peluang Pekerjaan Saksama

           Salah satu janji dasar yang dicadangkan dalam versi pertama Model Baru Ekonomi pada tahun 2010 adalah penubuhan Suruhanjaya Peluang Saksama. Tujuan Suruhanjaya ini adalah untuk menangani amalan pengambilan pekerja yang bersifat diskriminasi dan tidak adil di sektor awam dan juga sektor swasta. Tujuan dasar ini adalah untuk meningkatkan daya saing ekonomi domestik. Malangnya, cadangan ini dikeluarkan dalam versi akhir Model Baru Ekonomi, dan ini dikritik oleh mereka yang menulis Model Baru Ekonomi itu sendiri.

Kami menyedari bahawa amalan pengambilan pekerja yang tidak adil dan diskriminasi wujud dalam banyak sektor ekonomi. Kajian-kajian oleh ahli akademik telah mendedahkan wujudnya diskriminasi dalam pengambilan pekerja di sektor swasta. Pada masa yang sama, terdapat juga aduan mengenai amalan ketidakadilan terhadap pengambilan pekerja di sektor awam.

Penubuhan sebuah Suruhanjaya Peluang Pekerjaan Saksama (EEOC), yang akan diwakili oleh individu yang dihormati dari sektor swasta dan awam, bertujuan untuk menghapuskan amalan pengambilan pekerja yang tidak adil dan diskriminasi ini. Dengan berbuat demikian, kami akan mewujudkan tenaga kerja di sektor awam dan swasta yang lebih pelbagai, lebih berdaya tahan, lebih inovatif dan lebih responsif terhadap pola dan permintaan pasaran serta keperluan warganegara Malaysia.

Janji 34: Meningkatkan pendapatan rakyat terbanyak

            Kadar ketidaksamarataan pendapatan semakin meningkat, baik dalam sektor awam mahupun sektor swasta. Bilangan rakyat yang mampu menabung adalah rendah. Bank Negara Malaysia melaporkan (2015) bahawa tiga daripada setiap empat orang rakyat Malaysia tidak mampu untuk mencari walaupun hanya RM1,000 jika berlaku kecemasan, dan hanya 6 peratus sahaja yang boleh bertahan selama lebih enam bulan jika mereka kehilangan sumber pendapatan. Kegagalan UMNO dan Barisan Nasional untuk membantu rakyat biasa adalah amat nyata.

Pakatan Harapan akan membela nasib semua rakyat, terutama golongan Bumiputera dan mana-mana rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan. Strategi utama kami ialah dengan merancakkan pembangunan ekonomi untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, dan pada waktu yang sama mewujudkan jaringan keselamatan sosial golongan berpendapatan rendah. Tiada seorang rakyat pun yang akan ditinggalkan.

Untuk menghentikan diskriminasi terhadap Sabah dan Sarawak, Kerajaan Pakatan Harapan akan menaikkan kadar gaji minimum di Sabah dan Sarawak agar setara dengan Semenanjung.

Kadar gaji minimum akan dinaikkan kepada RM1,500 sebulan di seluruh negara dalam penggal pertama pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan, dan kami akan menyemak kadar ini setiap 2 tahun.

Untuk mengurangkan bebanan kepada majikan, Kerajaan Pakatan Harapan akan berkongsi 50 peratus daripada kos ini dengan majikan. Ini bermaksud apabila gaji minimum dinaikkan daripada RM1,000 ke RM1,500, Kerajaan Pakatan Harapan akan membiayai RM250, manakala majikan pula membiayai RM250 lagi.

Lambakan pekerja asing adalah salah satu faktor yang menyebabkan gaji pekerja Malaysia tidak meningkat dengan sewajarnya.

UMNO dan Barisan Nasional gagal sama sekali mengawal lambakan pekerja asing. Kerajaan Pakatan Harapan akan mengurangkan bilangan pekerja asing daripada 6 juta kepada 4 juta orang dalam penggal pertama pentadbiran kami.

Pakej galakan dan insentif kepada para pengusaha kecil dan sederhana akan dipelbagaikan, terutamanya untuk mereka yang tinggal di kampung-kampung dan di kawasan-kawasan FELDA seluruh negara.

Kerajaan Pakatan Harapan akan membantu Majlis dan Jabatan Agama Islam negeri-negeri agar mereka boleh menyalurkan bantuan zakat dan sedekah kepada golongan kurang berkeupayaan dengan lebih efektif dan pantas. Maklumat tentang pendapatan isi rumah dan keperluan rakyat termiskin akan dikongsi secara pintar dengan peringkat negeri, tanpa mengubah kuasa negeri dalam pentadbiran agama masing-masing.

Sebuah agensi khas akan diwujudkan untuk mengambil alih pengurusan BR1M dan memperkenalkan skim bantuan tunai (cash transfer scheme) yang tersusun dan bebas daripada pengaruh politik kepartian.

Agensi ini akan mengambil tindakan segera untuk mengkaji mekanisme bantuan sosial (welfare benefits) di negara-negara maju dan seterusnya merangka skim yang sesuai dengan kemampuan Malaysia, serta menggalakkan sektor swasta dan badan-badan kebajikan untuk menyumbang.

Kerajaan Pakatan Harapan juga akan melipatganda penglibatan sektor badan kebajikan dan keusahawanan sosial dalam membantu golongan yang memerlukan. Bantuan dan insentif yang sewajarnya akan disediakan untuk badan-badan yang berkelayakan.

Janji 35: Menaikkan martabat golongan pekerja dan mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkualiti

            Rakyat Malaysia adalah antara yang paling terpelajar dan rajin di rantau Asia. Tetapi, di bawah pentadbiran UMNO dan Barisan Nasional, para pekerja kita dipandang remeh, malah ditindas. UMNO dan Barisan Nasional hanya memihak kepada syarikatsyarikat korporat besar.

Pada waktu yang sama, UMNO dan Barisan Nasional juga mahu membawa masuk 1 juta lagi pekerja asing Bangladesh, walaupun ini hanya akan melonjakkan bilangan pekerja asing dan merencatkan kenaikan gaji pekerja tempatan. Akibatnya, gaji pekerja tempatan tidak lagi mampu menampung kehidupan seharian.

Anak-anak muda lepasan persekolahan, kolej dan universiti semakin sukar mendapat pekerjaan yang berkualiti. Mereka terpaksa bekerja sebagai pekerja sementara atau pekerja kontrak yang tidak terjamin. UMNO dan Barisan Nasional pula mahukan mereka menjadi penjual nasi lemak sahaja. Kini, ramai anak muda menerima gaji pada tahap kemiskinan. Graduan universiti pula mendapat gaji permulaan sekitar RM2,000 sahaja, iaitu sama seperti graduan tahun 1998.

Pakatan Harapan memahami masalah anak muda dan pekerja Malaysia.

Kerajaan Pakatan Harapan akan memperkukuh hak para pekerja menubuhkan kesatuan sekerja dan memilih kesatuan sekerja di tempat kerja masing-masing. Para pekerja perlu diberi hak untuk menubuhkan kesatuan sekerja, dan kebebasan mereka untuk menyertai secara sukarela sesebuah kesatuan akan dipertahankan. Hak untuk berunding dengan majikan secara berkumpulan (collective bargaining) akan dilindungi dan diperluaskan.

Kerajaan Pakatan Harapan akan memastikan kualiti perlindungan hak pekerja di Malaysia setara dengan piawaian antarabangsa, termasuklah konvensyenkonvensyen yang digariskan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (International Labour Organisation).

Kerajaan Pakatan Harapan akan memberi fokus untuk mewujudkan 1 juta pekerjaan berkualiti untuk memastikan wujud mobiliti sosial yang membolehkan lebih ramai warga kita menjadi golongan kelas menengah. Kami juga akan merancakkan pelaburan dalam sektor teknologi STEM demi menjamin masa depan negara dalam persaingan dunia.

Untuk memastikan gaji rakyat meningkat, Kerajaan Pakatan Harapan akan menaikkan gaji minimum ke RM1,500, dan pada masa yang sama, memperkenalkan dasar dan peraturan agar pekerja tempatan diutamakan oleh majikan. Bilangan pekerja asing akan dikurangkan secara berperingkat dan Menteri kami akan dilarang memberi surat sokongan untuk mengambil pekerja asing.

Demi menyiap-siagakan pekerja Malaysia menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0, mereka yang menganggur akan diberi latihan semula secara percuma, dalam sektor-sektor baru, terutamanya sektor teknologi.

Menyedari bahawa Malaysia sedang menjadi tuan rumah kepada lebih dari 150,000 orang pelarian, termasuk dari Rohingya dan Syria, Kerajaan Pakatan Harapan akan mengabsahkan status mereka yang mempunyai kad UNHCR sebagai pelarian dan memberi kebenaran untuk mereka bekerja. Hak mereka sebagai pekerja juga akan dilindungi secara saksama dengan para pekerja lain. Ini akan mengurangkan keperluan negara kepada pekerja asing, mengurangkan risiko golongan pelarian terlibat dengan kegiatan jenayah dan ekonomi bawah tanah, serta membantu golongan pelarian untuk membina kehidupan baru tanpa penindasan.

Untuk membolehkan ibu bapa terus bekerja dengan hati yang tenang, Kerajaan Pakatan Harapan akan memastikan perkhidmatan penjagaan anak disediakan bagi anak berumur sehingga 12 tahun. Perkhidmatan ini akan diberi subsidi di semua Jabatan kerajaan. Syarikat swasta pula akan diberi insentif untuk menyediakan perkhidmatan yang sama.

Untuk membolehkan syarikat IKS menjaga kebajikan pekerjanya, Kerajaan Pakatan Harapan akan mengkoordinasi agar perkhidmatan jagaan anak boleh disediakan dengan menggabungkan pekerja daripada beberapa syarikat di tempat yang sama, termasuklah dengan menggunakan khidmat syarikat keusahawanan sosial dan pertubuhan-pertubuhan bukan berteraskan keuntungan.

Kami yakin masa depan para pekerja dan anak muda yang baru bekerja lebih terjamin di bawah kerajaan Pakatan Harapan.

Janji 36: Melaksanakan KWSP untuk suri rumah

            Suri rumah merupakan tunggak kepada sesebuah keluarga. Mereka menjaga keluarga, membesarkan anak-anak tanpa mengira penat lelah. Mereka melakukan semua ini tanpa menuntut apa-apa balasan, terutamanya suri rumah sepenuh masa yang tidak bekerja. Sumbangan kaum ibu begitu besar tetapi kebajikan jangka panjang mereka ada kalanya terabai.

UMNO dan Barisan Nasional mengabaikan golongan suri rumah dan kaum ibu. Sehingga kini suri rumah sepenuh masa tidak mendapat apa-apa bantuan yang signifikan.

Risiko yang ditanggung oleh suri rumah sepenuh masa adalah amat tinggi. Apabila umur mereka meningkat, ataupun apabila suami mereka telah tiada lagi, mereka akan terpaksa menanggung kesusahan hidup tanpa sebarang perlindungan sosial.

Kerajaan Pakatan Harapan memahami keperluan golongan suri rumah. Kami akan menjamin kebajikan kaum ibu supaya kehidupan mereka terjaga.

Sebagai langkah pertama, Kerajaan Pakatan Harapan akan memperkenalkan skim KWSP untuk suri rumah. Caruman akan disumbangkan daripada caruman KWSP para suami yang bekerja pada kadar 2% sebulan yang tidak membebankan. Sebagai tanda penghargaan kepada suri rumah, Kerajaan Pakatan Harapan akan memberi sumbangan caruman sebanyah RM50 sebulan kepada KWSP para suri rumah.

Bagi para suri rumah, pengeluaran boleh dibuat secara berperingkat mengikut umur untuk memastikan mereka mempunyai simpanan jangka panjang.

Selain daripada memastikan kebajikan ibu-ibu terjaga, langkah ini juga akan memastikan talian kekeluargaan adalah berterusan dan kebajikan ibu dijaga oleh keluarga terdekat sehingga akhir hayat.

Janji 37: Menjamin kesejahteraan rakyat jangka panjang

            Kerajaan bukanlah pemilik sebenar harta negara, sebaliknya hanya memegang amanah yang dipinjamkan oleh rakyat sahaja. Maka, sebuah kerajaan yang amanah tidak sama sekali akan membelanjakan harta negara untuk kepentingan jangka pendek, tanpa mengambil kira keperluan negara pada masa hadapan, apatah lagi sekiranya perbelanjaan itu menyebabkan rakyat terpaksa menanggung hutang yang terlalu amat besar.

Pentadbiran UMNO dan Barisan Nasional telah meletakkan negara dalam keadaan yang genting akibat keborosan dan ketirisan yang berleluasa. Maka antara langkah awal yang akan dilakukan oleh Kerajaan Pakatan Harapan ialah untuk menyemak dan menyenaraikan semua hutang kerajaan dan liabiliti yang ditanggung oleh kerajaan akibat jaminan-jaminan yang dikeluarkan. Senarai ini akan diterbitkan kepada rakyat agar rakyat faham kedudukan sebenar hutang dan liabiliti negara.

Kerajaan Pakatan Harapan akan memperkenalkan satu akta yang menghalang kerajaan daripada mengambil wang rakyat yang disimpan dalam tabung-tabung amanah untuk membiayai perbelanjaan kerajaan. Ini akan menyelamatkan wang rakyat dalam tabungtabung amanah seperti Lembaga Tabung Haji, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Akta Kumpulan Wang Amanah Negara 1988 akan dirombak agar KWAN menjadi salah satu instrumen jaminan kestabilan kewangan negara pada masa depan, yang ditadbir secara professional, dengan mengambil pelbagai contoh termasuklah dana pelaburan kerajaan Norway. Peratusan tetap daripada keuntungan daripada Petronas, dengan minimum RM10 bilion setahun, dan keuntungan syarikat-syarikat milik kerajaan lain akan wajib disalurkan kepada KWAN, sebagai tabungan negara jangka panjang.

Satu kumpulan yang sering dilupakan oleh UMNO dan Barisan Nasional ialah rakyat Malaysia berbangsa Cina yang tinggal di kawasan-kawasan luar bandar dan di kampung-kampung baru. Pakatan Harapan sedia maklum akan cabaran yang dihadapi mereka dan akan memastikan kebajikan mereka terjaga.

Kampung-kampung baru dan kampung-kampung perikanan Cina adalah bahagian penting dalam lanskap sejarah dan budaya Malaysia. Kebanyakan kampung ini, terutamanya mereka yang terletak di kawasan luar bandar, mengalami aliran keluar penduduk akibat kekurangan peluang ekonomi dan pekerjaan. Hari ini terdapat lebih daripada 600 perkampungan baru di Malaysia, di mana lebih 450 daripadanya ditubuhkan semasa darurat di Malaya.

Kerajaan Pakatan Harapan akan memberikan peruntukan tetap sebanyak RM 60 juta setahun dalam penggal pertama pentadbiran kami, dan ini adalah lebih tinggi daripada hanya RM20 juta setahun yang diperuntukkan oleh UMNO dan Barisan Nasional.

Tumpuan perbelanjaan ialah untuk penambahbaikan infrastruktur seperti jalan raya, dewan komuniti dan ruang awam yang lain. Sebahagian daripada pembiayaan ini juga boleh digunakan untuk membantu penduduk kampung mendapatkan geran tanah bagi membolehkan kerja pembaharuan dan penaikan taraf harta. Elemen utama dana ini adalah untuk membolehkan komuniti kampung tersebut menentukan sendiri cara terbaik untuk membelanjakan wang yang diperuntukkan.

Kerajaan Pakatan Harapan juga akan menyediakan peluang pinjaman dengan kadar faedah rendah bagi membantu perniagaan kecil yang sering menjadi pekerjaan utama di kebanyakan kampung ini. Pinjaman sedemikian akan digunakan untuk menarik usahawan yang ingin melabur dalam perniagaan di kampungkampung ini untuk meningkatkan daya tarikan tempat bersejarah dan kebudayaan yang wujud di sana.

Janji 38: Membela nasib Orang asal di Semenanjung Malaysia

            Masyarakat Orang Asal di Semenanjung Malaysia telah dipinggirkan dan dilayan sebagai rakyat kelas bawahan oleh UMNO dan Barisan Nasional. Ini adalah satu kezaliman kerana mereka penduduk asal tanah air ini. Pakatan Harapan mahu mengiktiraf dan mengangkat martabat serta membela hak komuniti Orang Asal.

Kerajaan Pakatan Harapan akan merombak Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) agar Orang Asal diberi keupayaan untuk memperbaiki kehidupan mereka dan bukannya dikuasai dan dikawal oleh jabatan tersebut.

Kerajaan Pakatan Harapan akan menyusun langkahlangkah perlu agar Ketua Pengarah JAKOA dapat dilantik dari kalangan masyarakat Orang Asal sendiri.

Tanah adat adalah satu perkara penting bagi masyarakat Orang Asal. Kerajaan Pakatan Harapan akan berusaha untuk melaksanakan cadangan-cadangan daripada Laporan Inkuiri Nasional Mengenai Hak Tanah Adat Orang Asal / Asli yang disediakan oleh SUHAKAM pada tahun 2013. Laporan ini tidak dipedulikan oleh UMNO dan Barisan Nasional. Bagi kerajaan Pakatan Harapan, langkah permulaan yang akan diambil ialah membawa laporan ini untuk perbahasan Parlimen dalam tahun pertama pentadbiran Pakatan Harapan.

Kerajaan Pakatan Harapan akan menjamin bahawa Orang Asal mendapat pembelaan yang lebih baik dalam skim pembangunan tanah seperti FELCRA dan RISDA. Sebarang perjanjian yang tidak adil kepada Orang Asal akan dirombak semula.

Untuk membolehkan tanah adat Orang Asal diiktiraf dengan sewajarnya, Kerajaan Pakatan Harapan akan memperuntukkan dana untuk melaksanakan kajian lengkap yang boleh mengenalpasti sempadan tanah adat dengan tepat. Kawasan-kawasan yang penting seperti tanah perkuburan dan tanah milik nenek moyang Orang Asal akan dihormati.

Lebih banyak sumber akan diperuntukkan untuk menaik taraf infrastruktur perkampungan Orang Asal, termasuk jalan berturap, grid elektrik 24 jam, bekalan air yang dirawat dan rangkaian komunikasi yang stabil, supaya tiada komuniti Orang Asal yang terpinggir.

Sekolah-sekolah di perkampungan Orang Asal akan diperbesarkan dan diberi sumber-sumber secukupnya untuk memastikan anak-anak Orang Asal mendapat pendidikan berkualiti. Ini termasuklah kurikulum yang sesuai dengan suasana sosiobudaya Orang Asal.

Peruntukan juga akan disalurkan untuk memelihara budaya dan warisan Orang Asal. Pada masa yang sama, program sesuai juga akan dilaksanakan untuk mempromosi budaya dan warisan Orang Asal kepada semua rakyat Malaysia dan di gelanggang antarabangsa.

Janji 39: Mengimbangi pembangunan ekonomi dengan perlindungan alam sekitar

            Pembangunan Malaysia kini berjalan tanpa mengambil kira kelestarian alam sekitar. Laut ditambak sehingga memberi kesan kepada habitat ikan walaupun tanah yang ada masih banyak. Perlombongan diluluskan sehingga seluruh kawasan tertentu menjadi merah dengan pencemaran debu. Pembalakan diberi lesen sehingga kawasan tadahan air menjadi gondol, lantas menyebabkan banjir teruk. Empangan dibina sehingga hutan tropika warisan zaman beserta pelbagai spesis haiwan menjadi terancam.

UMNO dan Barisan Nasional tidak mengendahkan kelestarian flora dan fauna yang mengindahkan bumi kita selama ini. Sebaliknya, UMNO dan Barisan Nasional tunduk kepada syarikat besar dan kapitalis kroni mereka. Kebajikan rakyat dan kesinambungan alam sekitar bukan perkiraan utama mereka.

Kerajaan Pakatan Harapan akan mentadbir negara bertuah ini dengan berpaksikan prinsip kelestarian dan pembangunan mapan yang mesra alam.

Dasar dan peraturan alam sekitar akan dikaji semula supaya setaraf dengan Amalan Baik Antarabangsa (International Best Practices).

Semua projek-projek pembangunan mestilah mematuhi piawaian perlindungan alam sekitar antarabangsa sebelum diberikan kelulusan.

Projek-projek kontroversial yang telah diluluskan atau yang sedang berjalan akan diperiksa semula untuk memastikan semuanya mematuhi piawaian yang ditetapkan.

Kuota pembalakan akan dikuatkuasakan dengan tegas untuk memastikan hutan negara kita boleh dipulihara. Pada waktu yang sama, Kerajaan Pakatan Harapan akan memperkemas dan melaksanakan sepenuhnya peraturan-peraturan untuk melindungi hidupan laut, hidupan liar dan alam semula jadi, serta mengambil tindakan yang tegas terhadap pemburu dan pembalak haram.

Kerajaan Pakatan Harapan menyokong Agenda Pembangunan Lestari (Sustainable Development Goals, SDG) yang dipelopori oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Matlamat untuk mengurangkan 40 peratus pelepasan karbon menjelang 2020 akan dijadikan salah satu kayu ukur utama pentadbiran kami.

Kerajaan Pakatan Harapan juga akan memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi hijau dan tenaga boleh diperbaharui. Industri ini mempunyai potensi untuk berkembang pesat, lantas mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih banyak serta pulangan yang berganda. Penjanaan tenaga melalui sumber boleh diperbaharui akan dipertingkatkan daripada 2 peratus sekarang kepada 20 peratus menjelang 2025. Kami juga akan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga yang dijanakan oleh batu arang yang merupakan salah satu kaedah penjanaan kuasa tenaga yang memberi kesan negatif besar dari segi pelepasan CO2.

Dasar pelaburan negara juga akan dinilai semula agar keutamaan diberikan kepada industri yang berteknologi tinggi dan menggunakan tenaga daripada sumbersumber boleh diperbaharui.

Semua undang-undang dan peraturan berkenaan pengurusan dan perlindungan alam sekitar akan disemak semula agar struktur tatakelola yang tepat dapat diwujudkan, selaras dengan zaman moden yang semakin mencabar. Peraturan yang ketat akan dikuatkuasakan untuk memastikan Malaysia tidak menjadi tempat pembuangan bahan-bahan tercemar oleh syarikat-syarikat dari negara lain.

Kami juga akan menubuhkan “Majlis Koordinasi Kebangsaan untuk Adaptasi dan Mitigasi Iklim” yang berperanan menyelaras tindakan yang perlu diambil oleh kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan kerajaan tempatan untuk menangani cabaran berkenaan dengan perubahan iklim. Sistem iklim dunia yang telah berubah menyebabkan berlakunya fenomena cuaca yang luar biasa dan tidak menentu. Bandar-bandar di tepi laut atau di tepi sungai terdedah kepada risiko banjir yang sebelum ini tidak nyata.

Sementara usaha dilakukan di peringkat antarabangsa untuk menstabilkan iklim dunia dengan mengurangkan pelepasan karbon, Kerajaan Pakatan Harapan akan mempercepatkan kerja-kerja penyesuaian (adaptation) agar infrastruktur dan minda rakyat jelata bersedia untuk menangani perubahan yang berlaku.

Usaha UMNO dan Barisan Nasional untuk membina loji tenaga nuklear akan dihentikan.

Usaha untuk menjadikan biodiversiti sebagai salah satu sumber pendapatan negara akan dilipatganda. Sasaran kami ialah agar sekurang-kurangnya dua lagi Taman Negara kita diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO (World Heritage Site).

TERAS 4: MENGEMBALIKAN STATUS SABAH DAN SARAWAK BERTERASKAN PERJANJIAN MALAYSIA 1963

Tuntutan rakyat Sabah dan Sarawak agar mereka diberi layanan seperti yang dijanjikan dalam Perjanjian Malaysia 1963 terus menerus dipermain-mainkan oleh UMNO dan Barisan Nasional. Setiap kali pilihan raya, maka UMNO dan Barisan Nasional menabur pelbagai janji kepada Sabah dan Sarawak sebagai umpan.

Tetapi, selepas pilihan raya, janji hanya tinggal janji, dan kekayaan Sabah dan Sarawak terus dieksploitasi untuk mengayakan Putrajaya.

Pakatan Harapan berpegang pada prinsip bahawa Sabah, Sarawak dan Semenanjung harus berpegang dengan semangat sebenar Perjanjian Malaysia 1963. Inilah asas sebenar pembentukan negara kita, iaitu ketiga-tiga komponen tersebut, sama-sama membentuk sebuah negara baru yang dinamakan Malaysia, berteraskan klausa-klausa khusus yang dipersetujui bersama.

Kerajaan Pakatan Harapan bertekad akan mengembalikan kedudukan Sabah dan Sarawak ke tempat yang sebenar, selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963. Sumpah setia para pengasas negara kita akan kami kotakan agar kesatuan negara kita sebagai sebuah persekutuan menjadi lebih utuh.

Untuk itu, kami akan melaksanakan janji-janji yang disenaraikan seperti berikut.

 

Janji 40: Menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet untuk segera menyemak dan melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963

            UMNO dan Barisan Nasional dengan rakus telah merompak hak-hak rakyat Sabah dan Sarawak yang asalnya dijanjikan dalam Perjanjian Malaysia 1963. Hari ini, setelah hak-hak ini diketepikan selama berdekaddekad di bawah UMNO dan Barisan Nasional, banyak pihak yang semakin tidak sedar apakah hak sebenar Sabah dan Sarawak.

Kerajaan Pakatan Harapan akan menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet Menyemak dan

Melaksanakan secara adil Perjanjian Malaysia 1963 dalam tempoh seratus hari pertama pentadbiran kami.

Jawatankuasa Khas Kabinet ini akan dianggotai oleh wakil-wakil daripada Semenanjung, Sabah dan Sarawak, yang mempunyai kepakaran dalam hal-hal berkaitan.

Jawatankuasa ini akan diarahkan memberi laporan terperinci kepada kerajaan dalam  masa enam bulan daripada tarikh penubuhan untuk pelaksanaan segera.

Antara tugas utama Jawatankuasa Khas ini ialah untuk mengkaji dan mencadangkan langkah-langkah pembetulan dalam hal-hal berikut:

  • Status Perjanjian Malaysia 1963 dalam perundangan sekarang
  • Usaha meningkatkan kefahaman rakyat mengenai Perjanjian Malaysia 1963 melalui sistem Pendidikan kebangsaan
  • Perlaksanaan konsep federalisme untuk ketiga-tiga wilayah dalam Malaysia
  • Hak Sabah dan Sarawak terhadap hasil semulajadi negara serta hasil minyak dan gas
  • Perkara-perkara pentadbiran yang sewajarnya diturunkan untuk kuasa negeri
  • Jumlah peruntukan yang seharusnya menjadi hak Sabah dan Sarawak

Sebaik sahaja laporan dibentang dan diluluskan oleh Kabinet, Jawatankuasa ini juga bertanggungjawab dalam pemantauan perlaksanaan cadangancadangan laporan tersebut.

 

Janji 41: Memastikan ekonomi Sabah dan Sarawak berkembang dengan lebih pesat demi kemakmuran hidup rakyat seluruhnya

            Sabah dan Sarawak kaya dengan hasil sumber bumi seperti minyak, gas dan kayu balak. Tetapi kekayaan Sabah dan Sarawak telah dirampas oleh UMNO dan Barisan Nasional untuk memperkayakan negeri-negeri di Semenanjung, sedangkan Sabah dan Sarawak sendiri kini antara yang termiskin di Malaysia. Ketidakadilan ini akan dihentikan dengan segera oleh Kerajaan Pakatan Harapan.

Kerajaan Pakatan Harapan akan menambah jumlah royalti petroleum kepada Sabah dan Sarawak kepada 20 peratus atau nilai yang bersamaan, sebagai salah satu langkah pembahagian hasil petroleum yang lebih adil. Ini akan membolehkan Sabah dan Sarawak mengambil alih lebih banyak tanggungjawab perbelanjaan pembangunan.

Infrastruktur yang baik adalah kunci penting untuk pembangunan ekonomi, tetapi Barisan Nasional terlalu sibuk menggunakan peruntukan pembangunan tahunan untuk meraih kekayaan untuk diri sendiri dan kroni-kroni mereka sahaja. Kerajaan Pakatan Harapan akan menghentikan semua ini, agar peluang untuk maju dikongsi oleh semua. Peruntukan pembangunan yang lebih besar akan diberikan untuk:

  • Menyegerakan pembekalan air bersih dan elektrik ke kawasan sempadan bandar dan luar bandar
  • Membina jalan raya dan lebuh raya menghubungkan pekan dan bandar seluruh negeri, dan memperbaiki jambatan dan jalan-jalan yang rosak
  • Mengkaji pembinaan perkhidmatan keretapi Trans-Borneo dengan menggunakan model perkongsian awam-swasta, dan memastikan kontrak-kontrak akan dikongsi oleh anakanak tempatan
  • Mewujudkan skim bantuan bersasar untuk menjaga kebajikan rakyat Sabah dan Sarawak
  • Membina lebih banyak sekolah dan pusatpusat kesihatan untuk memberi khidmat kepada rakyat

Akta Pembanguan Petroleum 1974 akan dikaji semula untuk menyemak monopoli Petronas terhadap hasil gas dan minyak negara, terutama dari Sabah dan Sarawak. Matlamat kajian ini ialah untuk mencari jalan membolehkan Sabah dan Sarawak menubuhkan syarikat minyak dan gas mereka sendiri, dan tidak menghadkan peranan mereka hanya sebagai kontraktor kepada Petronas sahaja.

Untuk memastikan hasil minyak dan gas Sabah dan Sarawak boleh dimanfaatkan dalam jangka masa panjang, entiti yang mirip kepada Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) boleh ditubuhkan di Sabah dan Sarawak, iaitu setelah mengkaji model lebih mapan yang diamalkan oleh negara-negara lain seperti Norway dan juga tabungan negeri yang diamalkan oleh negeri Alaska di Amerika Syarikat.

 

Janji 42: Mencipta lebih banyak peluang pekerjaan bergaji tinggi untuk anak-anak Sabah dan Sarawak

            Perkembangan ekonomi negara berlaku secara tidak sekata sehingga Sabah dan Sarawak tidak menikmati faedah sepenuhnya daripada pembangunan selama ini. Peluang pekerjaan yang wujud pula tidak membawa kepada pendapatan yang sewajarnya. Gaji median di Sabah adalah yang paling rendah di Malaysia, iaitu 31 peratus di bawah gaji median kebangsaan. Sarawak pula adalah yang ketiga paling rendah, iaitu 21 peratus di bawah tahap gaji media kebangsaan. Ini adalah tidak adil untuk warga Sabah dan Sarawak.

Sejak 1965, setiap kali pilihan raya, Barisan Nasional akan menjanjikan Lebuhraya Pan-Borneo kepada rakyat Sabah dan Sarawak. Tetapi projek ini tidak pernah disiapkan walaupun telah lebih 40 tahun dijanjikan. Lebih malang lagi, kroni-kroni mereka telahpun memulakan langkah untuk mengaut keuntungan daripada kontrakkontrak yang dijanjikan.

Kerajaan Pakatan Harapan akan merealisasikan harapan rakyat Sabah dan Sarawak untuk melihat wujudnya sebuah lebuhraya penghubung. Sehingga 30 peratus daripada peruntukan belanjawan pembangunan setiap tahun akan dikhususkan untuk Sabah dan Sarawak dan keutamaan perbelanjaan akan diberikan kepada penyiapan projek lebuhraya ini.

Melalui peruntukan ini, Kerajaan Pakatan Harapan akan memastikan kontrak dan peluang pekerjaan yang dicipta diberikan terlebih dahulu kepada anak-anak tempatan, dengan gaji yang wajar. Kami menjangka bahawa projek ini dan projek-projek berkaitan dengan Lebuhraya Pan-Borneo berpotensi mencipta paling kurang 2,000 peluang pekerjaan untuk anak-anak tempatan.

Sabah dan      Sarawak          mempunyai     rakyat yang berkebolehan tinggi. Tetapi bakat mereka ditolak oleh Barisan Nasional yang kerap kali mengimport pegawai dari Semenanjung sehingga merobah struktur demografi asas. Kerajaan Pakatan Harapan akan memberi keutamaan kepada anak-anak Sabah dan Sarawak untuk mengisi jawatan-jawatan kosong di setiap peringkat, terutamanya peringkat atasan di semua agensi pusat dan negeri. Proses Borneonisasi sektor awam akan memberikan tempat yang sewajarnya kepada anak-anak tempatan yang layak.

Kerajaan Pakatan Harapan akan menubuhkan Tabung Industrialisasi dan Tabung Keusahawanan di peringkat Sabah dan Sarawak untuk menyemarakkan lagi proses industrialisasi dan sektor keusahawan.

Sektor   pelancongan akan    dimajukan       agar    ia mewujudkan lebih banyak pekerjaan dan menyumbang kepada dana pembangunan, dengan mempromosikan keunikan budaya, sejarah, serta keindahan semula jadi setempat.

 

Janji 43: Menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai model masyarakat harmoni

            Pada masa Malaysia pemimpin Barisan Nasional menggunakan taktik memecahbelahkan masyarakat mengikut agama dan kaum untuk memastikan kemenangan mereka, rakyat Sabah dan Sarawak boleh berbangga dengan keharmonian yang wujud sesama mereka. Hakikatnya, Sabah dan Sarawak boleh menjadi model bagaimana masyarakat pelbagai kaum dan agama boleh hidup harmoni dalam kerangka Islam sebagai agama Persekutuan seperti termaktub dalam Perlembagaan.

Kerajaan Pakatan Harapan menjamin keutuhan hubungan antara kaum dan agama di Sabah dan Sarawak serta di seluruh negara.

Lebih dari itu, Kerajaan Pakatan Harapan akan mengangkat martabat Sabah dan Sarawak sebagai model keharmonian masyarakat majmuk agar seluruh rakyat Malaysia dapat mencontohi sikap wasatiyah yang diamalkan secara semulajadi.

Universiti-universiti awam serta sekolah-sekolah menengah akan diberi insentif untuk melakukan aktiviti pertukaran pelajar serta lawatan sambal belajar antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung untuk menggalakkan lebih banyak interaksi dan saling perkenalan. Kegiatan sukan juga akan digunakan untuk menjadi tali penyambung silaturrahim antara sesama warga Malaysia.

Janji 44: Memperbaiki kualiti pendidikan dan khidmat kesihatan

           Rakyat Sabah dan Sarawak telah berdekad-dekad menderita di bawah Barisan Nasional yang gagal memberi perkhidmatan kesihatan dan pendidikan yang sepatutnya. Guru-guru dan doktor-doktor yang dihantar ke Sabah dan Sarawak biasanya adalah mereka yang masih terlalu baru dalam perkhidmatan. Walaupun mereka secara umumnya komited dalam perkhidmatan, tetapi mereka akan segera memohon kembali ke Semenanjung apabila telah memperolehi pengalaman. Ini menyebabkan kualiti pendidikan dan khidmat kesihatan di Sabah dan Sarawak terbantut kerana berlakunya brain drain.

Kerajaan Pakatan Harapan akan memberi keutamaan untuk melatih guru-guru dan pegawai kesihatan daripada anak-anak Sabah dan Sarawak sendiri.

Kerajaan Pakatan Harapan juga akan menghentikan amalan Barisan Nasional yang menganggap Sabah dan Sarawak hanya layak menjadi tempat latihan guru dan pegawai kesihatan muda, atau tempat “buangan” bagi mereka yang mempunyai masalah perkhidmatan. Sebaliknya, jika pertukaran terpaksa dilakukan, ia akan dilakukan berdasarkan keperluan, termasuklah menghantar pegawai-pegawai cemerlang ke sekolah atau pusat kesihatan yang memerlukan kepakaran mereka.

Kerajaan Sabah dan Sarawak akan diberi hak membuat keputusan (decision rights) dalam hal ehwal pendidikan dan kesihatan.

Dalam urusan pendidikan, ibu bapa akan diberi hak untuk menyuarakan pandangan dalam menentukan sama ada pembelajaran di sekolah anak-anak mereka akan menggunakan bahasa ibunda atau Bahasa Inggeris di sekolah-sekolah yang mampu menyediakannya. Kurikulum juga akan dipastikan mempunyai kandungan lokal yang akan membolehkan anak-anak Sabah dan Sarawak mengenali dengan baik budaya setempat. Kursus berkaitan bahasa dan budaya tempatan akan diwujudkan di universiti-universiti awam di Sabah dan Sarawak. Semua ini akan dilakukan dalam kerangka Falsafah Pendidikan Negara.

Dalam urusan perkhidmatan kesihatan, semua hospital awam akan dinaik taraf agar boleh merawat lebih ramai pesakit, dan hospital-hospital terpilih akan dilengkapkan dengan peralatan terkini untuk rawatan kardiovaskular dan barah. Sistem perolehan ubat-ubatan dan peralatan juga akan dipastikan lebih kompetitif agar harga termurah akan dibayar untuk ubat dan peralatan yang berkualiti tinggi.

Syarikat-syarikat milik kerajaan akan diminta untuk menyumbang dalam penambahbaikan premis dan infrastruktur pendidikan dan kesihatan, termasuklah memperbaiki sekolah-sekolah dan klinik-klinik kesihatan. Dana khas kerajaan juga akan digunakan untuk tujuan ini.

Skim Insuran Peduli Sihat yang berjaya dikendalikan oleh Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Selangor akan dikaji untuk dilaksanakan di Sabah dan Sarawak, dengan keutamaan diberikan kepada penduduk luar bandar dan Kawasan pedalaman.

Janji 45: Membela nasib penduduk luar bandar dan kawasan pedalaman

           Ramai rakyat Sabah dan Sarawak masih menetap di kampung-kampung dan kawasan-kawasan pedalaman. Kualiti kehidupan mereka masih rendah dan memerlukan bantuan untuk memastikan hidup mereka terbela. Malahan, kesempitan hidup juga turut menyebabkan sebahagian daripada mereka tidak sempat mendaftarkan kelahiran anak, sehingga ada yang menjadi anak tanpa kerakyatan.

Kerajaan Pakatan Harapan akan mempermudah dan mengurangkan birokrasi dalam proses pendaftaran anak dan individu warga Malaysia yang sehingga kini masih tiada kerakyatan sah. Kami juga akan menyelesaikan masalah kesilapan nama, alamat dan butiran peribadi lain yang begitu berleluasa.

Di kawasan pedalaman dan kampung-kampung, kami akan mempelopori inisiatif penjanaan elektrik menggunakan tenaga solar, mikro-hidro dan biogas.

Janji 46: Mempertahankan kedaulatan dan keselamatan Sabah

           Rakyat Sabah terpaksa berhadapan dengan risiko keselamatan untuk sekian lama kerana UMNO dan Barisan Nasional gagal teruk dalam menjaga sempadan negeri. Sehingga hari ini rakyat Sabah masih menghadapi ancaman kuasa asing, termasuk kesan daripada pemberian kad pengenalan dengan cara yang diragui kepada pendatang asing tanpa izin.

Kerajaan Pakatan Harapan akan menubuhkan satu Suruhanjaya Kebenaran dan Rekonsiliasi untuk mencari penyelesaian adil terhadap isu pemberian kad pengenalan kepada pendatang asing tanpa izin, yang seterusnya akan memastikan daftar pemilih di Sabah dapat dibersihkan. Mandat Suruhanjaya ini akan ditentukan secara bersama oleh Kerajaan Pusat dan Kerajaan Sabah, tetapi Pengerusi Suruhanjaya ini ialah seorang rakyat Sabah yang layak dan berintegriti tinggi. Suruhanjaya ini juga akan diberi mandat mencadangkan tindakan susulan yang sesuai.

Kekuatan pasukan keselamatan yang menjaga sempadan Sabah akan diperkukuhkan.

Janji 47: Desentralisasi kuasa kepada Sabah dan Sarawak

           Kerajaan Pakatan Harapan akan mendesentralisasikan sistem pentadbiran fiskal negara secara berperingkat agar akhirnya sehingga 50 peratus daripada hasil cukai yang dikutip di Sabah dan Sarawak akan dibelanjakan di Sabah dan Sarawak itu sendiri.

Kerajaan Pakatan Harapan akan mengembalikan kuasa untuk membuat dasar-dasar berkaitan perdagangan dan komersil kepada Sabah dan Sarawak, dalam konteks Malaysia yang berpegang dengan falsafah ekonomi terbuka dan untuk meraih faedah daripada perdagangan serantau dan antarabangsa. Ini termasuklah dalam aspek merekrut pekerja asing.

Mandat akan diberikan kepada Sabah dan Sarawak sendiri untuk merangka program-program menghapuskan, dengan seberapa segara halanganhalangan perdagangan dan semua tarif yang membantutkan pembangunan ekonomi negeri dan menghalang rakyat daripada memanfaatkan keterbukaan ekonomi negara kita secara keseluruhan. Ini termasuklah dalam dasar penganglutan awam, dasar kabotaj, dasar langit terbuka dan dasar pelaburan.

Keutamaan akan diberikan kepada kerajaan Sabah dan Sarawak untuk kembali menguasai syarikat-syarikat milik kerajaan yang strategik, seperti syarikat air dan elektrik yang menjalankan perbekalan.

