KEADILAN mendesak kerajaan Umno BN menguatkuasakan peruntukan hukuman terhadap mana-mana individu yang menggunakan ijazah mahupun doktor falsafah (PhD) palsu.
Ini termasuk Ahli Parlimen yang berbuat demikian sebagaimana yang didedahkan Ahli Parlimen Serdang, YB Dr. Ong Kian Ming yang menyatakan terdapat Ahli Parlimen menggunakan sijil kelayakan akademik palsu di peringkat Ijazah sarjana muda, sarjana mahupun doktor falsafah.
Mengikut Seksyen 471 dan 468 Kanun Keseksaan, kesalahan menggunakan sijil palsu membawa hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabitkan.
Justeru, KEADILAN mencadangkan semua Ahli Parlimen baik daripada kalangan pemerintah mahupun pembangkang yang memiliki doktor falsafah (PhD) membuktikan kelayakan mereka adalah tulen.
Mereka yang memiliki akademik palsu diperingkat sarjana dan PhD, biasanya bijak bercakap tetapi isinya kosong. Namun, mereka sukar dikesan sehinggalah semakan dan perbandingan kelayakan akademik dibuat oleh pakar.
KEADILAN juga mendesak kerajaan BN mendedahkan senarai universiti palsu atau institusi pengajian yang tidak diiktiraf kerana wujud kes pemalsuan diperingkat ijazah, sarjana  dan doktor falsafah secara berleluasa. Perbuatan pemegang kelayakan palsu itu amat tidak adil kepada pemilik ijazah/PhD sebenar yang bertungkus lumus memperoleh pengiktirafan ilmu.
Kementerian Pendidikan Tinggi juga harus mengambil berat masalah ini supaya ia tidak terus berleluasa. Ini kerana memang wujud sindiket menjual kelayakan palsu dari universiti luar negara. Beberapa tahun lalu sindiket menjual kelayakan palsu yang turut melibatkan Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Malaya (UM).
Rekod menunjukkan polis ada menumpaskan sindiket penjualan sijil palsu lebih RM5 juta kepada ahli politik dan individu bergelar Tan Sri, kononnya daripada lima universiti luar negara.
KEADILAN juga mengalu-alukan kementerian berkaitan untuk membuat satu perisian yang membolehkan orang awam menyemak dan mengesahkan status ijazah/PhD seseorang.
Selain itu, ada kemungkinan pemegang ijazah/PhD palsu itu ada dalam kalangan mereka yang berkhidmat  atau lantikan dalam kerajaan.
Dato’ Seri Dr Santhara
Pengerusi Biro Integrasi Nasional
Parti Keadilan Rakyat (PKR)

 

Share This
%d bloggers like this: