fbpx

RAFIZI DIARAH MEMBAYAR RM300,000 KEPADA NFC

Pada 31 Oktober 2016, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan satu kenyataan saya mengenai “dana kerajaan diselewengkan untuk mendapatkan pinjaman membeli 8 unit hartanah di KL Ecocity” telah memfitnah NFC dan pemiliknya. Mahkamah mengarahkan saya membayar RM300,000 kepada NFC, pemiliknya dan peguam mereka.

Beberapa minggu lalu, peguam saya menrima satu surat menuntut wang RM300,000 itu dibayar segera. Jika tidak, NFC dan pemiliknya mengugut untuk memulakan proses membankrapkan saya. Sebenarnya kes ini sedang melalui rayuan di Mahkamah Rayuan yang telah ditetapkan dalam bulan Oktober 2017. Walau bagaimana pun, undang-undang menetapkan saya perlu membayar dahulu kalau pun saya mungkin menang di peringkat rayuan.

Enam tahun lalu, saya terbaca laporan Ketua Audit Negara mengenai NFC sementara sedang menyiapkan ucapan parlimen untuk Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Laporan itu ringkas tetapi cukup untuk memaklumkan bahawa projek itu sedang menghadapi masalah.

Lalu pada satu hari, saya membuat keputusan untuk pergi sendiri ke ladang NFC di Gemas untuk mengesahkan laporan tersebut. Saya menyamar sebagai tauke lembu dari Ampang yang mahu membeli beberapa ekor lembu. Saya tidak dapat membeli lembu, sebaliknya saya terjumpa bukti-bukti bagaimana RM250 juta dana awam telah digunakan untuk membeli kondominium dan membiayai perniagaan lain.

Sejak itu, saya dan rakan-rakan banyak membuat pendedahan lain mengenai rasuah dan penyelewengan. Kami bekerjasama dengan wartawan dan pelbagai pihak. Pendedahan NFC diikuti dengan pendedahan skandal MARA di Australia, masalah kewangan di Tabung Haji, penyelewengan derma di YAPEIM, pelaburan-pelaburan 1MDB yang bermasalah dan banyak lagi.

Kerja tidak berbayar untuk mendedahkan rasuah ini mendedahkan pula kami kepada pelbagai risiko. Beberapa kali saya ditahan selepas membuat laporan polis, jadi saya lebih berhati-hati kini dan tidak membuat laporan polis kecualilah perlu. Bermalam di lokap beberapa hari sudah menjadi acara tahunan.

Risiko terbesar adalah berdepan dengan pelbagai saman dan tindakan undang-undang yang dibawa oleh pelbagai pihak. Bagi setiap pendedahan skandal yang dibuat, biasanya ia mengundang paling kurang satu saman atau tangkapan. Sebab itu saya kini ada 12 kes jenayah dan saman yang masih dibicarakan di mahkamah.

Ada orang pernah bertanya kenapa saya perlu mendedahkan skandal itu sendiri? Kenapa tidak dihantar kepada Wikileaks? Kenapa tidak diberi sahaja maklumat kepada wartawan untuk ditulis dan didedahkan oleh wartawan?

Ramai yang tidak tahu maklumat yang sampai itu terlalu sedikit dan perlu disiasat dengan lebih lanjut sebelum penyelewengan itu ditemui. Banyak media yang ada kekangan masa dan sumber. Kalau mereka menyiasat sendiri, mereka pula terdedah kepada risiko tangkapan dan saman.

Lama-lama saya faham lebih baik saya yang menyiasat dan setelah dihebahkan melalui sidang media, barulah pihak media selamat untuk melaporkannya (kerana risiko saman lebih rendah bila mereka hanya melaporkan). Lebih penting, pendedahan itu perlu dibawa ke kampung-kampung dan dikisahkan agar orang kampung faham kerosakan yang disebabkan gejala rasuah.

Skandal NFC telah lama berlalu dan telah dilupakan. Namun enam tahun kemudian, saya dan peguam saya masih turun naik ke mahkamah setiap bulan untuk berdepan dengan tindakan saman dan tangkapan terhadap saya ekoran pendedahan saya. Selain dari arahan membayar RM300,000 ini, saya juga dijangka akan dihukum akhir tahun ini atas tuduhan membocorkan maklumat perbankan NFC.

Mungkin ada orang yang beranggapan saya menyesal. Saya tidak sedikit pun kesal kerana saya telah menjalankan amanah saya.

Tetapi pengalaman yang dilalui saya sejak 6 tahun lepas menunjukkan pelbagai halangan yang didepani sesiapa yang ingin menewaskan rasuah di negara ini. Sebahagian besar dari skandal-skandal kewangan utama sejak sedekad lalu didedahkan melalui media kerana institusi yang dipertanggungjawabkan menyiasat tertakluk kepada campur tangan kerajaan. Akibatnya, sesiapa yang mahu mendedahkan rasuah terpaksalah menerima risiko menjadi muflis akibat saman-saman dan tangkapan.

Saya tidak selesa memohon bantuan orang ramai seperti ini kerana saya tidak dibesarkan untuk bergantung harap kepada orang lain. Masalahnya semua simpanan saya telah pun dibelanjakan untuk memulakan INVOKE agar rakyat ada peluang yang lebih tinggi menewaskan Barisan Nasional dalam PRU akan datang.

Jika anda merasakan kerja-kerja mendedahkan rasuah seperti yang kami lakukan ini penting, berilah sumbangan agar kami boleh terus mendedahkan rasuah. Jika anda merasakan kerja-kerja saya selama ini tidak sia-sia, panjangkanlah mesej ini kepada seberapa ramai rakyat Malaysia agar lebih ramai dapat memberi sumbangan.

Anda boleh sama-sama memberi sumbangan ke arah mengumpul dana RM300,000 ini melalui sumbangan online di https://www.invokemalaysia.org/contribute/ atau anda boleh menyumbang terus ke bank akaun INVOKE:

INVOKE Solutions Sdn Bhd
Maybank (No akaun: 5622 0964 0698)

Terima kasih. Satu hari nanti, saya berdoa kita sama-sama boleh menarik nafas lega bahawa kita telah membuang gejala rasuah dari negara ini.

Rafizi Ramli

Sebarkan mesej di Facebook

Sebarkan mesej di Whatapps

Share This