Sabah dan Sarawak mempunyai sistem undang-undang dan mahkamah adat yang unik.

Kerajaan Pakatan Harapan akan memperkasa sistem ini, bermula dengan menubuhkan satu Jawatankuasa Pakar untuk mengkaji penambahbaikan yang perlu dilaksanakan terhadap Mahkamah Anak Negeri Sabah dan Mahkamah Bumiputera Sarawak, serta untuk memperkemas pengurusan hak adat Pribumi.

Hak pemilikan tanah adat akan diperakui dan proses pendaftar hak pemilikan akan diperkemas dengan segera. Konflik hak Orang Asal terhadap tanah mereka akan diselesaikan melalui penubuhan Tribunal Khas Tanah Adat yang dianggotai oleh mereka yang mempunyai kepakaran khusus dalam bidang ini.

Janji 48: Memulangkan dan menjamin hak tanah adat Sabah dan Sarawak

            Barisan Nasional telah gagal menjaga hak tanah adat di Sarawak dan Sabah. Malahan  tanah adat mereka telah dijual atau dipajak pada harga yang sangat rendah kepada syarikat pembalakan dan pemaju ladang kelapa sawit.

Untuk memperbaiki pengabaian hak tanah pribumi Sabah dan Sarawak ini, Kerajaan Pakatan Harapan akan melaksanakan syor-syor dalam Laporan Inkuiri Nasional Mengenai Hak Tanah Orang Asal / Asli yang disediakan oleh SUHAKAM.

Sekiranya wujud tanah adat yang telah diambil dengan cara yang tidak betul, Kerajaan Pakatan Harapan akan mewujudkan satu mekanisme pembetulan (redress mechanism) demi memastikan pampasan yang sewajarnya dibayar.

Kerajaan Pakatan Harapan akan mempertingkat keupayaan Jabatan Tanah agar kajian perimeter yang betul dapat dilakukan. Dana akan disediakan untuk melaksanakan kajian lengkap yang boleh mengenalpasti sempadan tanah adat dengan tepat.

Satu Tribunal Khas Tanah Adat akan ditubuhkan untuk menyelesaikan dengan segera pertikaian mengenai hak dan sempadan tanah adat serta menyelesaikan longgokan kes tertunggak.

Pembangunan yang dijalankan di kawasan Orang Asal mestilah mengikut model yang lestari dan mesra alam, serta mengambil kira sosio-budaya masyarakat sekitar, lengkap dengan penyertaan aktif penduduk pribumi.

TERAS 5: MEMBINA MALAYSIA YANG INKLUSIF, MODERAT DAN GEMILANG DI PERSADA DUNIA

Cita-cita rakyat ialah ingin menikmati kehidupan yang inklusif, harmoni, maju, makmur, adil dan saksama, serta bebas daripada diskriminasi. Kepelbagaian kaum dan agama harus dilihat sebagai satu sumber kekuatan yang menyegarkan, bukannya sebagai kelemahan yang menyukarkan. Tetapi, selama ini, UMNO dan Barisan Nasional memainkan isu perkauman dan agama, melaga-lagakan antara satu kaum dan agama dengan yang lain, demi kepentingan politik jangka pendek.

Dari sudut yang lain, khususnya politik, percaturan politik Malaysia selama di bawah pentadbiran UMNO dan Barisan Nasional ialah berdasarkan model politik yang digelar ‘consociationalism’ yang ditentukan para elit politik mewakili kaum yang terlibat. Ia adalah politik perkauman yang sentiasa memerlukan masyarakat dibahagikan mengikut kaum untuk memastikan elit politik itu berkuasa. Apabila politik perkauman ini ditambah dengan politik agama, kesannya kepada keharmonian negara menjadi semakin parah.

Pakatan Harapan akan membangunkan dasar-dasar dan program-program yang membawa negara ini menjadi sebuah negara inklusif yang bersatu padu, dan menjaga keharmonian hidup rakyat pelbagai kaum dan agama. Kami yakin bahawa ini akan membolehkan Malaysia menjadi model seantero dunia.

Janji 49: Menjadikan sekolah-sekolah kerajaan sebagai sekolah pilihan terbaik untuk rakyat

           Pendidikan berkualiti tinggi adalah kunci untuk membolehkan setiap daripada kita terus mara ke hadapan dalam sebuah masyarakat yang inklusif dan saksama. Kewujudan sekolah-sekolah berkualiti, baik dari aliran kebangsaan, aliran agama, mahupun sekolahsekolah vernakular, akan membolehkan setiap seorang daripada anak-anak kita mendapatkan pendidikan yang baik agar mereka dapat mencapai potensi penuh kehidupan kelak.

Pakatan Harapan berkeyakinan bahawa sistem persekolahan yang baik adalah tanggungjawab penting kerajaan untuk rakyat. Maka untuk itu, profesion perguruan dan pendidikan wajib dijadikan profesion yang dihormati, dan tugasan mereka perlu diberi sokongan yang diperlukan.

Kerajaan Pakatan Harapan akan memastikan bantuan kerajaan lebih difokuskan kepada golongan yang memerlukan, terutama golonagn B40 dan M40. Kuota kemasukan ke sekolah berasrama penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) akan memberi kelebihan kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana, terutama mereka daripada luar bandar dan FELDA.

Taraf pengangkutan ke sekolah-sekolah akan diperbaiki, terutamanya dengan memperbaiki kualiti jalan-jalan kampung dan memastikan keselamatan bas-bas sekolah.

Insentif yang sesuai akan diberikan supaya lebih banyak sektor swasta melibatkan diri dalam membantu memperbaiki sekolah-sekolah kerajaan melalui program usahasama antara kerajaan dan sektor swasta (publicprivate partnership) dan melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Kami akan memperbaiki program Sekolah Amanah yang kini berjalan dengan cara yang tidak optimum. Model Sekolah Amanah kini menaikkan kos pendidikan kerana dana tambahan terpaksa dipungut daripada pelbagai pihak.

Ini adalah bertentangan dengan kefahaman umum di peringkat antarabangsa tentang konsep Sekolah Amanah yang biasanya akan menurunkan kos, bukan menaikkannya.

Kerajaan Pakatan Harapan akan memperbetulkan model Sekolah Amanah yang wujud sekarang agar kos pembiayaan pendidikan secara keseluruhannya dapat diturunkan dengan cara membawa masuk disiplin kos yang biasanya diamalkan oleh sektor swasta. Operator yang boleh menaikkan kualiti tanpa meningkatkan kos terlalu tinggi akan dibenarkan membida untuk membantu kerajaan dalam memperbaiki kualiti sekolah-sekolah kebangsaan, sekolah aliran agama, dan sekolah vernakular, terutamannya di luar bandar dan juga sekolah-sekolah pendidikan khas.

Kerajaan Pakatan Harapan akan memastikan syarikatsyarikat milik kerajaan mempertingkat jumlah biasiswa pendidikan yang diberikan kepada golongan B40 dan M40. Biasiswa khas juga akan diwujudkan untuk guruguru yang mahu menyambung pengajian dan latihan professional mereka.

Bebanan tugas pentadbiran guru-guru akan dikurangkan dengan dua cara. Pertama, ialah dengan mewujudkan jawatan Pembantu Pengajar (Teaching Assistant) untuk membantu guru-guru, termasuk dalam melaksanakan tugasan pentadbiran. Kedua, dengan memperbaiki akses dan kebolehgunaan sistem teknologi maklumat di sekolah-sekolah.

Kerajaan Pakatan Harapan akan memastikan Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan diberikan dana dan kuasa yang secukupnya untuk menjalankan tugas mereka, terutamanya dalam memastikan sistem Pendidikan kita adalah kompetitif dan selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Majlis ini juga akan diberi tanggungjawab menyelia kurikulum sekolah rendah dan menengah, agar ia tidak lagi dipengaruhi oleh unsur politik kepartian atau perkauman sempit. Majlis ini juga akan diberi kuasa menentukan mekanisme untuk mempertingkat penguasaan Bahasa Melayu, Bahasa Ibunda serta Bahasa Inggeris di sekolah-sekolah semua peringkat, bebas daripada tekanan politik kepartian.

Menyedari pentingnya aliran teknikal dan vokasional, Kerajaan Pakatan Harapan akan membangunkan aliran teknikal dan vokasional agar ia benar-benar setaraf dengan aliran lain dan bukan lagi sebagai pilihan kedua. Sekolah berasrama penuh aliran TVET akan diwujudkan untuk pelajar cemerlang dari semua aliran.

Kualiti pendidikan sekolah agama, sekolah mubaligh dan sekolah jenis kebangsaan akan ditambahbaik dengan cara memastikan peruntukan yang diberikan adalah sentiasa mencukupi dan guru-guru mempunyai peluang untuk mengikuti latihan professional dengan sewajarnya.  Bilangan sekolah-sekolah ini juga akan dipastikan mencukupi berdasarkan permintaan ibu bapa dan kesesuaian setempat.

 

Janji 50: Mengembalikan wibawa universiti awam dan pengajian tinggi

            Pendidikan tinggi merupakan elemen penting untuk melengkapkan sistem pendidikan negara, dalam usaha membentuk masyarakat yang inklusif. Pakatan Harapan berpegang dengan prinsip bahawa universiti dan institutisi pengajian tinggi awam mestilah percuma untuk semua, dan institusi-institusi ini juga mestilah mempunyai autonomi untuk menjalankan tanggungjawab mereka.

Pengalaman UNISEL di bawah pentadbiran kami di Selangor, yang telah memulakan pendidikan percuma berperingkat-peringkat, iaitu di sebalik terpaksa menanggung beban hutang tinggalan salah tadbir urus pentadbiran UMNO dan Barisan Nasional, akan di jadikan landasan kea rah mencapai matlamat ini.

Kerajaan Pakatan Harapan akan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (1971) dan Akta-akta IPT yang lain, dan menggantikannya dengan undangundang komprehensif dan yang lebih baik, yang akan memastikan kualiti pendidikan serta kebebasan akademik dan kebebasan bersuara dan berpersatuan terjamin, serta semua institusi pengajian tinggi awam mempunyai autonomi yang sewajarnya. Kesatuan

Pelajar (Students Union) pula akan diberikan peruntukan tersendiri oleh institusi, dan mereka bebas mentadbir kesatuan sendiri, sesuai dengan amalan negara-negara maju.

Lembaga Pengarah Universiti akan diberi autonomi dan kuasa untuk memilih dan melantik Naib Canselor dan Timbalan-Timbalan Naib Canselor berdasarkan merit dan dengan cara yang telus dan kompetitif.  Lembaga Pengarah Universiti juga akan diberi kuasa menentukan penunjuk prestasi, menilai pencapaian dan menentukan tangga gaji dan ganjaran-ganjaran lain bagi pegawaipegawai kanan universiti, serta menguruskan peruntukan kewangan yang diberi.

Aliran TVET akan diperluas dengan lebih tersusun, bermula dengan memperkembangkan aliran German Dual Vocational Training (GDVT) ke seluruh negara. Melalui skim ini, syarikat-syarikat akan diberi bayaran untuk menjalankan latihan-dalam-pekerjaan bagi penuntut aliran TVET.

Sijil UEC telah diterima untuk kemasukan ke program ijazah Sarjana Muda di universiti-universiti terkemuka di luar negara. Bermula pada tahun 2004, sijil UEC telah diiktiraf untuk kemasukan ke institusi pengajian tinggi swasta di Malaysia. Pada tahun 2010, sijil UEC juga telah diterima untuk kemasukan ke program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Bahasa Cina) di Institut Pendidikan Guru Malaysia di bawah Kementerian Pendidikan. Namun, sehingga kini sijil UEC masih belum diiktiraf untuk kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam tempatan.

Pakatan Harapan akan mengiktiraf sijil UEC sebagai syarat am kelayakan untuk memasuki institusi-institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dengan syarat pemohon memiliki kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di peringkat SPM. Untuk tujuan ini, sijil UEC akan dinilai agar setaraf dengan syarat am kelayakan sedia ada untuk kemasukan ke IPTA.

Pakatan Harapan sedar bahawa pinjaman PTPTN kini membebankan mahasiswa. Kami akan menyusun semula struktur pembayaran pinjaman PTPTN supaya jumlah pembayaran bergantung kepada jumlah gaji peminjam. Kami akan menangguhkan pembayaran balik pinjaman PTPTN bagi peminjam yang mendapat gaji kurang dari RM4,000 sebulan dan memansuhkan dasar senari hitam ke atas peminjam.

Peluang biasiswa dan pinjaman pelajaran akan ditambah, terutama untuk membantu anak anak-anak muda dari keluarga B40 dan M40 menampung kos sara hidup semasa belajar. Syarikat-syarikat milik kerajaan akan memainkan peranan mereka untuk menjayakan agenda ini.

Kerajaan Pakatan Harapan akan melipatganda peluang pengajian menggunakan Massive Open Online Courses (MOOC) yang diiktiraf dan mempunyai akreditasi, agar golongan muda boleh menggunakan teknologi moden untuk menyambung pengajian dalam bidang yang diminati.

Janji 51: Membela nasib golongan OKU

            Demi memastikan pembangunan negara memberi manfaat kepada semua rakyat secara sama rata, kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk membantu golongan kurang upaya. Golongan ini tidak diberi perhatian sewajarnya oleh UMNO dan Barisan Nasional dan mereka terus dipinggirkan dari arus utama kemajuan negara.

Kerajaan Pakatan Harapan akan memberi mandat kepada Institut Sosial Malaysia untuk menjadi peneraju berpusat kajian dasar-dasar kerajaan berkaitan golongan kurang upaya secara holistik. Satu Pusat Kecemerlangan Dasar Orang Kurang Upaya akan diwujudkan dalam Institut Sosial Malaysia untuk tujuan ini, dan untuk bekerjasama dengan semua badanbadan yang bersesuaian dalam hal ini.

Kerajaan Pakatan Harapan akan menaikkan peruntukan pendidikan khas di sekolah-sekolah kerajaan, terutamanya untuk melatih guru, membeli kelengkapan kelas, dan menambah bilangan tempat yang boleh disediakan. Matlamat utama ialah mewujudkan suasana pembelajaran kondusif di sekolah-sekolah.

Kerajaan Pakatan Harapan akan bekerjasama dengan sektor swasta dan keusahawanan sosial untuk menyediakan lebih banyak peluang latihan teknikal dan vokasional bagi golongan istimewa.

Insentif sekaligus akan diberikan kepada syarikatsyarikat swasta untuk menyediakan kemudahan bagi golongan istimewa, dan semua jabatan kerajaan dan agensinya diwajibkan  mempunyai infrastruktur yang mesra golongan istimewa.

Pusat-pusat jagaan golongan urang upaya akan diletakkan di bawah kawal selia Suruhanjaya Pertubuhan Kebajikan dan Bukan Berteraskan Keuntungan agar mereka mendapat sokongan yang sewajarnya.

Janji 52: Memerangi jenayah dan gejala sosial

            UMNO dan Barisan Nasional cuba untuk meyakinkan rakyat bahawa kadar jenayah di Malaysia semakin turun. Tetapi, dakwaan ini tidak dipercayai oleh rakyat kerana setiap hari mereka membaca laporan mengenai kegiatan jenayah yang semakin berleluasa. Lebih buruk dari itu, pebagai kisah sering tersebar melalui media social tentang kegiatan jenayah yang semakin membimbangkan. Pengalaman rakyat tidak sama dengan apa yang didakwa oleh UMNO dan Barisan Nasional.

Pakatan Harapan mahukan sebuah negara Malaysia yang aman dan sejahtera, dengan pihak berkuasa, terutamanya polis, mempunyai kelengkapan dan anggota yang cukup untuk melaksanakan tanggungjawab mereka yang berat. Ini akan menjamin bahawa keamanan sentiasa terjaga, lantas memungkinkan kita menjadi model negara harmoni yang aman dan dengan kadar jenayah yang rendah.

Kerajaan Pakatan Harapan akan mempertingkat peruntukan untuk Pasukan Polis DiRaja Malaysia dan agensi-agensi penguatkuasa yang berkaitan, untuk menambahbaik gaji dan kualiti hidup para wira negara serta menambah bilangan anggota keselamatan.

PDRM akan diberi peruntukan yang sesuai untuk membolehkan mereka menghantar para pegawai menjalani latihan lanjut, terutamanya dalam menangani jenayah rogol dan gangguan seksual wanita dan kanak-kanak.

Kerjasama antara PDRM dengan pihak-pihak terbabit yang lain dalam menangani jenayah atas talian akan dipertingkat, iaitu dengan pendanaan dan sokongan dasar yang sewajarnya.

Agensi penguatkuasa akan diarahkan membanteras sehabis-habisnya arak dan rokok seludup yang semakin bermaharajalela, termasuk kawalan yang lebih ketat di sempadan dan hukuman yang lebih berat kepada mereka yang disabitkan bersalah.

Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang mengilang, menjual atau terlibat dalam pembekalan arak murah, terutamanya ke kawasan-kawasan persisiran, luar bandar dan golongan bawah umur.

Kerajaan Pakatan Harapan akan menggiatkan lagi kerjasama dengan pihak swasta dan syarikat-syarikat milik kerajaan untuk menjalankan aktiviti-aktiviti pendidikan anti-buli, anti-jenayah dan anti-gejala sosial di sekolah-sekolah, serta menambah bilangan kaunselor terlatih di sekolah-sekolah.

Kerajaaan Pakatan Harapan akan mempertingkat kerjasama dengan pihak NGO yang terlibat dalam pemulihan penagih dadah untuk mengurangkan kadar mereka yang kembali menggunakan dadah.

Kerajaan Pakatan Harapan juga akan menggalakkan penggunaan langkah-langkah pengurangan kemudaratan (harm reduction) dalam menangani gejala penagihan dadah dan mengurangkan penyakit.

Janji 53: Mendokong keutuhan institusi keluarga dan kejiranan

             Institusi kekeluargaan dan kejiranan adalah tulang belakang ketamadunan bangsa dan negara kita. Agama Islam dan semua agama yang diamalkan di negara kita jelas menuntut agar keutamaan diberikan kepada keluarga dan jiran-jiran. Malangnya, statistik menunjukkan bahawa berlaku satu perceraian dalam setiap 15 minit di negara kita. Ia satu angka yang jelas amat membimbangkan, dan mencerminkan betapa UMNO dan Barisan Nasional telah alpa dalam menjaga kepentingan institusi keluarga dan kejiranan.

Pakatan Harapan mahu mengembalikan suasana masyarakat Malaysia penyayang antara sesama keluarga, dan saling hormat-menghormati antara jiran tetangga tanpa mengira latar belakang. Inilah budaya sebenar masyarakat Melayu-Islam dan kaum-kaum lain di negara ini. Kami menolak politik perkauman sempit yang dieksploitasi oleh UMNO dan Barisan Nasional untuk kepentingan mereka. Kami akan berusaha mewujudkan sebuah masyarakat Malaysia pelbagai kaum dan agama yang harmoni.

Kerajaan Pakatan Harapan akan mengiktiraf nilai institusi keluarga dalam sistem percukaian negara. Langkah segera yang akan kami lakukan ialah dengan membolehkan pelepasan cukai pendapatan dipindahkan antara suami dan isteri (transferable tax allowance) dengan kadar yang lebih tinggi. Di samping itu, kami juga akan memperkenalkan pelepasan cukai pendapatan untuk pasangan yang berkahwin (married couple allowance).

Kerajaan Pakatan Harapan akan memberi perhatian terhadap impak pembangunan kepada institusi keluarga. Kami akan memastikan pembangunan ekonomi dan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi disebarluas ke seluruh negara dan tidak bertumpu di bandar-bandar besar sahaja. Ini bagi mengurangkan penghijrahan yang jauh dari keluarga.

Kerajaan Pakatan Harapan akan menggalakkan penganjuran aktiviti kejiranan dan mewujudkan lebih banyak ruang dan taman awam agar aktiviti berkenaan lebih mudah dianjurkan.

Pelapasan cukai korporat akan diberikan kepada aktiviti-aktiviti syarikat yang menyumbang kepada pengukuhan institusi keluarga. Aktiviti-aktiviti yang layak mendapat pelepasan cukai akan ditentukan melalui konsultasi dengan Malaysian Employers Federation (MEF) serta pertubuhan-pertubuhan yang sesuai.

Janji 54: Memperkasa institusi kemasyarakatan, masyarakat sivil dan keusahawanan sosial

             Badan-badan kemasyarakatan, masyarakat sivil dan keusahawan social adalah elemen penting dalam sebuah negara moden. Badan-badan sebegini mempunyai sejarah yang panjang dalam tamadun Islam dan juga dalam tamadun Asia.  Mereka memainkan peranan penting sebagai pelengkap kepada peranan kerajaan untuk membantu rakyat.

Pakatan Harapan beriltizam untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang membolehkan pertubuhanpertubuhan ini berkembang lebih luas, agar kita menjadi contoh kepada rantau ASEAN.

Kerajaan Pakatan Harapan akan mempermudah proses penubuhan badan kebajikan, yayasan dan pertubuhan bukan kerajaan yang sah. Struktur yang wujud kini, seperti persatuan, syarikat berhad mengikut jaminan, badan pemegang amanah dan lain-lain akan dikaji semula supaya satu struktur yang lebih terangkum dapat diwujudkan, agar proses penubuhan badanbadan kebajikan dan NGO menjadi lebih mudah.

Kerajaan Pakatan Harapan juga akan memastikan proses untuk badan-badan kebajikan mendapat pengecualian cukai menjadi lebih telus, lebih mudah dan bebas daripada salah guna kuasa politik.

Untuk tujuan itu, Kerajaan Pakatan Harapan akan menubuhkan Suruhanjaya Pertubuhan Kebajikan dan Bukan Berteraskan Keuntungan (Charities and NonProfit Organisations Commission) yang akan mengambil alih peranan Pendaftar Pertubuhan dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia, dalam penyeliaan pertubuhan kebajikan.

Janji 55: Mempelbagai ruang aktiviti golongan muda

             Anak muda Malaysia semakin aktif dalam pelbagai kegiatan, baik yang berbentuk rekreasi, mahupun kerja-kerja kebajikan dan sosial. Ini adalah satu perkembangan yang positif kerana ia menyumbang secara langsung kepada pembentukan budaya inklusif, moderat dan positif dalam masyarakat kita.

Kerajaan Pakatan Harapan akan mendokong aktiviti kemasyarakatan, sukan dan kebajikan yang dijalankan oleh anak muda.

Kami akan menjamin kebebasan untuk aktivisme anak muda, serta menggalakkan pertumbuhan badan-

badan sosial, kebajikan dan aktiviti intelektual awam yang diterajui anak muda. Perpustakaan negeri dan daerah serta dewan-dewan orang ramai akan dibuka untuk kegunaan anak muda dengan lebih meluas.

Ruang-ruang awam seperti taman-taman rekreasi dan kemudahan sukan awam akan diperbanyakkan. Kerjasama pihak berkuasa tempatan dan kerajaankerajaan negeri akan dipereratkan lagi untuk membina dan seterusnya menyelenggara dengan baik kemudahan-kemudahan ini. Proses untuk anak muda menyewa stadium-stadium dan kemudahankemudahan sukan milik kerajaan akan dipermudahkan dan kosnya dipastikan rendah.

Kerajaan Pakatan Harapan akan menggalakkan pertumbuhan sektor keusahawanan di kalangan anak muda. Kementerian-kementerian dan agensi-agensi yang berkaitan akan diarhkan memberi tumpuan dan bantuan yang diperlukan untuk memastikan usahawan-usahawan muda dapat berjaya dalam perniagaan yang ceburinya.

Janji 56: Menubuhkan Majlis Perundingan Keharmonian rakyat

           Sebagai langkah pertama dalam memposisikan Malaysia di peringkat global sebagai model negara moderat yang berjaya menjaga keharmonian antara kaum dan agama, Kerajaan Pakatan Harapan akan menubuhkan Majlis Perundingan Keharmonian Rakyat (MPKR).

Antara peranan MPKR ialah:

  • Mengkaji dan mencadangkan dasar-dasar dan program-program yang boleh meningkatkan perpaduan dan integrasi serta menghapuskan diskriminasi daripada budaya kehidupan kita.
  • Mengkaji dan memperbaiki sistem pendidikan negara, memastikan wujudnya pendedahan awal tentang hubungan antara kaum dan agama kepada para pelajar di semua peringkat.
  • Menjadi medan percambahan fikiran, perundingan dan rekonsiliasi antara kaum dan agama.
  • Membangunkan pemikiran politik baru yang tidak lagi berpaksikan perpecahan antara rakyat pelbagai kaum dan agama.
  • Mengkaji dan mengusahakan mekanisme untuk mewujudkan sebuah masyarakat Malaysia baru yang mengamalkan model politik berteraskan centripetalism, iaitu sistem yang berteraskan prinsip pertengahan atau moderat serta menolak ekstrimisme.
  • Memimpin usaha menggubal Akta Keharmonian Nasional untuk menjamin kesaksamaan, menghapuskan diskriminasi dalam semua aspek, dan menjadikan penyebaran kebencian antara kaum dan agama sebagai satu jenayah, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

MPKR akan diberi mandat untuk menjalankan kajiankajian serta aktiviti perkongsian dan percambahan minda untuk menghasilkan syor-syor yang boleh dibawa ke peringkat kabinet untuk pelaksanaan.

MPKR akan dianggotai oleh mereka yang pakar dalam bidang hubungan antara kaum dan agama serta dihormati oleh semua pihak.

Janji 57: Menjadikan Malaysia sebuah negara yang dikenali kerana integritinya, bukan kerana rasuahnya

           Kerajaan Pakatan Harapan akan memerangi najis rasuah dengan habis-habisan. Pesalah-pesalah rasuah akan dihukum dengan tegas. Ini penting agar kita dikenali sebagai negara yang bersih dan berintegriti dalam indeks-indeks tadbir urus antarabangsa termasuklah Corruption Perception Index dan Global Corruption Barometer.

Pakatan Harapan akan berikhtiar untuk membersihkan Malaysia dari Najis Rasuah, bermula dari pimpinan tertinggi kerajaan. Kami bertekad untuk menjadikan Malaysia antara 10 negara paling bersih mengikut Indeks Persepsi Rasuah, Transparency International, menjelang tahun 2030.

Kerajaan Pakatan Harapan akan memberikan peruntukan yang sewajarnya kepada Institut Integriti Malaysia untuk memastikan ia boleh melaksanakan Pelan Integriti Nasional dengan sepenuhnya. Laporan Pelan Integriti Nasional akan dibentangkan dan dibahaskan di Parlimen setiap tahun.

Institut Integriti Malaysia akan diberikan mandat yang lebih luas untuk menerapkan integriti dalam pentadbiran kerajaan dengan lebih bersepadu dan seterusnya mengharumkan nama Malaysia di mata dunia. Untuk membolehkan Institut ini memainkan peranan yang sewajarnya, Timbalan Perdana Menteri akan mengambil alih peranan sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Institut.

Janji 58: Mempertahankan sempadan negara daripada pencerobohan, penyeludupan dan pemerdagangan manusia

            UMNO dan Barisan Nasional berterusan gagal mempertahankan sempadan darat dan laut negara, baik di Semenanjung mahupun di Sabah dan Sarawak.

Di Semenanjung, para nelayan di Selat Melaka dan Laut Cina Selatan kerap diancam. Malahan, bot-bot nelayan dari negara asing juga ada yang menceroboh perairan kita. Kerajaan Pakatan Harapan akan menambah sumber dan kapasiti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia agar perkara ini boleh diperbaiki. Kerajaan Pakatan Harapan juga akan menggunakan platform ASEAN untuk mengusahakan penyelesaian tuntas dengan negara-negara serantau.

Kapal-kapal asing dilaporkan bertapak di perairan Sarawak. Rakyat Sabah pula terus bimbang tragedi Lahad Datu akan berulang. Negeri Perlis pula telah menyaksikan tragedi Wang Kelian, iaitu di mana kubur mangsa pemerdagangan manusia telah ditemui. Manakala di seluruh negara, masalah penyeludupan barangan terus menerus tidak dapat dihentikan. Semua ini adalah contoh betapa UMNO dan Barisan Nasional gagal menjaga kedaulatan negara, yang mana sebahagian daripadanya adalah akibat daripada barah rasuah yang berleluasa.

Kerajaan Pakatan Harapan berpegang dengan prinsip bahawa sempadan negara dan kedaulatan Malaysia adalah perkara paling asas yang tidak boleh dikompromi. Kami akan melipatgandakan usaha diplomatik dan mempercepatkan rundingan bilateral antara Malaysia dengan Indonesia dan Filipina agar masalah ini boleh diselesaikan dengan tuntas.

Kerajaan Pakatan Harapan tidak akan bertolak ansur dalam soal integriti agensi penguatkuasa.

Demi menjamin keselamatan rakyat dan kedaulatan negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah Kerajaan Pakatan Harapan akan memberi tumpuan dan keutamaan kepada proses pengawalan sempadan negara dan seterusnya mengambil tindakan tegas terhadap pihak-pihak yang melakukan kesalahan tanpa mengira kedudukan mereka.

Janji 59: Memimpin usaha menyelesaikan konflik Rohingya dan Palestin

            Apabila berhadapan dengan krisis Rohingya dan Palestin, UMNO dan Barisan Nasional hanya berlakon sahaja. Tiada tindakan khusus yang benarbenar mereka ambil untuk menjuarai suara saudarasaudara kita yang tertindas di sana. Malahan, UMNO dan Barisan Nasional berterusan tidak mahu meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pelarian yang akan membolehkan kita membantu saudara-saudara kita dengan lebih bermakna.

Kerajaan Pakatan Harapan akan mendepani usaha negara-negara serantau untuk menyelesaikan konflik Rohingya di Myanmar, dan membawa konflik ini untuk penyelesaian antarabangsa dengan suara yang lebih kuat, bukan semata-mata dengan menganjurkan tunjuk perasaan palsu untuk meraih faedah politik jangka pendek.

Kerajaan Pakatan Harapan juga akan membawa suara Palestin dengan lebih aktif ke peringkat OIC dan PBB agar penyelesaian muktamad dapat dicapai.

Kerajaan Pakatan Harapan akan meratifikasi Kovensyen Antarabangsa Mengenai Pelarian 1951 agar pelarian yang datang ke Malaysia untuk meyelamatkan diri dapat diberi bantuan sewajarnya.

Janji 60: Memartabatkan peranan Malaysia dalam institusi antarabangsa

            Kerajaan Pakatan Harapan akan melibatkan negara secara rasmi dalam rangkaian-rangkaian tadbir urus baik (good governance), bermula dengan Open Government Partnership yang merupakan platform antarabangsa tentang keterbukaan dan ketelusan kerajaan.

Oleh kerana Malaysia mempunyai bilangan syarikat milik kerajaan yang besar, maka, Kerajaan Pakatan Harapan akan turut melibatkan diri secara rasmi dalam rangkaian tadbir urus syarikat milik kerajaan yang dikelolakan oleh badan-badan antarabangsa seperti OECD.

Kerajaan Pakatan Harapan juga akan mengadaptasi kerangka kerjasama antara kerajaan dan masyarakat sivil berdasarkan piawaian antarabangsa, terutamanya yang berkaitan dengan ketelusan dan akauntabiliti, seperti Open Contracting Partnership, Open Budget Initiative, piawaian-piawaian yang sesuai daripada OECD dan Bank Dunia, dan lain-lain lagi.

Kerajaan Pakatan Harapan meyakini bahawa Malaysia boleh menjadi pemimpin negara-negara membangun, terutamanya negara-negara umat Islam. Usaha akan dimulakan untuk membolehkan tokoh Malaysia memegang sekali lagi jawatan Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) seperti mana yang pernah dilakukan oleh Bapa Malaysia Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj.

Peranan kita akan diperaktifkan dalam ASEAN, terutamanya dalam mencorakkan dan mempercepatkan proses pembentukan komuniti ekonomi, komuniti politik dan keselamatan, dan komuniti sosio-budaya ASEAN. Penekanan utama akan diberikan kepada pembentukan komuniti ekonomi yang efektif, dan Malaysia akan memainkan peranan lebih aktif dalam badan serantau seperti Economic Research

Institute for ASEAN and East Asia (ERIA).

Wisma Putra akan diberi peruntukan untuk mempertingkat kapasiti pejabat Wakil Malaysia ke Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR). Ini akan membolehkan kita memainkan peranan lebih besar di peringkat serantau.

Pentadbiran Pakatan Harapan akan memperkasa Wisma Putra dengan dasar luar yang bernas dan kumpulan diplomat yang cekap untuk membolehkannya mengemudi penglibatan Malaysia yang efektif dan dikagumi masyarakat antarabangsa. Kami menyasarkan agar warga Malaysia akan dilantik menjadi pegawaipegawai kanan di Sekretariat ASEAN di Jakarta dan juga Sekretariat Komanwel di London dalam penggal pertama pentadbiran Pakatan Harapan.

Kerajaan Pakatan Harapan mengalu-alukan kebangkitan Asia dan akan meneruskan hubungan diplomatik dan ekonomi yang sihat dengan menjalin hubungan baik dengan semua negara seluruh dunia berteraskan prinsip berkecuali (non-aligned).

Pada waktu yang sama, Kerajaan Pakatan Harapan akan mengembalikan status Malaysia sebagai negara berkecuali (non-aligned). Kami akan memposisikan Malaysia sebagai kuasa pertengahan (middle power) yang berpengaruh. Di samping itu, Malaysia akan menjadi rakan kongsi aktif dalam menjayakan program-program antarabangsa seperti Sustainable Development Goal 2030 (SDG2030).

ILTIZAM KHUSUS UNTUK WARGA FELDA

Sejarah FELDA bermula pada tahun 1956 dalam era kepimpinan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj. Pelopornya ialah Tun Abdul Razak Hussein, tokoh pemimpin berjiwa rakyat yang telah membawa wasasan mahu mempertingkat kedudukan ekonomi orang Melayu. Tun Razak mengusahakan pemberian tanah dan penempatan semula orang Melayu, untuk membolehkan mereka membina kehidupan baru. Beribu-ribu peneroka FELDA dan anak cucu mereka telah mendapat manfaat daripada legasi Tun Razak ini.

Tetapi hari ini FELDA telah dirompak oleh pemimpin UMNO dan Barisan Nasional yang tamak haloba. Harta milik FELDA ditukar milik dengan sewenang-wenangnya. Tadbir urus FELDA sebagai sebuah syarikat milik kerajaan adalah amat memalukan, sehingga Ahli Lembaga Pengarah berlepas diri dengan mengatakan mereka tidak tahu apa yang berlaku.

Tatkala berbilion-bilion ringgit harta milik FELDA hilang ke tangan orang lain dan kroni-kroni hidup kaya raya, nasib peneroka FELDA dan ahli keluarga mereka semakin tidak terbela. Jumlah hutang mereka meningkat hingga berratus-ratus ribu ringgit akibat kegagalan pengurusan FELDA itu sendiri. Generasi kedua dan ketiga FELDA kini merasakan sukar untuk hidup di kawasan FELDA kerana peluang pekerjaan yang tidak menentu dan prasarana yang tidak mencukupi. Cabaran gejala sosial pula semakin berleluasa di kalangan anak-anak muda.

Iltizam 1: Menghentikan penyelewengan dalam FELDA di semua peringkat

            Kerajaan Pakatan Harapan akan mengambil tindakan segera untuk membela nasib peneroka FELDA dan anak cucu mereka. Kami akan memastikan para pemimpin politik dan kroni-kroni akan dibawa ke muka pengadilan supaya mereka menerima balasan yang setimpal dengan amanah yang telah di khianatinya. Sebuah Suruhanjaya Siasatan DiRaja akan ditubuhkan untuk membedahsiasat FELDA secara keseluruhannya, dan mengenalpasti langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengembalikan semula maruah dan kegemilangan FELDA seperti yang diimpikan oleh Almarhum Tun Abdul Razak. Suruhanjaya ini juga akan ditugaskan menyiasat semua kontrak dan perjanjian yang ditandatangani oleh FELDA, terutamanya yang membabitkan korporat kroni UMNO dan Barisan Nasional.

Sebuah Jawatankuasa Khas Kabinet akan ditubuhkan untuk menyelia pelaksanan Suruhanjaya Siasatan DiRaja berkenaan. Sebagai langkah jangka panjang, Jawatankuasa Khas Kabinet ini juga agar diberi tanggungjawab mendengar secara langsung keluhan warga FELDA, mengenalpasti masalah-masalah yang mereka hadapi, serta mengkoordinasi penyelesaian yang perlu diambil oleh agensi-agensi kerajaan untuk mempertingkat kualiti kehidupan warga FELDA.Harta dan aset-aset FELDA yang diselewengkan akan diambil kembali melalui proses undang-undang yang sah.

Peneroka hari ini tidak mempunyai hak untuk menuntut keadilan melalui proses yang seimbang. Ini kerana mereka hanya boleh membawa aduan ke Jawatankuasa Timbang Tara seperti yang diperuntukkan dalam Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960. Jawatankuasa ini pula selalu membuat keputusan yang berat sebelah kerana ia tidak bebas daripada pengaruh eksekutif. Untuk mengembalikan keadilan kepada peneroka, Kerajaan Pakatan Harapan akan meminda akta ini agar peneroka boleh membawa kes mereka ke mahkamah.

Iltizam 2: Menyusun semula tadbir urus FELDA

            FELDA akan disusun semula untuk membolehkan mereka memberi fokus kepada perniagaan teras FELDA, iaitu sektor perladangan, demi kesejahteraan peneroka dan keluarga mereka.

Struktur pemilikan FELDA juga akan diteliti untuk memastikan ia tidak hilang arah dan kebajikan peneroka sentiasa terpelihara melalui konsep perkongsian keuntungan yang adil.

Sistem pentadbiran FELDA akan dirombak agar suara peneroka boleh didengar secara rasmi di peringkat tertinggi pengurusan, dan memberhentikan lantikan berdasarkan kaitan politik ke dalam Lembaga Pengarah FELDA dan anak-anak syarikatnya.

Masalah yang sering dihadapi oleh peneroka ialah pengurusan ladang mereka oleh anak syarikat FELDA semasa musim penanaman semula dan pengurusan hutang peneroka yang amat mengecewakan. Kerajaan Pakatan Harapan akan serta merta mengkaji mekanisme untuk memastikan penambahbaikan mutu pengurusan ladang dan pengurusan hutang, menghapuskan orang tengah yang tidak perlu, lantas memastikan manfaat yang maksimum untuk peneroka.

Jawatan Pengerusi FELDA terutamanya akan diberikan kepada individu yang mempunyai pengalaman yang relevan dan beramanah.

Iltizam 3: Membela nasib peneroka FELDA dan mengurangkan bebanan hutang mereka

            Anak-anak FELDA yang berkelayakan akan diberi keutamaan dalam pelantikan ke jawatan-jawatan yang sesuai dalam FELDA di semua peringkat dan dalam semua anak syarikat.

Sekiranya kemasukan peneroka baru ke skim FELDA akan dibuka semula, Kerajaan Pakatan Harapan akan mengkhaskan kemasukan tersebut untuk masyarakat Melayu dan Bumiputera berpendapatan rendah sahaja.

Wang sara hidup untuk peneroka semasa penanaman semula akan dinaikkan sehingga jumlah maksimum RM2,000 sebulan sekiranya diperlukan oleh peneroka. Pada waktu yang sama, untuk memastikan peneroka tidak terjebak dalam keberhutangan yang melampaui keperluan, program pendidikan pengurusan kewangan akan diperkenalkan untuk menggalakkan peneroka mengambil pinjaman wang sara hidup dalam jumlah yang perlu dan mampu dibayar semula sahaja.

Kerajaan Pakatan Harapan akan memastikan pembayaran hasil ladang dibayar kepada peneroka dalam jangka masa kurang daripada 45 hari setelah hasil dipungut, iaitu lebih cepat berbanding apa yang dilakukan oleh UMNO dan Barisan Nasional sekarang.

Dividen yang diperolehi daripada pelaburan FELDA dan anak-anak syarikat FELDA akan digunakan untuk mengurangkan bebanan hutang yang terpaksa ditanggung oleh warga FELDA, termasuklah hutang tanam semula, hutang membaiki rumah, hutang membeli rumah, hutang “pendahuluan hasil” dan lain-lain lagi. Matlamat kami ialah untuk melupuskan hutang-hutang ini dengan seberapa segera, melalui langkah-langkah yang sesuai, termasuklah pelupusan 50 peratus daripada hutang sedia ada dan memperkenalkan skim pinjaman tanpa riba.

Kerajaan Pakatan Harapan akan memberi keutamaan kepada generasi kedua dan ketiga FELDA yang mahu membeli atau menyewabeli rumah mampu milik yang dibina oleh kerajaan atau syarikat-syarikat milik kerajaan di seluruh negara. Ini bertujuan membolehkan mereka mengakses peluang pekerjaan yang lebih luas, dan tidak terikat dalam kawasan FELDA sahaja, sesuai dengan wawasan untuk membolehkan mereka naik lebih tinggi dalam struktur sosio-ekonomi negara.

Iltizam 4: Memodenkan dan menaiktaraf kawasan-kawasan FELDA

            Sebahagian lagi daripada dividen yang diperolehi daripada pelaburan FELDA dan anak-anak syarikat FELDA akan digunakan ntuk membina Bandar-Bandar Baru FELDA dan perumahan generasi kedua yang lengkap dengan kemudahan asas, internet dan fasiliti rumah kedai untuk mencipta peluang keusahawanan.

Kemudahan aktiviti remaja dan anak muda juga akan disediakan, termasuklah menambah latihan kemahiran untuk mereka.

Kerajaan Pakatan Harapan akan membina jaringan infrastuktur yang baik untuk menghubungkan gugusan-gugusan FELDA dengan pekan-pekan dan bandar-bandar terdekat, untuk memastikan akses kepada peluang pekerjaan yang lebih luas bagi anak-anak muda.

Iltizam 5: Memberi peluang pendidikan terbaik untuk anak-anak peneroka FELDA

           Kementerian Pelajaran, dengan kerjasama FELDA dan anak-anak syarikatnya, akan diarahkan untuk bertindak segera memastikan sekolah-sekolah dalam kawasan FELDA mempunyai peralatan mengajar yang secukupnya.

Kerajaan Pakatan Harapan akan menetapkan kuota khas bagi anak-anak FELDA di sekolah-sekolah berasrama penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Kuota keutamaan juga akan diwujudkan di kolej-kolej kemahiran dan universiti-universiti awam untuk anak-anak FELDA.

Peluang biasiswa bagi anak-anak peneroka FELDA akan ditambah dan ia tidak terhad daripada peruntukan FELDA sahaja. Insentif akan diberikan untuk syarikat milik kerajaan dan penaja-penaja lain untuk memberi biasiswa dan bantuan pendidikan kepada anak-anak FELDA.

Skim latihan teknikal dan vokasional akan diperluaskan untuk anak-anak FELDA, terutamanya dalam bidang agro-pelancongan sebagai sebahagian daripada usaha untuk mempelbagai sumber pendapatan setiap generasi warga FELDA.

Semua ini akan menyumbang ke arah membuka peluang lebih cerah untuk anak-anak peneroka FELDA, dan seterusnya membantu menyelesaikan cabaran-cabaran gejala sosial di kalangan anak muda warga FELDA sekarang.

ILTIZAM KHUSUS UNTUK WARGA FELDA

Telah berdekad-dekad lamanya kaum India dipinggirkan oleh UMNO dan Barisan Nasional, walaupun mereka memainkan peranan penting dalam pembangunan negara sejak sebelum merdeka lagi. Marginalisasi yang berterusan menyebabkan bilangan masyarakat India yang hidup miskin terlalu ramai. Jurang ketidaksamarataan dan bebanan kemiskinan adalah amat ketara apabila kita melihat realiti kehidupan masyarakat India di Malaysia di bawah pentadbiran UMNO dan Barisan Nasional hari ini.

Parti-parti komponen Barisan Nasional telah gagal sama sekali untuk membela nasib warga India. Mereka terus dipandang dan dilayan sebagai rakyat kelas bawahan yang boleh diperkotak-katikkan sesuka hati oleh pemimpin UMNO dan Barisan Nasional yang lain.

Sebagai rakyat yang mempunyai hak yang sama dengan semua warganegara lain, sudah tiba masanya untuk semua bentuk diskriminasi yang menzalimi warga India dihapuskan. Tuntutan dan kehendak kaum India wajib didengari.

Pakatan Harapan menawarkan keadilan, keharmonian dan kesaksamaan untuk semua, termasuklah untuk warga India.

Pakatan Harapan juga menyedari bahawa masyarakat India perlu dibantu dengan lebih teliti untuk memastikan jurang yang wujud boleh disamaratakan.

Matlamat utama Kerajaan Pakatan Harapan ialah untuk menaikkan taraf sosio-ekonomi masyarakat India agar mereka boleh bersaing dan berdiri sama tinggi dengan bangsa-bangsa lain, iaitu di padang yang sama rata. Pengagihan kekayaan negara mestilah dilakukan secara lebih adil, dan penindasan ekonomi terhadap warga India mesti dihentikan serta merta.

Pakatan Harapan menawarkan iltizam khusus untuk seluruh kaum India di Malaysia. Janji-janji kami bagi masyarakat India adalah seperti berikut:

  1. Menyelesaikan masalah komuniti India yang tidak mempunyai status kewarganegaraan (stateless Indians) dalam tempoh 100 hari pentadbiran kami.
  2. Memastikan agensi perumahan negara menjadikan bantuan kepada keluarga India yang berkeperluan sebagai satu keutamaan, terutamanya untuk bekas pekerja ladang dan golongan B40. Mereka wajar mempunyai peluang memiliki rumah yang berkualiti dengan harga berpatutan, dan mekanisme bayaran pinjaman yang setara dengan kemampuan mereka termasuklah menggunakan skim sewa-beli.
  3. Pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri akan meletakkan syarat kepada pemaju perumahan supaya di kawasan-kawasan yang mempunyai bekas pekerja ladang dari kaum India yang ramai, maka, pemaju berkenaan mestilah menjalankan usaha-usaha yang perlu untuk membina rumah mampu milik untuk mereka.
  4. Untuk memastikan kaum India mendapat peluang pendidikan yang baik, semua Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) akan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan dan infrastruktur di setiap SJKT akan dinaiktarafkan agar sama dengan kualiti di Sekolah Kebangsaan.
  5. Kerajaan Pakatan Harapan akan menubuhkan Sekolah Menengah Tamil dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan.
  6. Untuk memberi lebih banyak peluang kepada masyarakat India, Kerajaan Pakatan Harapan akan menambah jumlah pelajar India di Sekolah-Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan di Maktab-Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) seluruh negara. Keutamaan akan diberikan kepada anak-anak India dari keluarga berpendapatan rendah, keluarga yang bekerja di ladang-ladang, dan mereka yang termasuk dalam kategori miskin bandar.
  7. Selain daripada SBP dan MRSM, Kerajaan Pakatan Harapan juga akan membuka lebih banyak ruang untuk anak-anak kaum India memasuki asrama di sekolahsekolah menengah harian, serta membina asrama baru agar kapasiti sekolah-sekolah berkenaan dapat dipertingkatkan.
  8. Untuk memastikan anak-anak muda kaum India dapat bersaing dan berjaya dalam arus utama pembangunan yang akan kami bawa, Kerajaan Pakatan Harapan akan melabur dalam skim-skim latihan teknikal dan vokasional (TVET) serta program perantis (apprenticeship) yang berkesan untuk memastikan wujud laluan pekerjaan yag baik untuk warga India.
  9. Untuk mengekang gejala penyalahgunaan dadah dan alkohol dan kegiatan gangsterisme di kalangan anak-anak muda India, Kerajaan Pakatan Harapan akan memastikan dasar sosial kami adalah efektif dan inklusif. Ini akan memastikan anak-anak muda India tidak terpinggir daripada masyarakat sehingga mereka terjerumus dalam gansterisme dan masalah sosial lain.
  10. Kerajaan Pakatan Harapan akan memperkenalkan gaji minimum RM1,500 sebulan dalam penggal pertama pemerintahan kami dan ini secara langsung akan membantu warga India yang bekerja dalam kategori ini.
  11. Semua syarikat milik kerajaan (GLC), agensi-agensi kerajaan persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan, akan diarahkan meletakkan sasaran bahawa 10 peratus daripada bilangan pekerja baru mereka adalah dari kalangan komuniti India.
  12. Satu dana khas untuk pembangunan sosial dan ekonomi warga India akan dibentuk, dengan peruntukan sebanyak RM4 bilion untuk 10 tahun pertama. Dana ini akan dikhaskan untuk membantu membangunkan masyarakat India dengan cara yang saksama. Modal awal dana ini akan dikumpul daripada sumbangan Kerajaan Pakatan Harapan serta sumbangan syarikatsyarikat milik kerajaan (GLC) dan syarikat swasta. Untuk memastikan dana ini boleh berkuatkuasa segera, Kerajaan Pakatan Harapan akan memberi peruntukan awal segera berjumlah RM100 juta dalam belanjawan pertama kerajaan kami. Pengurusan dana ini akan melibatkan komuniti India secara menyeluruh, iaitu seperti model yang digunakan oleh SINDA Fund Singapura.
  13. Lembaga Wakaf Hindu juga akan ditubuhkan di peringkat negeri mengikut model Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang. Pada peringkat awal, Pakatan Harapan akan menubuhkan Lembaga Wakaf Hindu ini di Kedah, Perak, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
  14. Fokus segera yang akan diberikan ialah untuk memberi latihan dan membantu golongan ibu tunggal kaum India. Salah satu projek awal yang akan diperkenalkan ialah inisiatif mentor sepenuh masa untuk membimbing ibu tunggal India dalam bidang keusahawanan untuk membantu mereka membina kehidupan yang selesa.
  15. Kerajaan Pakatan Harapan akan menyediakan skim kredit-mikro dan skim bantuan kewangan lain yang sesuai kepada peniaga kecil komuniti India, dengan tumpuan khusus kepada wanita, anak muda dan perniagaan dari rumah.
  16. Kerajaan Pakatan Harapan akan menubuhkan Suruhanjaya Peluang Pekerjaan Saksama (Equal Employment Opportunity Commission) untuk menangani amalan pengambilan pekerja yang bersifat diskriminasi dan tidak adil di sektor awam dan juga sektor swasta.
  17. Kerajaan Pakatan Harapan akan memberi peluang bagi kaum India menyertai projek-projek penerokaan tanah yang bermodelkan FELDA, FELCRA dan lain-lain lagi yang sesuai termasuk menyediakan sokongan kewangan dan kawal selia yang diperlukan kepada komuniti India untuk menyertai bidang pertanian terutamanya dalam ladang tenusu dan sayur-sayuran.
  18. Kerajaan Pakatan Harapan akan mempermudahkan proses mendapatkan lesen dan permit perniagaan dalam sektor perkhidmatan yang banyak disertai oleh kaum India, seperti sektor pengangkutan, logistik dan pusat kitar semula.
  19. Penganut agama Hindu memerlukan kawasan secukupnya untuk kuil dan tanah perkuburan. Kerajaan Pakatan Harapan akan menyediakan kawasan secukupnya untuk kuil dan rumah ibadat penganut agama Hindu, serta untuk tanah perkuburan.
  20. Sekiranya terdapat kuil atau tanah perkuburan yang terpaksa dipindahkan, Kerajaan Pakatan Harapan hanya akan melakukannya setelah berunding dengan komuniti yang terbabit dan memastikan kawasan gantian yang setimpal diberikan.
  21. Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis akan ditubuhkan dalam penggal pertama pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan. Suruhanjaya ini akan diminta meneliti semua aduan tentang kematian dalam tahanan yang acap kali berlaku kepada warga India.
  22. Kementerian-kementerian yang berkaitan, seperti Kementerian Kesejahteraan Bandar dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar, akan diarahkan meneliti dan menyelesaikan masalah kemiskinan bandar dan masalah sosial yang dihadapi oleh masyarakat India. Kementerian-kementerian ini juga akan diarahkan melaksanakan dasar-dasar pembangunan yang inklusif agar kaum India tidak ditinggalkan seperti yang sering dilakukan oleh UMNO dan Barisan Nasional.
  23. Kerajaan Pakatan Harapan akan mengurangkan bilangan pekerja asing di Malaysia.Ini akan membolehkan peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia, termasuklah kaum India, bertambah, dan mereka akan dapat bekerja dengan gaji minima baru iaitu sekurang-kurangnya RM1,500 sebulan dalam penggal pemerintahan Kerajaan Pakatan Harapan.
  1. Kerajaan Pakatan Harapan komited untuk menambahbaik kualiti perkhidmatan kesihatan seluruh negara, terutamanya di kawasan-kawasan ladang yang mempunyai ramai kaum India. Perkhidmatan kesihatan percuma ini akan memastikan kaum India yang memerlukan khidmat kesihatan akan dapat mengaksesnya apabila perlu.
  2. Masalah pertukaran agama anak-anak bawah umur oleh ibu atau bapa secara unilateral telah beberapa kali melanda kaum India. Kerajaan Pakatan Harapan akan mengambil langkah segera untuk meyelesaikan isu ini dengan cara harmoni.

ILTIZAM KHUSUS UNTUK WANITA

Wanita memainkan peranan penting dalam setiap sudut kehidupan kita. Kerajaan Pakatan Harapan akan memperkasa hak kaum wanita di Malaysia dan mengiktiraf peri pentingnya peranan yang dilaksanakan mereka. Usaha ini akan dijalankan melalui lima iltizam utama seperti berikut:

Iltizam 1: Memastikan sistem ekonomi negara peduli wanita
  1. Menjamin melalui sistem perundangan supaya wanita mempunyai hak yang sama untuk mendapat jumlah gaji yang sama bagi pekerjaan yang setara, serta peluang kenaikan pangkat yang telus.
  2. Memperkenalkan sistem belanjawan negara mengikut konsep Belanjawan Mesra Gender (Gender Responsive Budgeting).
  3. Melaksanakan dasar dan program yang akan membawa ke arah mengoptimumkan kapasiti dan kadar guna tenaga wanita.
  4. Mewujudkan skim mikro-kredit yang sistematik untuk meningkatkan akses usahawan wanita kepada pasaran perniagaan yang lebih meluas.
  5. Mewujudkan dasar-dasar dan program-program khusus untuk meningkatkan pemilikan aset wanita, kadar pelaburan dan tabungan mereka.
  6. Memberi insentif kepada majikan untuk menyediakan kemudahan penjagaan anak sama ada di tempat kerja ataupun berhampiran tempat kerja.
  7. Membolehkan industri penjagaan domestik (domestic caregiving industry) berkembang agar wujud penjagaan berkualiti bagi warga emas yang memerlukan bantuan, ibu selepas bersalin, dan keperluan-keperluan lain.
  8. Cuti bersalin akan ditetapkan pada 90 hari.
Iltizam 2: Memastikan penjagaan kesihatan dan keselamatan sosial wanita
  1. Merangka program kesedaran dan latihan khas bagi menangani masalah kesihatan mental dan kemurungan berpanjangan di kalangan wanita.
  2. Memperkenalkan program pendidikan amalan kesihatan wanita seperti aktiviti kesedaran gaya hidup sihat dan lain-lain yang sesuai.
  3. Memperbanyak program kesedaran kesihatan reproduktif di kalangan wanita pelbagai peringkat umur agar mereka boleh melindungi diri dan keluarga daripada risiko-risiko yang berbahaya.
  4. Melaksanakan kempen kesedaran awal untuk pemeriksaan pencegahan kanser serviks dan payudara, serta menjalankan program pemeriksaan mammogram dan pap smear di hospital-hospital kerajaan.
  5. Mewujudkan pusat khidmat setempat untuk membolehkan wanita membuat rujukan untuk menyelesaikan permasalahan dan isu-isu wanita di peringkat setempat.
  6. Memastikan perancangan bandar dan desa mengambil kira faktor keselematan bagi kaum wanita dan anak gadis.
  7. Memperkenalkan skim KWSP untuk suri rumah. Caruman akan disumbangkan daripada caruman KWSP para suami yang bekerja pada kadar 2% sebulan yang tidak membebankan.

Sebagai tanda penghargaan kepada suri rumah, Kerajaan Pakatan Harapan akan memberi sumbangan caruman sebanyah RM50 sebulan kepada KWSP para suri rumah.

8. Mewajibkan latihan dijalankan oleh majikan bagi menghapuskan gangguan seksual.

Iltizam 3: Memastikan sistem pendidikan negara mengiktiraf dan membangunkan wanita
  1. Menerapkan falsafah Hormat Wanita dan kefahaman gender dalam silibus pendidikan di semua peringkat.
  2. Memperkenalkan konsep pendidikan sepanjang hayat agar wanita yang menangguhkan kerjaya untuk menjaga keluarga boleh melanjutkan pengajian dan latihan jika mereka mahu kembali bekerja.
  3. Memperkenalkan pendidikan      jantina             yang komprehensif bermula di sekolah menengah.
  4. Untuk embantu ibu-ibu yang mempunyai anak prasekolah, semua pusat pendidikan pra-sekolah yang kini diselia oleh pelbagai Jabatan dan Kementerian akan diletakkan di bawah satu bumbung yang dikenali sebagai Pusat Pembangunan Awal Kanak-Kanak (Early Childhood Development Center).
  5. Subsidi yang berpatutan akan diberikan kepada keluarga berpendapatan rendah.
Iltizam 4: Memastikan sistem perundangan melindungi hak dan kehormatan wanita
  1.  Menubuhkan Jawatankuasa Penambahbaikan Undang-undang Keluarga dengan tujuan meminda undang-undang melibatkan penceraian, nafkah dan hak penjagaan anak, bagi memastikan penyelesaian yang lebih efisien dan lebih adil kepada wanita.
  2. Menggubal undang-undang untuk menetapkan umur 18 tahun sebagai had umur minimum perkahwinan.
  3. Menyemak semula semua undang-undang berkaitan kesaksaman gender bagi memastikan setiap wanita menikmati kesamarataan undang-undang.
  4. Memperkenalkan Rang Undang-Undang Gangguan Seksual untuk menghentikan gangguan seksual di semua peringkat.
Iltizam 5: Mendemokrasikan sistem politik agar wujud lebih ramai pemimpin wanita yang tampil ke hadapan.
  1. Menubuhkan Institut Latihan Politik dan Kepimpinan Wanita Malaysia untuk melatih dan melahirkan pemimpin wanita masa depan.
  2. Memastikan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada pembuat dasar di setiap peringkat adalah wanita.
  3. Menambahbaik sistem pemilihan parti politik dan pilihan raya agar penglibatan wanita boleh dipertingkat.
  4. Memperkenalkan sistem audit penglibatan wanita di semua peringkat
  5. Membudayakan falsafah “wanita muda masa depan negara” sebagai tanggungjawab sosial utama dalam menggerakkan komuniti demi masa depan negara.

ILTIZAM KHUSUS UNTUK ANAK MUDA

Anak-anak muda Malaysia, baik lelaki mahupun wanita, telah menunjukkan kebolehan mereka baik di peringkat nasional, serantau mahupun global. Kita mempunyai anak-anak muda yang menjadi juara dalam bidang sukan, kesenian, lakonan, perniagaan, sains dan teknologi, kebajikan, dan pelbagai lagi. Merekalah pewaris bangsa yang akan meneruskan kesinambungan negara.

Pakatan Harapan yakin bahawa anak-anak muda perlu diberikan ruang untuk mengasah bakat masingmasing dan segala kongkongan perlu dihapuskan. Untuk membolehkan potensi anak-anak muda dijana sepenuhnya, Kerajaan Pakatan Harapan akan melaksanakan tindakan-tindakan spesifik melalui lima teras utama berikut.

  1. Memastikan adanya lebih banyak peluang pekerjaan dengan gaji yang selayaknya
  2. Mengurangkan bebanan kos sara hidup
  3. Membina lebih banyak rumah selesa yang mampu dimiliki oleh anak muda
  4. Memberikan peluang pendidikan berkualiti yang percuma
  5. Meluaskan akses kepada kemudahan sukan dan rekreasi agar wujud keseimbangan kehidupan dan kerja
Iltizam 1: Memastikan adanya lebih banyak peluang pekerjaan dengan gaji yang selayaknya
  1. Mencipta 1 juta pekerjaan dengan gaji sekurang-kurangnya RM2,500 sebulan untuk anak muda dalam masa 5 tahun pertama pentadbiran Pakatan Harapan.
  2. 200,000 pekerjaan yang akan dicipta itu akan diwujudkan di Sabah dan Sarawak
  3. Menginstitusikan pemerkasaan anak muda melalui Dana Pemerkasaan dan Keusahawanan Anak Muda yang akan diberi peruntukan sebanyak RM 1 bilion setiap tahun. Dana ini boleh digunakan untuk membangunkan keupayaan anak muda terutama dalam sektor-sektor berikut:
  • Pertanian dan penternakan moden
  • Pembangunan pelancongan-eko di kawasan separa bandar dan luar bandar
  • Kesenian dan industri kreatif
  • E-sukan termasuk penghasilan permainan video dan bidang-bidang teknologi yang lain
  • Pengkomersialan platform media sosial, termasuk vlogger, influencer media sosial, dan penghasilan kandungan media sosial.
  1. Memperkenalkan dasar-dasar pentadbiran yang membolehkan setiap anak muda mencapai potensi penuh mereka.
  2. Oleh kerana ramai anak muda menggunakan motorsikal untuk ke tempat kerja, Kerajaan Pakatan Harapan akan membina lebih banyak lorong motosikal, tempat berteduh dan infrastruktur lain yang diperlukan.
Iltizam 2: Mengurangkan bebanan kos sara hidup
  1. Memansuhkan GST dan tol agar anak muda tidak terbeban dalam perbelanjaan seharian.
  2. Menstabilkan harga petrol bagi mengembalikan wang anak muda ke poket mereka.
  3. Memperluas skim bantuan kesihatan seperti Skim Peduli Sihat yang kini dijalankan di Selangor, ke seluruh negara.
  4. Peruntukan subsidi kesihatan RM500 untuk anak muda yang mempunyai pendapatan isirumah di bawah RM3,000 sebulan.
  5. Menurunkan kos internet jalur lebar ke paras separuh daripada sekarang, dan pada masa yang sama, mempertingkat kelajuannya sebanyak dua kali ganda, agar peluang yang lebih luas dapat dinikmati oleh anak muda.
  6. Memastikan akses internet berkelajuan tinggi ke semua pekan dan kampung di seluruh negara.
  7. Membatalan caj pembaharuan lesen motorsikal kepada anak-anak muda.
  8. Menambah sekurang-kurangnya 10,000 buah bas pengangkutan awam seluruh negara bagi memperbaiki keterhubungan pengangkutan awam.
  9. Memperkenalkan kad pengangkutan awam bulanan bernilai RM100 dengan penggunaan tanpa had untuk apa sahaja bentuk pengangkutan awam intra-bandar di Lembah Kelang dan di semua bandar di Malaysia.
  10. Memperkenalkan Insentif Perkahwinan Anak Muda sebanyak RM500 setiap pasangan bagi mereka yang berumur di bawah 35 tahun pada perkahwinan pertama mereka, seperti yang sedang kami laksanakan di Selangor sekarang.
Iltizam 3: Membina lebih banyak rumah selesa yang mampu dimiliki oleh golongan muda
  1. Membina 1 juta rumah mampu milik di seluruh negara dalam tempoh dua penggal pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan.
  2. Memperkembang skim sewa-beli ke seluruh negara, termasuklah bagi rumah-rumah yang dibina oleh pemaju swasta.
  3. Mewujudkan skim khas untuk membolehkan anak muda mengakses pinjaman perumahan untuk rumah pertama dengan lebih mudah.
  4. Mengambil alih skim penyelenggaraan di kawasan perumahan kos rendah demi mengurangkan bebanan penduduk.
Iltizam 4: Memberikan peluang pendidikan berkualiti yang percuma
  1. Menjamin pendidikan awam percuma yang lebih baik di setiap peringkat, bermula di pra-sekolah, sekolah rendah, menengah dan juga pendidikan tinggi.
  2. Memberi elaun sara hidup kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah yang mendapat tempat ke pusat pengajian tinggi awam.
  3. Memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).
  4. Memupuk pemikiran kreatif, kritis dan analitis generasi muda serta mempersiapkan mereka dengan kemahiran sosial, sivik dan kepimpinan.
  5. Membebaskan guru-guru daripada bebanan birokrasi supaya mereka boleh menumpukan sepenuh perhatian terhadap tugas mereka mendidik generasi masa depan Malaysia.
  6. Memperluas program intervensi awal berkualiti tinggi untuk kanak-kanak kelainan upaya.
  7. Menyediakan biasiswa bagi anak muda dari keluarga peneroka FELDA untuk tujuan pendidikan menengah dan pendidikan tinggi.
  8. Menangguhkan pembayaran balik pinjaman PTPTN kepada semua peminjam yang mendapat gaji kurang dari RM4000 sebulan dan memansuhkan dasar senarai hitam ke atas peminjam.
  9. Memperluas aliran TVET dengan lebih tersusun, bermula dengan memperkembangkan aliran German Dual Vocational Training (GDVT) ke seluruh negara. Melalui skim ini, syarikat-syarikat akan diberi bayaran untuk menjalankan latihan-dalam-pekerjaan bagi penuntut aliran TVET agar lebih ramai anak muda mendapat faedah.
Iltizam 5: Meluaskan akses kepada kemudahan sukan dan rekreasi agar wujud keseimbangan kehidupan dan kerja
  1. Menawarkan siaran percuma melalui RTM semua liga sukan utama seluruh dunia, termasuk Liga Perdana Inggeris, untuk pasukan yang diminati ramai.
  2. Membina laluan basikal di bandar-bandar seluruh Malaysia melalui kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan.
  3. Membina 100 lagi kawasan rekreasi hijau di seluruh negara, termasuk sekurang-kurangnya 10 taman air dan sukan lasak.
  4. Membina litar lumba di kawasan-kawasan tertentu bagi membantu anak muda yang gemarkan sukan bermotor untuk berlumba dengan selamat.
  5. Membina “stadium” e-sukan dengan infrastruktur yang lengkap bagi membantu anak muda yang berpotensi untuk memajukan diri dalam bidang terbabit.
  6. Memberi sokongan untuk pembangunan infrastruktur sukan eko seperti memanjat gunung, berbasikal rentas desa, perlumbaan berhalangan dan sukan-sukan lain sukan yang sesuai di kawasan-kawasan terpilih di seluruh negara.
  7. Menggalakkan perkembangan kegiatan seni dengan mencontohi kejayaan George Town Festival di Pulau Pinang dalam mengadakan festival kesenian peringkat negeri yang inklusif untuk semua rakyat Malaysia.

ILTIZAM KHUSUS UNTUK WARGA EMAS

Warga Emas telah banyak berkorban untuk membawa Malaysia ke tahap sekarang. Kerajaan Pakatan Harapan komited bahawa jasa dan budi warga emas mesti diiktiraf dan mereka amat wajar mendapat tempat istimewa dalam negara kita

Selaras dengan itu, Kerajaan Pakatan Harapan akan mengambil langkah-langkah khusus berikut sebagai pengiktirafan kepada sumbangan warga emas yang tidak ternilai.

  1. Memberikan potongan cukai pendapatan untuk semua warga emas yang sedang bekerja, termasuk mereka yang membuat keputusan untuk kembali bekerja selepas persaraan.
  2. Memperkenalkan undang-undang anti diskriminasi umur supaya mana-mana majikan yang mendiskriminasi warga emas semata-mata kerana umur mereka akan dihukum dengan setimpal.
  3. Memberi subsidi dan insentif untuk menggalakkan pembinaan kawasan kediaman persaraan (retirement villages) yang boleh menjamin kualiti hidup yang baik untuk warga emas.
  4. Menambah peruntukan kepada hospital-hospital awam untuk penjagaan kesihatan warga emas.
  5. Menyusun semula dasar kerajaan agar dapat ditingkatkan sektor ekonomi penjagaan (caring economy), termasuklah dengan cara mewujudkan pensijilan di IPTA dan IPTS khusus untuk jagaan dan keperluan kesihatan warga emas.
  6. Menambah bilangan Pusat Aktiviti Warga Emas.

Memberi penghargaan RM150 kepada setiap warga emas (60 tahun ke atas) seperti yang diamalkan di negeri Pulau Pinang sekarang

BUKU HARAPAN

Anda boleh memuat turun BUKU HARAPAN [pdf]  disini .

Share This